Tuesday, September 08, 2009

Lagak si songkok tinggi

Tadi, dalam tazkirah sebelum terawikh, Ustaz ceritakan kisah dia pernah beri kuliyah maghrib dan masa kuliyahnya lajak ke jam 9 malam. Katanya, masa itu, dia baru pertama kali berpeluang beri kuliyah di masjid tersebut setelah sekian lama tak dapat ditembusi. Seorang lelaki kemudian muncul di saf belakang dan beri isyarat suruh tamatkan kuliyah untuk solat Isyak.

Tazkirah selalunya mengambil masa kira-kira 15 - 20 minit sahaja. Maksimum ditetapkan 30 minit dan selalunya berakhir selewatnya jam 9:30 malam. Malam ini ustaz tadi sudah lajak ke jam 9:35 malam. Seorang lelaki bersongkok tinggi muncul berjalan perlahan-lahan ke tengah masjid. Saya tak pasti adakah dia orang luar yang datang singgah solat di masjid atau memang ahli kariah sebab tak pernah nampak mukanya setiap kali kuliyah maghrib atau ketika solat fardhu yang lain. Oleh kerana hanya dia yang berdiri, ramai jemaah memandang kepadanya. Dia lalu memberi isyarat tunjuk jam dan tangan diangkat seperti mahu kuliyah ditamatkan dan solat terawikh dimulakan, sebiji macam yang ustaz baru sebut kira-kira sepuluh minit sebelumnya.

Ustaz lalu mengakhiri tazkirahnya dengan doa diikuti dengan senyuman kepada jemaah yang turut tersenyum.

...........................

Kata ustaz saya dulu, orang mukmin, bila berada dalam masjid umpama ikan dalam air. Orang fasiq pula bila berada dalam masjid umpama burung dalam sangkar.

Kata-kata itu sekadar untuk kita muhasabah diri kita sahaja dan bukan untuk kita menuduh orang lain fasiq. Mungkin dia ada urusan lain selepas itu.

Wallahua'lam.

No comments: