Wednesday, September 02, 2009

Undang-undang ditafsir semula bila speaker bukan lagi pro UMNO

Dulu, seorang umarak Malaysia mahu Al Quran ditafsir semula. Sang umarak barangkali tak berpuas hati bila tafsiran yang disampaikan kepadanya dirasakan tidak berpihak kepada parti yang disayanginya. Seruan itu tidak bersambut. Hanya pembaca forum Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja yang menyokong. Tidak lupa juga ustaz Astora Jabat yang kemudiannya diangkat menerajui majalah Al Islam. Kini, Astora Jabat hanya boleh ditemui di internet sahaja selepas PM mendapati Islam yang dibawanya tidak Hadhari.

Hari ini, kita lihat undang-undang negeri dan negara sedang melalui proses reformasi, diterjemah dan ditafsir semula supaya sentiasa berpihak kepada yang memerintah negara. Satu demi satu, kita dapat saksikan, rupa-rupanya, undang-undang yang difahami selama ini bukanlah seperti yang kita semua faham.

Kita sangkakan, speaker mempunyai kuasa penuh yang tak boleh dipertikai di mahkamah, rupanya kita salah. Kita sangkakan, Adun yang ponteng tanpa izin dua kali mesyuarat terpecat, rupa-rupanya tidak. Kita sangka, royalti adalah hak automatik kerajaan negeri selepas tandatangan perjanjian dengan kerajaan persekutuan dan Petronas, rupanya tidak. Banyak lagi sebenarnya.

Kalau anda sangka raja-raja melayu terpelihara di bawah perlembagaan, anda mungkin silap kerana tafsiran baru boleh muncul bila perlu. Dan yang boleh membuat tafsiran baru yang tepat hanyalah UMNO.

3 comments:

anonymous said...

Fikirkan bagaimana cara untuk menyatu padu kan melayu/Islam supaya tidak berbalah dalam politik.

Kuasa politik sangat penting. Hilang kuasa politik, hilang kuasa memerintah negara.

Jong pecah yu kenyang!

Bila Diary Bercerita said...

Kalau dah UMNO tu semuanya serba boleh.

Yanaam said...

Berbeza pendapat adalah lumrah. Sesama UMNO dan sesama PAS pun kadang-kadang berbeza pendapat juga.


... jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (AlQuran) dan RasulNya (sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya. - Surah An Nisa :59