Friday, March 04, 2011

Nafastari

"hey, saya nak belanja anda makan nasi dagang di batu burok! bila agaknya?"

Itulah "azam" Allahyarham pada tahun 2009 yang mengajak saya mengenalinya lebih dekat.

Saya suka baca blognya walaupun saya tidak pernah mengenalinya. Tak tahu namanya. Tak pernah bercakap mahupun mendengar suaranya. Tapi saya dapat rasakan, dia seorang yang baik.

Banyak ilmu yang saya timba daripada blognya. Maklumlah, saya tidak pernah berpeluang mengenali budaya orang lain di negeri orang. Kadang2, saya kongsikan pengalaman Allahyarham dengan isteri saya, kenalan mahupun saudara mara saya. Saya rasa ia sangat menarik dan berguna.

Sayang sekali, dia dijemput Tuhan ketika usianya terlalu muda. Alangkah baiknya jika tulisannya dapat dibukukan. Saya belum pernah membaca buku yang menceritakan pengalaman dan budaya orang daripada sudut pandang kita, orang Melayu, Malaysia, Muslim.

Berapa ramai pegawai petugas Malaysia di serata dunia, tetapi tiada yang seperti Allahyarham. Mahu kongsikan pandangan dengan orang lain. Gaya penyampaiannya menarik. Kadang2, sifat positif orang ditulis untuk diteladani, sifat negatif pula untuk sempadani.

Tidak hairanlah ramai yang mengenalinya memuji-muji sifatnya. Baik, suka berkongsi pandangan, mudah didekati dan tidak tinggi diri.

Beliau meninggalkan seorang balu dan 2 anak yang tiba2 menjadi yatim. Saya bersimpati dengan keluarganya. Hanya Allah yang tahu hikmah kejadian. Semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah.

Kepada Nafastari, saya anggap kamu adalah salah seorang guru saya. Dan saya sentiasa mendoakan semua guru-guru saya agar sentiasa diampunkan dosa mereka selama mana mereka seorang Muslim.