Monday, September 05, 2016

Komplen je

Bila kita kena saman lalu lintas dengan polis, kita mula cari salah polis tu.

"Polis ni tak ada kerja lain, menyusahkan rakyat je. Kesalahan kecil dicari. Kenapa tak tangkap penyamun wang rakyat ?"

Muhasabah :

Siapa agaknya yang salah dalam hal seperti ini ?
A. Penguat kuasa undang2 (polis) ? Kerana dia lah kita kena saman.
B. Penggubal undang2 (Ahli Parlimen) ? Kerana dialah yang meluluskan undang2 yang menyusahkan rakyat ini.
C. Kita sendiri sebagai pengguna jalan raya ? Hmmm....

Nota : Polis trafik tak ada kuasa tangkap pesalah jenayah komersil.

Tuesday, June 14, 2016

Bukti kerja sama Pas - Umno

Kerja sama politik Pas - Umno hanya terbukti jika kedua2 pihak saling mengelak untuk bertembung dalam pilihan raya.

Selagi itu tak berlaku, ia kekal sebagai fitnah.

Tuesday, June 07, 2016

PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar

Kalaupun tidak Mohamad Sabu dan Datuk Seri Mohd Nizar, nama seperti Salahudin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahmad Awang atau Asmuni Awi diharapkan akan diturunkan oleh Amanah.

Bagaimanapun, apabila nama yang diletakkan adalah bukan nama besar yang pernah menjadi pemimpin utama PAS, maka nyatalah pemimpin Amanah takut untuk berhadapan dengan PAS dan BN.

Hmmmm......  betul juga tu.

Sayang sekali bila mereka awal-awal lagi sudah mengaku kalah, biarpun disokong DAP dan PKR

Thursday, June 02, 2016

Tiada paksaan dalam agama

Tiada paksaan dalam agama. Begitu kalau diterjemah secara kalimah demi kalimah.

Ada ulama mentafsirkan ia sebagai "Tiada paksaan dalam memilih agama". Pendapat yang lebih liberal pula mentafsirkan sebagai "Tiada paksaan dalam mengamalkan hal2 agama".

Saya percaya sememangnya Islam tidak memaksa umatnya untuk beramal dengan agama. Tidak memaksa bukan bermakna mereka tidak berdosa. Mereka tetap akan diadili. Yang ingkar dengan syariat Allah pasti akan dihukum, boleh jadi di dunia lagi, paling tidak selepas mati, tetap akan dihukum.

Dalam hubungan manusia dengan makhluk, kita diwajibkan patuh dan jika tidak patuh, maka kita dihukum menurut hukum yang telah ditetapkan seperti mencuri, membunuh, mencederakan, meminum arak dan sebagainya. Dalam hal meminum arak, perintah hukum tidak disebut dalam Al Quran tetapi hadis.

Tetapi dalam hubungan dengan Allah, tiada ketetapan untuk menghukum kecuali murtad.

Tiada dalil orang yang tidak solat wajib dihukum. Orang yang tidak tutup aurat, tiada perintah hukum. Semuanya dalam bentuk yang disebut hari ini sebagai kawalan kendiri.

Jika pemerintah merasakan perlu menguatkuasakan hukuman demi menjaga agama dan masyarakat, ia bukan satu kesalahan. Tidak menghukum juga tidak menjadi kesalahan.

Tetapi tidak mengambil apa2 tindakan langsung atau dengan kata lain membiarkan sahaja kepincangan dalam masyarakat Islam berleluasa adalah kesalahan kepada pemimpin kerana mereka memikul amanah. Mereka perlu cari jalan meningkatkan iman dan takwa khususnya orang Islam selain berusaha juga menyampaikan dakwah kepada orang kafir.

Islam bukan agama paksaan. Islam adalah agama menyampaikan, menyeru atau menasihat. Jika yang dinasihat tidak terkesan langsung, kita tidak disuruh memusuhi atau membenci mereka, apa tah lagi mencemuh atau menyindir mereka. Tidk boleh juga memulau atau meninggalkannya. Ia umpama membiarkan dia terus dalam kesesatan.

Islam adalah agama dakwah. Memang kena banyak bersabar ketika berdakwah. Tak boleh putus asa, tak boleh hilang sabar. Lebih geram bila yang berdakwah pula diejek, diperli dan dihinakan. Tetapi yang pernah dilalui oleh rasulullah s.a.w sendiri jauh lebih dahsyat. Sahabat2 selalunya lebih mahu bertidak balas dengan keras tetapi tada tindak balas keras daripada rasulullah sendiri.

Perang hanya ketika Islam atau umat Islam sudah terancam dan dalam bahaya. Dizalimi dengan teruk.

Jadi, jangan kita kata dengan kata2 yang tidak baik kepada orang yang tidak menerima nasihat dan dakwah kita. Jangan juga tuduh ustaz2 (yang rapat dengan orang yang tidak beramal dengan Islam) sebagai tidak berdakwah kepada mereka. Kerana kita sendiri tidak tahu sejauh mana mereka sudah jalankan kewajipan menasihat dan berdakwah.

Jangan kita rasa hanya kita saja yang berdakwah. Hanya kita saja yang beri nasihat. Apa tah lagi cara nasihat kita dipenuhi sindiran dan caci maki.

Wednesday, June 01, 2016

Islamik ?

Beberapa hari lepas, saya menerima mesej di Whatsapp mengatakan Singapura sebagai negara ke 7 paling islamik di dunia.

Hari ini pula, ada media melaporkan betapa Israel pun menghukum isteri PMnya dan bekas PMnya kerana kesalahan rasuah. Cuma tak disebut Israel lebih islamik daripada Malaysia sahaja.

Bagaimana kita menilai islamik nya sesebuah negara ?

Adakah kita menilai dari sudut pandang seorang sekularis ? Menilai daripada sudut pandang seorang orientalis ? Daripada seorang kapitalis ? Nasionalis ?

Jika sebuah negara itu bersih, bersih itu sebahagian daripada iman. Maka ia lebih islamik kah ?

Jika negara itu rendah kadar rasuah atau salah guna kuasa, lebih islamik kah ?

Jika negara itu rendah kadar jenayahnya, maka lebih islamik kah ?

Adakah mereka kurang kadar jenayah kerana iman dan takwa atau kerana tegasnya penguat kuasaan undang2 ?

Adakah mereka bersih kerana iman dan takwa atau kerana terdidik dengan budaya bersih atau kerana cekapnya perkhidmatan di negara mereka ?

Jika mereka tepati masa dalam aktiviti harian, adakah kerana iman dan takwa atau ada faktor2 lain ?

Islamik menjaga hubungan manusia dengan makhluk DAN manusia dengan Penciptanya.

Kelemahan penguatkuasaan, kelemahan akhlak, kelemahan merawat penyakit hati dalam diri di negara yang dilabelkan "Negara Islam" membuka ruang orang kafir mempersenda dan mengejek orang Islam. Bahkan orang Singapura pun mengejek dan memandang sinis orang Islam dari negara jirannya Malaysia, Indonesia malah orang Islam di Singapura sendiri.

Saya tidak setuju, Singapura dinobatkan negara ke 7 paling Islamik kerana islamik itu tidak dinilai secara menyeluruh, kecuali hanya yang menyeronokkan dan memuaskan hati manusia semata.

Selepas ini, mungkin ada pula yang akan kata kerajaan Pulau Pinang lebih Islamik berbanding Kelantan, Terengganu, Selangor atau Johor.

Tanyalah mereka, apa yang islamiknya ? Jawapan mereka pasti yang menyedapkan mata mereka melihat, menyeronokkan telinga mendengar, polisi yang menggembira dan menyeronokkan rakyat, redha rakyat tanpa menilai redha Allah.

Apapun, orang Islam wajar melihat scara positif dan memuhasabah diri dengan segala kelemahan kita mengawal nafsu duniawi kita, memntingkan diri sendiri dan suka mencari alasan.

Monday, May 30, 2016

Pindaan Akta 355 dan PRK

"Akta 355 tidak ada kaitan degan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan (2015) kerana cadangan pindaannya hanya sekadar menambah kuasa hukuman bagi bidangkuasa jenayah yang sedia ada dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985, bukannya bagi membolehkan mahkamah syariah membicarakan kesalahan-kesalahan hudud dan qisas seperti yang diperuntukkan dalam KJS II (1993) 2015.

Saya beranggapan draf RUU ini telah dibuat secara tergesa-gesa dengan kesilapan yang disengajakan untuk memerangkap Presiden Pas dan pemimpinnya yang lain dalam polemik isu pelaksanaan hukum hudud yang sengaja dicipta untuk memporak perandakan parti-parti pembangkang"

- Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed

Siapakah pembangkang itu ? Pas atau PH ? Dikatakan, Presiden Pas diperangkap. Tapi setakat ini, yang lebih porak peranda nampaknya ialah BN. PH pun nampak macam terperangkap juga.

Sekurang2nya, untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, BN dalam keadaan agak tertekan buat masa ini.

Pas mencalonkan Adun Meru di Sungai Besar. Saya kira sekali lagi, Amanah terperangkap. Mengikut pengamatan saya, jika Amanah mahu lihat BN kalah, lebih baik Amanah jangan bertanding di Sungai Besar.

Sebaliknya jika Amanah mahu lihat Pas kalah, dipersilakan bertanding di Sungai Besar.

Saya percaya, Amanah akan dapatkan nasihat daripada "Decision Maker" terlebih dahulu sama ada mahu meletak calon atau tidak.

Setakat ini, Dap beriya2 mahu Amanah meletakkan calon di situ. Dap tak peduli Amanah kalah kerana Dap tak rugi apa2. Mereka hanya nak lihat Pas kalah. Itu saja.

PKR mungkin berbelah bagi.

Dalam Amanah sendiri, saya kira mereka sedar, jika mereka bertanding, BN akan menang. Tetapi PRK bukan sekadar soal menang kalah. Ia dipercayai pilihanraya kecil terakhir sebelum PRU. Jadi mereka perlu uji kekuatan pengaruh, melatih jentera parti dan membuka ruang untuk mengatur strategi. Keputusan atau dapatan daripada gerak kerja dan keputusan dalam PRK akan menentukan strategi mereka seterusnya.

Khalid Samad kata, Pas sepatutnya meletakkan Salehin Muhyi di situ jika mahu tarik sokongan Melayu. Hik..hik..hik.. Bila musuh politik beri nasihat, mesti ada muslihatnya, tak begitu ?

Ia memberi gambaran, pilihan Pas adalah tepat dan mampu menggugat.

Friday, May 27, 2016

"Hudud bill" ? Mana ada "hudud bill" di parlimen ?

Pindaan Akta 355

Akta 355 sudah sedia ada sekian lama. Ia mahu dipinda untuk selaraskan dengan keperluan dan kehendak semasa.

Media2 hari ini memaparkan berita seolah2 pindaan itu untuk membolehkan Kelantan melaksanakan hukum hudud walhal ia tidak benar sama sekali.

Hanya hukuman sedia ada sahaja yang boleh dilaksanakan dengan hukuman lebih adil dan manasabah kerana kekangan akta sedia ada menjadikan hukuman oleh mahkamah syariah sekarang menjadi bahan ejekan dan persendaan sahaja.

Pas memang kurang agresif dan lemah daripada segi jentera penerangan untuk menjelaskan perkara ini, tambahan pula ia tidak dibantu oleh media dan jentera yang lebih berpengaruh.

Amanah dan Dap melihat pindaan ini untuk tujuan menarik sokongan dalam PRK. Siapa agaknya akan meraih laba hasil pembentangan usul ini ? Pas atau Umno ? Tak mungkin kedua2nya kerana mereka saling berlawanan dan berebut menarik sokongan pengundi.

Kalau Amanah turut bertanding dalam kedua2 PRK, kenapa mereka seolah2 merasakan sokongan kepada mereka akan terjejas melalui usul ini ? Bukankah mereka yakin bahawa pindaan ini tidak sesuai pada masa dan ditolak rakyat ?

Logik saya, kalau rakyat menolak usul pindaan ini, maka PH melalui Amanah bakal meraih sokongan yang lebih baik selepas usul ini dibentang diparlimen. Jadi bersyukurlah.

Sepatutnya, sebagai parti yang mahu Islam dimartabatkan di Malaysia, Amanah tambil membantu menjelaskan apakah kesan usul pindaan ini sebenarnya dan mereka sama2 menyokong dengan tegas, bukan hanya mahu mencari salah Hadi.

Sekarang, bila Hadi minta tangguh, ia dilihat sebagai salah dan tidak ikhlas, sekadar mahu meraih laba politik untuk PRK sahaja.

Hakikatnya, jika Hadi mahu ia dibahas serta mertapun, Hadi akan dipersalahkan juga kerana terburu-buru, tidak sabar, gopoh dan tidak memberi masa yang mencukupi untuk usul itu difahami dan dibahas oleh ahli MP.

Amanah perlu muhasabah balik dan mengadakan solat sunat istikharah, mahu usul ini di sokong atau bersama2 dengan Dap, MCA, MIC Gerakan dan lain2 parti yang sekufu menentangnya.

Jangan sengaja kelirukan rakyat. Bantu perjelaskan kepada rakyat.

Wednesday, May 25, 2016

PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar

Dap tak akan biarkan Pas berpeluang menunjukkan pengaruh parti itu tidak banyak terjejas selepas Pakatan Rakyat dikuburkan.

Dap tak rugi apa2 bila Pas pecah. Dap tak terjejas. Yang terima akibat hanya Pas dan Pkr.

Pakatan Rakyat mula dimatikan melalui Dap Sarawak. Mereka yakin, bila tiada kerja sama dengan Pas, mereka berpeluang raih kemenangan lebih besar di Sarawak.

Tapi itu congakan dan perancangan mereka. Perancangan Allah nyata berbeza.

PRN Sarawak 2016 membuktikan sebaliknya. Puncanya bukan kerana Pas pun. Pas tak punya pengaruh kuat di Sarawak, lebih2 lagi di kawasan kuat Dap. Tapi undi Dap merosot teruk. Ia bukan kerja dan perancangan Pas jua.

Kini PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pula. Dap mahu tunjukkan kepada Pas, "Aku boleh jejaskan undi kawasan kamu, tapi kamu tak mampu jejaskan kawasan undi aku".

Amanah hanya mengharapkan undi sokongan rakan PH sahaja. Mereka sendiri tak ada pengaruh besar pun.

PRK Jun 2016 bukan untuk kalahkan BN. Ia hanya untuk buktikan pengaruh masing2 sahaja. Nak test market. Perjalanan politik selepas ini mungkin bergantung kepada keputusan PRK ini.

Tetapi saya tak nampak Pas akan berundur walaupun ditakdirkan Pas kelihatan bakal rugi besar. Orang macam mereka, lagi ditekan, lagi mereka berazam dan berusaha. Mereka tidak peduli keuntungan sementara di dunia. Tak perlu pemimpin mereka sebut tentang ini. Tak perlu Hadi Awang atau Nik Abduh cakap, kita akan dapat ganjaran di akhirat. Ia tindakan otomatik. Hanya sebilangan kecil yang kurang matang akan berundur di pertengahan jalan.

Saya hanya boleh berharap Pas akan menang besar di Selangor dan beberapa negeri lain lagi dalam PRU akan datang, yang mana Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan kecuali dengan sokongan wakil Pas.

Saya nak tengok drama macam mana pula akan dipersembahkan oleh bangsawan2 politik ini jika itu terjadi.

Tahun 2008, Dap sanggup bekerjasama dengan Pas selepas PRU, ber MB kan wakil Pas walaupun tiada kerja sama rasmi sebelum keputusan PRU diumumkan. Walaupun sebelum PRU 2008, tak nampak tanda mereka mahu adakan kerja sama dengan Pas, malah nampak keras sekali mereka menolak sanggup berketuakan wakil Pas.

Tiba2 mereka jadi lembut selepas PRU. Ketika itu, mereka jadi sanggup apa saja, asal bukan UMNO jadi kerajaan.

Kita tunggu dan lihat sajalah apa akan jadi.

Friday, May 20, 2016

Pilihan raya kecil



Saya sememangnya berharap agar akan ada pilihan raya kecil sebelum PRU akan datang.

Saya sudah jangka keputusan PRN Sarawak tidak akan memberi apa-apa kesan besar kepada keegoan parti2 politik (terutama parti politik Semenanjung) dan penyokong2 mereka.

Takdirnya, 2 PRK akan diadakan tidak lama lagi dan kedua2nya adalah kerusi milik BN. Cuma lawannya dalam PRU lepas ialah Pas.

Bagi saya, biarlah Pas dan Amanah bertanding di mana2 mereka fikir nak bertanding supaya keputusannya dapat dijadikan panduan untuk PRU akan datang.

Juga, kesan PRK kali ini, PKR kena buat keputusan dengan tidak berbelah bahagi kerana ia akan beri implikasi kepada kerja sama seterusnya dalam PRU akan datang.

Saya harap, rakyat akan menghukum pemimpin politik yang semakin kelihatan ego dan sombongnya.

Walaupun saya lebih selesa dengan pendekatan Hadi Awang hari ini berbanding dulu, tetapi saya berpendapat, beliau sebenarnya banyak menerima maklumat dan nasihat yang salah daripada pembantu2 di sekelilingnya.

Kalau pendekatan hari ini digunakan pada tahun 80an, tidak berlakulah peristiwa Memali dan kafir-mengkafir pada tahun2 tersebut. Hadi tidak mengambil langkah memperbetulkan keadaan dan salah faham pengikutnya pada masa itu.

Hari ini pula, beliau hampir tidak mengambil langkah memperbetulkan perbezaan pendapat dalam partinya sehingga terpecah dengan lahirnya Amanah. Hadi tiada kemahiran menyatukan kumpulan pro Ulama dengan kumpulan yang pro liberal. (Liberal yang saya maksudkan ialah liberal pendekatannya, bukan liberal akidahnya)

Langkah keluar parti dan menubuhkan Amanah pula adalah satu kesilapan dan Amanah tiada kekuatan sendiri. Jika Amanah mendapat undi agak besar dalam PRK kali ini, itu bukan kerana kekuatannya tetapi kerana sokongan PKR dan DAP.

Saya jangka, Amanah mungkin mendapat jumlah undi lebih baik di Kuala Kangsar berbanding di Sungai Besar, tetapi bukan lebih baik daripada Pas.

PKR perlu bersedia kehilangan kerajaan di Selangor jika keadaan seperti hari ini berterusan pada PRU akan datang. Pas pula perlu bersedia kehilangan kerajaan di Kelantan.

Pas pernah kalah lebih teruk berbanding serpihannya Berjasa di Kelantan dalam PRN 1978 tetapi kembali bangkit. Tidak mustahil kali ini, Pas akan kalah tetapi saya tidak fikir Amanah akan menang seperti menangnya Berjasa pada tahun 78.

Lambat laun, DAP akan rasa kerja sama dengan Amanah tidak membawa impak besar kepada parti itu. DAP hanya menggunakan Amanah dan menganggap seolah2 Amanah adalah sayap parti sosialis itu.

Najib akan tersenyum lebar dalam PRU akan datang. Pembangkang pula akan saling salah menyalahkan dan rakyat semakin bosan.

Tuesday, March 22, 2016

Perlukah Guan Eng bercuti ketika disiasat SPRM ?

Dulu, ketika Khalid Ibrahim disiasat isu lembu korban, dia tidak didesak oleh Pas untuk bercuti.

TG Nik Aziz juga pernah disiasat dalam isu penajaan haji hingga TG Nik Aziz batalkan pemergian hajinya pada tahun tersebut. Yang pasti, TG Nik Aziz tidak didesak untuk bercuti.

Jadi dalam kes Guan Eng, saya rasa tak perlu dia didesak untuk bercuti. Jawatannya tidak mengganggu secara langsung pegawai penyiasat.

Saya rasa.

Friday, March 11, 2016

Deklarasi rakyat ditolak rakyat ?


Belajarlah menguruskan perbezaan pendapat secara matang dan tenang. Tak payah gopoh nak label orang. Tak payah perli untuk memaksa orang mengikut cara kita.

Rata2nya rakyat sudah semakin bosan dengan orang politik yang tak habis2 cuba menarik rakyat untuk bertindak bersama mereka.

Menjatuhkan pemimpin tidak menyelesaikan masalah tetapi membuka satu ruang masalah baru. Mengadakan pilihan raya baru pun tidak menyelesaikan masalah. Keputusan pilihan raya akan tetap dipertikaikan. Pihak yang kalah tetap akan buat kacau dan mencari salah.

Apa yang perlu ialah hormatilah keputusan pilihan rakyat dan buat kerja hingga habis tempoh mandat. Kamu menipu dalam pilihan raya ? Itu antara kamu dan Allah. Kami lakukan apa yang kami terdaya lakukan. Selebihnya ...

Cukuplah Allah sebagai pelindung / penolong kami.

Wednesday, March 09, 2016

Undi tidak percaya MB Terengganu


Undi tidak percaya kepada MB Terengganu yang dibuat secara tiba2 dan tidak dirancang dengan sesiapa kecuali Adun Kijal sendiri sukar diterima oleh rakyat Terengganu.

Reaksi rakyat Terengganu, Razif perlu diberi peluang hingga habis penggalnya. Saya sendiri tidak tahu apa isu besar yang boleh dijadikan alasan kukuh untuk menyingkirkan Razif.

Ia berbeza dengan Najib Razak yang sememang nya diselubungi banyak isu. Bukanlah bermakna MB Terengganu hari ini tiada cacat cela. Tetapi menukar seorang pemimpin perlu ada alasan yang kuat. Ia berbeza dengan ketika Ahmad Said hendak ditukar dulu. MB Ahmad Said tidak begitu digemari kawan dan lawan. Ikut kepala sendiri saja.

Langkah PAS tidak terburu2 menunjukan sokongan terbuka dan mengambil kesempatan adalah baik. Saya khuatir jika PAS gelojoh menunjukkan sokongan, ia akan memberi impak negatif kepada parti itu sendiri kerana sentimen rakyat Terengganu juga perlu diambil kira.

Apa guna PAS berkuasa tiba2 tetapi kerajaan yang dibentuk adalah sebuah kerajaan yang rapuh, tidak stabil. PAS sudah ada rekod di Perak yang wajar diambil pengajaran. Gelojoh menerima Adun lompat parti, akhirnya kerajaan Pakatan Rakyat di situ tumbang. Memalukan. Mengaibkan. Dan lebih memalukan ialah MB nya orang PAS. Kegagalan banyak dipalitkan kepada PAS walaupun yang buat pasal ialah Adun PKR dan DAP.

Menukar sebuah kerajaan perlu dibuat secara lebih berhati2, dan bukan dengan emosi semata2. Saya hanya nampak elemen hasad dengki sahaja di situ. Ia sangat tidak wajar. Menyokong pihak yang berdengki tidak akan membawa barakah kepada perjuangan.

Syabas Adun Terengganu. Syabas rakyat Terengganu. Biar orang luar sinis dan sibuk memperli kita. Kita berhak tentukan kerajaan dan politik negeri kita demi anak cucu kita.

Tuesday, March 08, 2016

Deklarasi Rakyat yang caca merba

Saya bukanlah nak menyokong atau menyidir mana2 pihak.

Yang jelas di mata, mereka berkumpul dan menandatangani satu dokumen untuk bersatu suara. Tetapi selepas itu mereka mengeluarkan kenyataan masing2 yang berbeza2.

Tun M, Mukhriz, Azmin, Lim Kit Siang; masing2 ada agenda yang berbeza2. Benarlah kata Tun M, mereka hanya ada satu persamaan iaitu, Najib perlu digantikan. Selain itu, mereka sebenarnya berbeza pendapat. hik..hik..hik...

Setiap kenyataan daripada pihak PAS akan dikecam, diperli dan disindir sebagai mesra UMNO, pendusta, U-turn dan macam2 lagi. Pada hal mereka juga yang kata budaya melabel adalah budaya PAS. Sekarang mereka juga yang suka melabel. Biasalah, salah orang nampak di mata. Salah sendiri tak nampak pula.

Bila kenyataan serupa keluar dari mulut pihak lain, tak pula kena sindir.

Hari ini seorang ahli parlimen DAP mempertikaikan kerjasama yang diwujudkan bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyifatkan deklarasi yang ditandatangani berkenaan adalah 'dokumen yang tergesa-gesa' dan tidak jelas. Rujuk http://pahangdaily.blogspot.com/2016/03/ahli-parlimen-dap-bidas-deklarasi.html

Sebelum ini, seorang sekretariat PKR (Saifuddin Abdullah) menegaskan Pakatan Harapan tiada kaitan dengan deklarasi itu. Yang hadir adalah atas kapasiti diri masing2. Rujuk http://www.themalaysianoutsider.com/bahasa/article/pakatan-harapan-tidak-terlibat-sidang-media-dr-mahathir-esok#When:10:07:19Z

SAMM, sebuah ngo yang tidak mesra BN pun pertikaikan deklarasi tersebut. PSM, sebuah lagi parti politik pembangkang juga mempertikaikan tindakan pihak yang menandatangani deklarasi tersebut.

Tetapi yang sibuk kena hentam hanya PAS dan dituduh mesra UMNO pula.

Setiap hari saya terima kenyataan rasmi drp PAS dan tiada satupun yang boleh menyokong tuduhan kononnya PAS kini mesra UMNO.

Saya setuju benar, merancang menjatuhkan pemimpin tanpa merancang pemimpin gantian yang boleh diterima secara majoriti sebenarnya akan merosakkan lagi iklim politik negara.

Ianya serupa lah dengan tindakan Amerika di Iraq, Afghanistan dan Libya, menjatuhkan pemimpin neraga itu dan selepas tu negara2 itu terus berada dalam keadaan tidak stabil, huru-hara dan rakyatnya menderita.

Jangan jadi macam Amerika.

Wednesday, February 24, 2016

Politik Islam - satu pandangan

Ibarat sebuah angkatan tentera yang mempunyai ramai askar. Tetapi hanya seorang general yang benar2 berpengalaman, berpengaruh, disegani, dihormati. Jeneral lain diperingkat lebih rendah kurang berpengalaman dan hanya syok sendiri sahaja.

Jeneral2 lain yang berpengalaman dan mahir dalam bidang masing2 sudah lari ke satu angkatan tentera lain dalam kelompok yang kecil. Bilangan askarnya tak seberapa. Dananya juga tak cukup. Tapi berlagak macam hebat.

Begitulah ibaratnya denga parti PAS dan AMANAH. Ego kekal menguasai parti masing2.

Bagi saya, pengaruh PAS masih utuh hari ini tetapi jika diberi peluang memerintah, pemimpin mereka nyata kurang berpengalaman malah mungkin akan mengecewakan rakyat. Macam PAS Terengganu pada 1999-2003. Nampak begitu otimis pada masa itu tetapi rakyat di bawah kecewa. Boleh saja beri berbagai alasan tetapi pemimpin PAS sebenarnya lemah dari segi kepemimpinan. Kepimpinan PAS Kedah pada 2003-2008 lebih baik. Tetapi perpecahan dalaman dan perubahan kepimpinan dan taktikal pihak lawan menyebabkan golongan atas pagar membuat pusingan U.

AMANAH pula tak akan ke mana (saya tak suka gelarkan mereka PAN kerana itu bukan nama rasmi mereka. Itu hanya nama ejekan). Saya berkeyakinan parti ini akan terus melemah selepas pilihan raya akan datang. Dari segi perjuangan Islam, tiada identiti jelas dan kuat untuk menyokong dakwaan mereka adalah parti yang memperjuangkan Islam. Mereka sendiri setakat ini tidak mewarwarkan parti mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Sekadar mengkritik UMNO/BN sahaja, anti rasuah, utamakan kejujuran. Parti lain pun mengaku begitu. DAP, PKR, PSM pun sama. Mereka pun mengaku begitu. Jadi apa bezanya ?

PAS perlu berubah jika mahu dilihat sebagai mampu mentadbir negeri dan negara. Tak boleh serah kepada ustaz2 saja. Seolah2 ustaz2 saja yang boleh buat keputusan dengan tepat. Pandangan mereka dengan mata hati lah sangat. Jangan berlagak pandai. Jangan terlalu memuja muji ustaz2. Mereka semakin dipuji, semakin syok sendiri. Ujub dan ghurur bercampur ego menjadi penyakit yang merosakkan golongan ilmuan, berpengaruh dan berpengalaman.

Firman Allah:
"Janganlah kehidupan dunia itu memperdayakan kamu dan janganlah perasaan ghurur itu memperdayakan kamu terhadap Allah Taala." -Surah Luqman ayat 33

Allahu. Bantulah perjuangan Islam. Bimbinglah kami dan mereka agar sentiasa berada di atas jalan Mu.

Wednesday, January 06, 2016

Kerjasama antara PAS dan UMNO


PAS dan UMNO masing-masing menunjukkan minat untuk bekerjasama. Namun mengikut pemerhatian saya, kedua-dua parti yang mendominasi sokongan orang Melayu Islam itu jelas mempunyai agenda yang berbeza.

PAS mahu kerjasama supaya urusan pentadbirannya boleh berjalan dengan lancar, terutama di negeri-negeri yang dikuasai atau di Dun/Parlimen yang dikuasai mereka mendapat keistimewaan yang hampir setara kalau pun tidak sama dengan pihak yang menguasai pentadbiran negeri/negara.

UMNO pula tampak mahu kerjasama untuk mengelakkan pertembungan pertandingan dalam pilihan raya, selain mahu supaya pakatan pembangkang menjadi retak, saling tidak percaya sekaligus memperkuatkan penguasaan mereka. Sebab itu media dikuasai UMNO memperbesarkan dan sengaja melencongkan realiti kerjasama itu supaya parti-parti yang bertahaluf dengan PAS teragak-agak mahu buat keputusan. Perlu diingat, menimbulkan rasa waswas itu kerja syaitan dan tenteranya.

Ini ditambah pula dengan kelemahan pihak PAS dalam menangani persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh lawan dan lawan yang mahu dibuat kawan.

Pun begitu, ada juga dalam PAS yang nampak begitu bersungguh-sungguh bersangka baik dengan UMNO. Pihak ini dilihat sebagai masih baru dalam PAS atau masih mentah walaupun berkelulusan tinggi tetapi nampak disukai oleh kelompok tertentu dek imej yang mempesonakan.

Selain itu, wujud juga pihak ketiga yang mahu kerjasama itu berlangsung. Pihak ini pula mempunyai cita-cita lain iaitu mahu orang Melayu Islam bersatu, menghentikan segala tuduh menuduh, kata mengata, saling memberi pandangan dan tiada lagi sengketa politik antara kedua musuh politik itu.

Bagi saya, pihak ini kurang memahami muslihat politik atau buat-buat tak faham atau enggan memahami perangai orang politik. Mereka terlalu jujur sehingga memberi pandangan seolah-olah begitu mudah dan cantiknya pandangan dan idea mereka sedangkan dalam dunia politik, sesama pemimpin parti pun saling menjatuhkan. Bila sudah dijatuhkan, dendam tak mudah terpadam dalam tempoh terdekat kecuali wujud elemen kepura-puraan.

UMNO mahu bekerjasama dengan PAS ketika UMNO sendiri retak manakala PAS pula baru putus kasih.

AMANAH setakat ini belum menunjukkan kesungguhan dalam perjuangan Islam. Tiada isu besar Islam yang dijaja setakat ini kecuali isu2 yang juga disebut oleh PKR dan DAP.

Belum ada program yang boleh memberi imej Islam yang kuat dan mahu diperkuatkan oleh AMANAH. Bagi saya, AMANAH belum ada identiti sendiri atau belum ada imej sendiri. Imej mereka masih kabur.

Ketika PAS dan PKR masih tinggal sebumbung, AMANAH seolah2 mahu mencuri perhatian PKR. Umpama seorang wanita yang baru merampas suami orang, mahu si suami itu memberi hak kepadanya dan jangan peduli sangat dengan isteri pertama. Malah kadang-kadang terlihat isteri baru mahu si suami lebih tegas dan buat keputusan berani,  berpisah terus dengan isteri pertama. Tentu kita boleh memahami betapa dendam dan sakitnya hati isteri pertama itu apatah lagi isteri baru itu sebenarnya kawan baik isteri pertama, satu ketika lalu. Hmmmm.... boleh ke saya buat perbandingan macam tu. Ha..ha..ha...