Tuesday, December 02, 2008

Ketuanan Melayu

Isu ketuanan melayu sekali lagi menjadi perdebatan. Timbalan presiden MCA membangkitkan. Presiden Gerakan menyokong. Itu belum lagi MIC dan PPP.

Ada yang mencadangkan supaya gelaran Datuk ditarik balik sebab mempertikaikan isu ketuanan Melayu. Soi Lek, Mei Fun, Kayveas, Zaid Ibrahim, Tsu Koon dan ramai lagi barang kali.

Yang dipertikaikan sebenarnya ialah istilah atau terma "Ketuanan Melayu". Bukan isu raja-raja Melayu. Bukan isu Islam sebagai agama persekutuan. Isu raja dan agama sudah termaktib dalam perlembagaan. Sudah terpahat dalam rukunegara. Tiada siapa pun yang mempertikaikannya.

Tetapi putar belit orang politik dan media tertentu seolah-olah mahu menunjukkan bahawa kedudukan raja melayu terancam, bahasa melayu terancam, kuasa melayu tergugat, agama Islam tercabar. Walhal semua sudah termaktub dalam perlembagaan dan tiada siapa membangkitkan.

Lalu kita tertanya-tanya definisi "Ketuanan Melayu". Ada yang kata pihak yang mempertikaikan konsep ketuanan Melayu tidak faham atau buat-buat tidak faham maksud sebenarnya. Sengaja mahu meraih keuntungan politik.

Istilah ketuanan Melayu memang sengaja dilaungkan untuk meraih keuntungan politik terutama oleh UMNO sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan kaum Melayu (dan bumiputera). Ia tiada dalam perlembagaan pun. Apa yang terkandung dalam perlembagaan bukan atas kapasiti ketuanan Melayu. Sebaliknya adalah persetujuan bersama sejak dahulu hingga sekarang. Tetapi ketuanan melayu tidak pernah disepakati atau dipersetujui oleh semua komponen dalam BN sendiri.

Jangan kita marahkan MCA, Gerakan dan PPP dalam isu ketuanan Melayu, kerana cuba meraih kepentingan politik masing-masing kerana UMNO sendiri pun serupa juga. Guna istilah ketuanan Melayu untuk kepentingan politik sedangkan dari segi perlaksanaan dan perlembagaan, tak ada pun. Bak kata Tun Mahathir, "Kita tidak jadi "Tuan" dengan mengungkit sejarah semata-mata."

Selama ini, siapa yang mencabar Bahasa Melayu hingga mengenepikannya sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik ? Siapa yang menenggelamkan tulisan jawi, tulisan ibunda orang Melayu ? Siapa yang bertanggungjawab menjadikan Islam hanya untuk urusan ibadat khusus sahaja, terpisah daripada kehidupan duniawi, untuk acara-acara ritual sahaja, dalam majlis-majlis tertentu sahaja ? Siapa yang mengurangkan kuasa raja-raja melayu ? Bukankah UMNO yang menjuarainya ? Kalau itulah hasil daripada konsep Ketuanan Melayu, tak payahlah bising-bising dengan istilah itu lagi. Istilah itu hanya slogan untuk menarik sokongan Melayu. Supaya orang melayu percaya, selagi ada UMNO, selagi itulah kepentingan melayu terjaga. Hanya UMNO yang menjadi pembela Melayu, bukan perlembagaan negara. Jadi pertahankanlah UMNO selama-lamanya. Walaupun ada rasuah politik, walaupun ada salah guna kuasa, walaupun pemimpinnya angkuh dan takbur, walaupun Islam tidak berakar umbi dalam jiwanya. Walaupun kuasa melayu semakin terhakis, itu bukan salah UMNO tapi kerana orang Melayu tidak bersatu menyokong UMNO.

No comments: