Berikutan kematian Ahli Parlimen KT beberapa hari lalu, satu pilihanraya kecil akan diadakan di bandaraya KT tidak lama lagi. Melihat kepada keadaan semasa, ia pasti menjadi medan pertempuran PAS dan UMNO (PR vs BN). Calon bebas mungkin ada untuk mengacau memandangkan calon bebas dalam PRU 12 Mac lalu sedikit sebanyak membantu mencorakkan keputusan di situ.
Insya Allah saya akan balik ke KT pada 6hb Disember untuk menyambut Hari Raya Haji di kampung. Kebetulan pula kampung saya berada dalam parlimen KT. Suasana bahang PRK pasti terasa. Kampung saya terletak dalam kubu kuat PAS iaitu Dun Wakaf Mempelam. Saya tak pernah menjadi pengundi di Terengganu. Bagaimanapun, ramai adik beradik saya kebanyakannya masih mengundi di Dun Wakaf Mempelam. Abang ipar saya ajak balik dalam PRU 2008 untuk melihat kemeriahan di sana. Rupanya, PAS hanya menang sorak di Terengganu.
Kali terakhir saya merasai bahang pilihanraya di Terengganu ialah melalui PRK Teluk Pasu. Tetapi Teluk Pasu bukan dalam Parlimen KT. Cuma berjiran dengan KT. Waktu tu, Rais Yatim, Ku Li dan Shabery Cheek berkempen untuk PAS. Untuk PRU pula, kali terakhir saya melihat di KT ialah PRU 1982. Ketika itu, Haji Hadi hadir memberi ceramah di rumah nenek saya (atas jemputan bapa saudara saya yang dipanggil Ayah Nik) hingga ibu saudara saya (yang dipanggil Cu) yang tinggal bersama bermasam muka. Cu adalah petugas wanita UMNO yang berkempen dari rumah ke rumah.
Sentimen tahun 1982 agak panas. Mahathir dengan sikap melawan+memaksanya (dengan kawan pun dia lawan, dengan musuh apatah lagi), Haji Hadi dengan sikap tegas dan agak keras pada masa itu. Khabarnya, orang UMNO buat sekatan untuk mengganggu / menghalang kehadiran Hj Hadi. Haji Hadi terpaksa merentasi semak samun. Wallahu a'lam. Ceramah Hj Hadi sering dicemari bom asap pada masa tersebut. Alhamdulillah, tiada kejadian buruk pada malam tersebut.
Seorang kawan dari Besut (kini jadi doktor di Kemaman) menceritakan, pernah polis merentang tali di kawasan ceramah PASdi Besut. Polis kata, nak dengar ceramah, kena duduk dalam kawasan yang dipagar itu saja. Ketika sedang ceramah, polis baling bom asap. Semua bertempiaran lari termasuk perempuan dan anak-anak. Nak pejam mata, tak boleh lari; nak celik pedih mata. Guana tu ?
Dalam PRU 2008, rumah arwah nenek yang dah tinggal separuh (separuh lagi dah dirobohkan) menjadi markas BN. Ayah Nik kini di Marang. Ayah Su (suami Cu) menjadi JKKK Umno di kampung saya.
Arwah ayah saya dulu, pengundi atas pagar saja. Dengan orang UMNO pun dia beri kerjasama. Dengan orang PAS pun sama. "Apa yang penting, KERJAAASAMA", macam kata wonderpet. Bukan talam dua muka. Tapi non-partisan memang macam tu. Teringat juga dengan seorang saudara saya yang dipanggil Tok De Kasim (arwah). Dia tinggal di Manir. Pantang cakap pasal politik, dia akan kafirkan orang. Dengan nas-nas yang dihafalnya, semua diterjemah secara terus. Kami sekeluarga hanya tersengih bila dengar dia bersembang. Sokong pun tidak, bantah pun tidak.
Berbalik kepada PRK 2008 KT. Atas kertas, saya rasa PAS boleh menang. Tetapi ia bergantung kepada calon juga. Mohamad Sabu pun bagus. Dulu saya tak berapa suka dengan dia ni. Sebab suka membuat lawak terlampau bila berceramah. Maki hamun. Itu memang bukan kegemaran saya. Saya cukup anti dengan maki hamun.
Tapi Mohamad Sabu kuat bekerja. Rajin turun padang. Lantang bersuara di Parlimen. Terbuka dalam soal hubungan kaum. Tak tahulah pola pemikiran orang KT le ni. Soal dia pernah kena tangkap khalwat tu, saya dah maafkan dia. Antara dia dengan Allah la pulak.
Wan Mutalib, nama lain yang disebut. Saya kurang tahu tentang dia. Walaupun pernah jadi Adun Batu Buruk agak lama, tapi sikap dan perangai dia kurang mendapat perhatian media.
Calon lain, tak tahu lagi lah. Ahmad Said mungkin nak letak orang dia. Tapi walau siapa pun calon BN, mesti Ahmad Said kena kerja keras untuk menang sebab ini ujian pertama dia sebagai MB dan ketua perhubungan UMNO negeri dalam pilihanraya. Kalau kalah, kredibiliti dia tercalar. Kemampuan dia mempertahankan Terengganu dalam PRU akan datang mungkin jadi tanda tanya.
Seperti biasa, tentu banyak janji akan ditabur. Pasti banyak pembangunan segera di KT. Muhammad Taib akan berkampung di KT. Jenguk-jenguk lah mak saya yang sedang uzur. Mata tak nampak, telinga tak dengar.
Lepas pilihanraya, macam biasalah. Macam yang sudah-sudahlah. Dua kali lima je belaka.
No comments:
Post a Comment