Friday, December 05, 2008

Shah Rukh Khan pakai baju Melayu

Untung sungguh kerajaan dan rakyat Melaka. Pelancong datang berpusu-pusu kerana Shah Rukh Khan. Memang besar jasa anak muda India Hindustan ini. Promosi percuma kepada kerajaan Melaka. Tak payah keluar duit banyak-banyak untuk tarik pelancong. Begitulah kata pihak kerajaan negeri Melaka.

Shah Rukh Khan akan dipakaikan dengan pakaian melayu. Samping songket saja dah berharga RM3000. Penerimaan anugerah datuk akan disiar melalui Astro. Pegawai-pegawai kanan kerajaan selama ini yang terima anugerah, mana ada siaran astro. Kalau ada pun, siapa nak tengok. Kaum keluarga je lah kot.

Jasa Shah Rukh Khan memang tak ternilai. Kalau nak dibandingkan dengan artis tempatan, jauh sekali. Bak kata Tun Dr.M, "Kerana Shah Rukh memilih Malaysia untuk membuat filem-filemnya banyak syarikat-syarikat perfileman Bollywood lain turut memilih Malaysia untuk membuat filem mereka." Kata Tun lagi, "Kita bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi kegiatan perfileman memaksa syarikat-syarikat Bollywood belanja wang yang banyak. Ramai pekerja dan orang lain di Malaysia mendapat banyak nikmat. Ada kalanya Shah Rukh mengadakan pertunjukan percuma untuk bantu badan-badan amal."

Nah, siapa yang boleh nafikan ?

Dalam pada itu, teringat saya kepada sebuah kumpulan nasyid yang popular. Kumpulan ini juga telah banyak jasa, menjual nama negara ke luar negeri. Kumpulan itu ialah kumpulan Raihan.

Raihan pernah mengadakan pertunjukan di Kanada (Paramount Wonderland, Toronto, Kanada), Dagestan (Makhachkala), Kuwait, Afrika Selatan, United Kingdom, Perancis (Bourdeux, Marseille, Nantes, Strasbourg, Lille, Lyon dan Paris), Scotland, Rusia (Saratov, Moscow), Thailand, Australia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Banyak lagi lah kot. Pernah diundang oleh Ratu Elizabeth (England) untuk mengadakan persembahan di hadapan ketua-ketua negara Komanwel sempena Persidangan Negara-Negara Komanwel di Edinburgh, Scotland pada tahun 1997.

Raihan bukan setakat menyemarakkan nama Malaysia tetapi juga Islam di mata dunia. Tak ada kah negeri yang mahu menghargai sumbangan Raihan ini ? Barangkali, kuman diseberang laut lebih jelas kelihatan berbanding gajah di depan mata.

Apapun, tahniah kepada Shah Rukh Khan dan kerajaan negeri Melaka.

No comments: