Wednesday, December 31, 2008

Baca kisah-kisah lama

Salam.

Semalam saya sempat baca buku Memoir Shamsiah Fakeh. Buku baru tapi mengkisahkan hal-hal lama. Saya belum habis baca buku tu. Saya rasa kasihan dan terkenang-kenang bagaimana susahnya orang dulu-dulu. Bukan saya menyokong perjuangan PKM. Cuma selepas habis beberapa bab permulaan buku tersebut, saya teringat foto-foto lama saudara-mara saya dulu-dulu. Pakaian mereka, suasana kampungnya, rumahnya, memang daif. Foto-foto tersebut sebahagiannya disimpan oleh abang saya di Chendering dan sebahagian lagi disimpan oleh bapa saudara saya, (Ayah Teh) di Kampung Kepong, KT.

Shamsiah tu kira beruntung juga. Sebab dia berpeluang ke sekolah pada tahun-tahun 40an. Ayah saya pun sempat bersekolah sebab masa itu, dia tinggal di Kampung Tanjung, KT. Kira dalam kawasan bandar lah tu. Ayah saya sempat belajar sampai darjah 6 sahaja, kerana masalah kemiskinan. Mengikut kata ayah, masa tu kelas sampai darjah 9. Lebih kurang PMR la gamaknya. Tapi masa tu, bukan semua orang mula bersekolah seawal usia 7 tahun. Hanya yang tinggal tak jauh dari sekolah sahaja yang mampu ke sekolah. Yang perempuan, tentulah lebih payah.

Zaman Jepun, mak saya pernah ceritakan, Tok bawa Mak ke dalam hutan, sembunyi daripada Jepun. Ayah saya sempat belajar bahasa dan lagu Jepun. Tapi alhamdulillah, tiada apa yang buruk berlaku kepada tok nenek saya pada masa tu.

Mak tak sekolah. Hanya selepas kerajaan wujudkan kelas dewasa untuk basmi buta huruf, mak boleh membaca rumi. Tulisan jawi memang mak boleh baca sejak kanak-kanak. Orang dulu-dulu, walaupun tak ada sekolah rasmi, tapi mereka belajar agama juga. Saya sempat ikut mak ke kelas dewasa. Ramai juga yang hadir ke kelas dewasa tu. Kira bersemangat juga lah orang melayu kita. Dah tua-tua pun masih ke sekolah lagi.

Tentang Shamsiah Fakeh, nanti kalau rajin, saya cerita lain kali. Tapi saya percaya dia betul. Apa yang dia lakukan pada masa itu sesuai dengan keperluan masa itu. Selepas merdeka, keadaan memaksa dia terus bersama PKM.

Wallahua'lam.

No comments: