Rakyat Sarawak khususnya di Batang Air menerima dan yakin dengan kepimpinan Najib sebagai PM baru Malaysia. Di Semenanjung, penduduk Bukit Gantang dan Bukit Selambau menolak BN.
Kalau kita fikir-fikirkan, Sarawak, bumi yang tiada UMNO di situ masih setia dengan BN. Adakah rakyat Sarawak boleh menerima BN di sana sebab di sana tiada UMNO ? Rakyat Sarawak belum kenal dengan UMNO. Bumiputera Sarawak khabarnya menolak kemasukan UMNO ke bumi kenyalang itu. Nasib baik tiada UMNO. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tetapi, bagi penduduk semenanjung, bila dah kenal, meluat, benci dan marah pula jadinya.
Undi Melayu masih berpihak kepada BN. Jadi kesimpulan bodohnya, bukan salah UMNO tapi kelemahan komponen lain termasuk MIC, MCA, Gerakan dan PPP. Walhal, pengundi bukan Melayu tidak undi BN bukan sebab mereka benci dengan MIC, MCA, Gerakan atau PPP. Okay, pengundi India mungkin benci Presiden MIC. Tetapi yang mereka turut benci ialah sikap orang UMNO sendiri.
Pengundi Melayu memang terkenal dengan sifat setia sejak dulu. Kalau dari segi peratusan tahap kesetiaan, saya rasa Melayu paling tinggi. India di tangga kedua dengan syarat kelompok mereka diberi perhatian. Cina ditangga ketiga dengan syarat seluruh komuniti mereka tidak digugat.
Di Sabah, penduduk di sana sudah mula boleh menerima UMNO tetapi budaya masyarakat di sana agak berbeza. Lagipun, UMNO mungkin belum menunjukkan belang keangkuhannya di sana. Bilangan parti politik di sana banyak dan sedikit sebanyak memberi persaingan sengit sesama komponen BN. Jadi UMNO di sana mungkin tiada masa untuk bertelagah sesama sendiri. UMNO di semenanjung, adalah satu-satunya juara orang Melayu. Jadi mereka berpeluang untuk dengki-mendengki, jatuh-menjatuhkan sesama sendiri.
Dulu, pernah ada orang kata, orang semenanjung sombong. Sebenarnya, yang sombong ialah orang UMNO.
Pakatan perlu bekerja keras untuk menarik sokongan orang Melayu kerana walau siapa pun memerintah Malaysia, Melayu perlu jadi teras utama dalam pentadbiran negara. Sentimen ini saya percaya bukan dalam diri saya sahaja tetapi dalam diri penyokong BN dan penyokong Pakatan juga terutamanya jika mereka orang Melayu.
No comments:
Post a Comment