Ada yang berkata, Najib pelengkap kepada teori RAHMAN. Tanpa kita sedari, jika kita turut mempercayainya, bermakna solat kita tidak diterima Allah selama 40 hari. Jangan main-main dengan ramalan sebegini, walaupun untuk suka-suka. Dan jangan juga mereka-reka teori baru kerana bila ada yang mula percaya, kitalah pengasasnya.
Berbalik kepada aura, nampaknya tidak dapat dinafikan, Nizar mempunyai aura yang masih hangat. Tak hairanlah, beliau dapat menarik orang ramai untuk berbondong-bondong ke ceramah dan program yang dia hadiri.
Najib, yang disangsikan kepemimpinan, ketokohan, kejujuran, kewibawaan, keBCAan (Bersih, Cekap, Amanah) oleh PAS, PKR dan DAP juga ada aura tersendiri. Bagi saya, saya yakin Najib lebih baik daripada Pak Lah dan Mahathir. Pak Lah telah banyak melakukan pembetulan demokrasi di Malaysia, juga pembetulan memperkasakan semula sektor pertanian. Saya yakin Najib tidak akan kembalikan semula pemerintahan ala Mahathir. Saya juga tidak suka melayan khabar angin pembabitannya dengan Altantuya. Tiada bukti dan saksi kukuh untuk mempercayainya. Saya cenderung untuk bersangka baik dengannya. Begitu juga dengan cerita Najib takut bini. Ini cerita yang tak ada nilai untuk dilayan.
Saya yakin dia akan cuba buat sebaik ayahnya. Cuma dalam masa yang sama dia kena layan kerenah Mahathir yang suka memaksa. Mahathir mungkin akan merosakkan kredibiliti Najib, mengganggu pentadbiran Najib.
Najib mungkin akan cuba mengajak PAS untuk bersama dalam kerajaan perpaduan seperti yang dilakukan ayahnya dulu. Kalau PAS terima dan meninggalkan Pakatan Rakyat, bermakna PAS khianat. Meninggalkan PKR dan DAP selepas bersama-sama menempuh fitnah UMNO, bukan satu langkah yang betul dan bijak. DAP kini sudah semakin memahami budaya dan realiti masyarakat Melayu kerana dia banyak berkawan dengan pemimpin Melayu Islam, seperti juga Gerakan, MCA, MIC dan PPP. Cuma DAP lebih berintegriti.
Mahathir pula juga ada auranya sendiri. Saya percaya langkah Najib dan Mahathir akhir-akhir ini sedikit sebanyak dapat mempengaruhi pengundi di ketiga-tiga PRK. Tetapi saya harap BN kalah kesemuanya.
Aura Anwar sudah semakin terhakis. Dia masih berkarisma tetapi tingkah lakunya sendiri disamping peranan media BN menjunamkan imejnya. Harap dia dapat memperbaiki semula imejnya yang semakin tercalar.
Hari ini, TV1 khabarnya menyiarkan secara langsung kempen Mahathir di Bkt. Gantang. Macam nak berkempen satu Malaysia. Kalau TV Malaysia dapat siarkan juga kempen Nizar dan Ahmad Awang di Bkt. Gantang secara langsung, kan bagus. Baru adil.
Saya harap, tindakan TV Malaysia ini akan meningkatkan lagi rasa meluat pengundi kepada BN dan rasa simpati kepada Pakatan.
Kadang-kadang, bila baca kisah orang munafik dalam Al Quran, teringat dengan sikap orang Melayu kita yang mengaku Islam tetapi keberatan untuk menerima atau mengamalkan Islam seluruhnya. Orang munafik ada yang tidak sedar bahawa dia sebenarnya memiliki sifat munafik. Mereka tertipu dengan kata-kata mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment