Sekarang adalah masa untuk kita "mencari salah". Kita cari siapa yang paling sesuai untuk dikambing hitamkan. Hadi Awang, Harun Taib, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali, Geng Terengganu, Geng Selangor. Itu antara nama-nama yang popular dan cukup sesuai.
Entah kenapa, dari awal lagi saya melihat, kempen PR di Bagan Pinang kurang bermaya. Memanglah di situ kubu BN. Tetapi jentera PR tidak seghairah di Kuala Terengganu. Di Manek Urai dan Permatang Pasir pun, jentera PR sudah mula nampak lemah. Nampak macam dah letih je. Cuma oleh kerana Permatang Pasir adalah kubu Anwar, letih macam mana pun, digagahi jua.
Menyalahkan sekolompok tertentu dalam PAS saya kira tidak begitu tepat. Banyak benda perlu dikaji. Ada juga yang seolah-olah enggan terima kenyataan. Kononnya PAS kalah sikit saja. Undi pos yang buat PAS kalah banyak. Ada yang kata undi bukan Melayu tak banyak terjejas di pihak PAS, cuma BN dapat pertambahan yang luar biasa. Ikut suka hati kau orang lah. Analisa sekadar nak sedapkan hati sendiri pun boleh juga.
Yang bertanding di Bagan Pinang itu calon PAS atau calon PR ? Kalau calon PAS, wajarlah kesalahan diletak kepada PAS sahaja. Kalau calon PR, kena selidik apa sebab penolakan terhadap PR semakin melebar ? Dulu (2008) ketika majoriti sekitar 2000 sahaja, kita kata rakyat tolak BN kerana yakin dengan gabungan pembangkang, bukan kerana faktor PAS. Sekarang bila majoriti dah bertambah sekali ganda, kita salahkan PAS sahaja pula.
PR perlu kaji dan dekati kaum bukan melayu semula.
1. Kenapa kaum India di Bagan Pinang tiba-tiba menolak PR ?
2. Apa pula tarikan yang ada pada BN ?
3. Adakah ejen-ejen PR masih dekat dengan kelompok-kelompok masyarakat di setiap daerah, pekan dan kampung ?
4. Apakah perubahan-perubahan yang sudah dilakukan oleh kerajaan PR dimaklumkan kepada pengundi-pengundi ?
5. Adakah aduan masalah penduduk diberi perhatian dan dimaklumkan perkembangannya kepada penduduk ?
Semalam, dalam akhbar Sinar Harian (Selangor), dipenuhi dengan berita kegigihan BN mendekati kaum India. Berita pemimpin PR sudah tenggelam berbanding ketika baru menang PRU 2008.
Saya dengar perbualan beberapa orang ketika beraya di Selangor, mereka kata PAS atau UMNO serupa saja. Ia memberi gambaran bahawa PAS tidak lakukan perubahan seperti yang diharapkan. Atau mungkin juga PAS tidaklah seteruk yang digambarkan oleh UMNO selama ini, kononnya kalau pembangkang memerintah, negara akan mundur seperti sebelum merdeka.
Bagi saya, ia bergantung kepada dari sudut mana kita menilai perubahan itu. Dari sudut duniawikah, dari sudut ketuanan Melayukah, dari sudut jangka pendekkah, atau dari sudut mana ?
Bagi saya, PR sudah banyak buat perubahan. Banyak masalah masyarakat yang tertangguh sekian lama di zaman BN sudah diselesaikan oleh kerajaan PR. Isu geran tanah, isu ladang ternakan, isu rumah ibadat, isu bangunan dan tanah awam, isu salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan kroni, isu projek terbengkalai, isu tanah wakaf, perkuburan dan banyak lagi.
Tetapi rakyat nampaknya lebih cenderung untuk melihat kebajikan yang mereka perolehi depan mata, dalam kadar yang segera. Keputusan di Bagan Pinang seolah-olah menunjukkan rakyat tak kisah kalau pemimpinnya rasuah asalkan kebajikan mereka terjaga. Seolah-olah rakyat tak kisah kalau pemimpinnya kaya raya bolot projek asalkan mereka dikunjungi dan didekati selalu, diberi bungkusan beras dan gula daripada semasa ke semasa. Kalau beginilah minda rakyat, kelamlah masa depan negara. Menjadi tugas PR untuk mencelikkan minda rakyat.
No comments:
Post a Comment