Tahniah kepada Isa Samad. Ketika MCA sedang menghadapi krisis besarpun, dia boleh mendapat kemenangan besar di Bagan Pinang. Kalau MCA sedang stabil dan bersatu ? PAS mungkin hilang wang pertaruhan. Kemenangan ini adalah kemenangan Isa Samad, bukan kemenangan BN. Pengundi Bagan Pinang mahu Isa Samad, bukan BN. Walaupun yang bekerja adalah jentera BN, dengan duit BN.
Salahuddin Ayub mungkin kena belajar sepak terajang politik di selatan semenanjung pula. Walaupun dia orang Johor, tetapi dia banyak menimba ilmu di Kelantan, universiti politik terbuka. Budaya politik di pantai timur, berbeza dengan di pantai barat, di utara juga berbeza dengan di selatan. Itu belum lagi di Sabah dan Sarawak.
Apa jua alasan yang diberikan oleh PAS, hakikatnya PAS kalah teruk.
Yang menarik bagi saya ialah politik MCA. Presiden MCA menanggung malu besar kerana kalah dalam undi tak percaya. Tetapi mengikut perlembagaan MCA, dia tetap kekal sebagai presiden MCA. Saya fikir, dia akan berundur tidak lama lagi. Dia ibarat menang jadi arang. Hitam legam, bukan muka diconteng arang tapi dia sendiri dah rentung.
(Bekas) Timbalannya pula, gagal kembali ke jawatan timbalan. Tetapi saya percaya, dia puas hati. Puas hati sebab dapat malukan presidennya. Dia tahu peluangnya untuk kembali ke jawatan timbalan adalah terlalu tipis. Saya fikir, dia tidak terlalu bermimpi akan kembali ke jawatan itu melalui EGM. Yang penting dia mahu kacau presidennya sahaja. Dan dia berjaya. Dia tahu, Tee Keat tidak akan lama di situ akibat keputusan EGM itu.
UMNO juga pasti puas hati. Menteri pengangkutan baru akan dilantik selepas Tee Keat berundur nanti. Skandal PKFZ belum habis dibongkar. Tee Keat tiada daya untuk membongkarnya secara sendirian. Dia perlukan sokongan orang yang kuat-kuat, atau sekumpulan pihak yang berani menanggung risiko. Tetapi dia tidak mempunyai masa lagi. Presiden MCA selepas ini lebih mudah dijinakkan oleh UMNO.
MIC masih kurang bermaya. Penubuhan parti Makkal Sakhti dengan sokongan terbuka Najib menjadikan MIC hilang mood. Kalau betul dakwaan Makkal Sakhti dapat RM 8 juta daripada BN untuk promosi dan memperkuatkan parti, alangkah malangnya MIC. Kalau diberi 8 juta itu kepada MIC, bukankah lebih baik bagi MIC ? Ia sepatutnya menjadi hak MIC, bukan Makkal Sakhti.
Kalau dalam pilihanraya sebelum ini, perkataan Makkal Sakhti sangat dekat dengan PR, kini ia sudah semakin menjauh. Perkataan itu tidak lagi dilaung-laungkan oleh penyokong dalam PR. Sesiapa yang malungkannya, ia bermakna pro-BN, walaupun ia bukan ahli BN. Najib berpandangan jauh. MIUP pimpinan Nalla Karupan pun saya kira mendapat banyak habuan daripada BN. Pejabat partinya sudah merata walaupun penyokongnya tak seberapa. Dengan ahli yang tak seberapa ramainya, di mana dia memperolehi dana untuk membuka pejabat parti ?
Najib dan Muhyiddin boleh tersenyum lebar. Saya rasa kekalahan teruk PAS di dalam PRK kali ini pasti banyak hikmahnya. PR sudah mula ego dan over confident. Penyokongnya sudah mula berlagak. Ingat apa jadi dengan PAS Terengganu selepas PRU 1999. Penyokongnya bukan main eksyen lagi. Seolah-olah BN tak mungkin akan mampu bangkit semula.
Ingatlah, gelombang keputusan di Bagan Pinang boleh merebak ke utara, sama ada ianya gelombang biru atau gelombang pasca tsunami.
No comments:
Post a Comment