Monday, April 27, 2009

Beli buku di Pesta Buku Antarabangsa KL

Seperti tahun-tahun lepas, saya ke pesta buku antarabangsa KL di PWTC. Tahun ini, saya lihat suasana tempatnya lebih tersusun. Saya rasa lebih selesa dan santai ketika mengunjungi dan memilih buku.

Saya hanya beli satu buku pada hari Khamis dan 2 buku lagi pada hari Jumaat. Saya bawa anak dan isteri saya sekali pada hari Jumaat. Sebenarnya, saya hanya beli 2 buku dengan duit sendiri. Satu lagi, saya pakai duit isteri saya.

Isteri saya beli buku sirah nabi Muhammad. Anak saya beli buku origami. Anak saya belum boleh membaca. Tapi hampir setiap bulan saya bawa dia ke kedai buku. Kami baru saja belikan dia satu set buku untuk belajar membaca. Dia nampak tak sabar nak membaca. Dibawanya buku-buku miliknya ke hulu ke hilir setiap hari.

Saya beli buku
1. Kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan ketika solat,
2. Kesalahan-kesalahan terhadap fakta SEJARAH yang perlu diperbetulkan semula,
3. Umar Abdul Aziz.

Selepas membaca buku pertama secara rawak, saya rasa ada unsur-unsur salafi dalam buku tersebut. Tetapi tiada masalah dengan salafi bagi saya. Saya boleh terima salafi, tabligh, PAS atau apa sahaja asal bukan dalam kategori sesat lagi menyesatkan. Saya rasa buku ini perlu dibaca oleh kebanyakan kita kerana ia sangat berguna memandu kita memperbaiki amalan solat.

Buku ke 2 juga sangat menarik dan perlu dimiliki dan dibaca. Saya belum baca seluruhnya. Bila saya nak baca saja, anak saya mula menganggu. Banyak fakta-fakta menarik dan penjelasan terhadap kekeliruan dalam sejarah Islam yang pernah saya pelajari atau baca sebelum ini.

Antaranya termasuklah :
1. Kesalahan fakta sejarah zaman jahiliyah
2. Kesalahan fakta sejarah zaman rasululluh (termasuk dari hal perkahwinan baginda dengan 9 orang wanita)
3. Kesalahan fakta sejarah zaman khulafa al rasyidin
4. Kesalahan fakta zaman bani Umaiyah
5. Kesalahan fakta zaman bani Abbasiyah

Ia sangat berguna dalam kita mamahami rahsia disebalik sejarah yang tertulis, apatah lagi kalau kita menggali maklumat di internet, pelbagai versi cerita sejarah yang mungkin kita temui.

Buku ke 3, saya baru baca kata-kata aluan dan pendahuluannya. Nampak macam menarik juga. Buku ini bersaiz kecil seperti novel dan mudah dibawa ke mana-mana.

Kesemua buku diatas adalah buku terjemahan. Saya dapat satu poster Tok Guru Nik Aziz. Saya nak buat apa dengan poster ? Walaupun saya mengkagumi seseorang, tetapi saya kurang berminat nak tampal poster di dinding. Jadi saya simpan saja lah.

Blogger Ali Rustam mengundur diri

Blogger Ali Rustam yang dilantik menganggotai MT UMNO nampaknya sudah mengundur diri. Apakah ini tanda-tanda masa depan Ali tidak akan pergi jauh dalam karier politiknya ? Ali masih ketua perhubungan UMNO Melaka. Kuasanya masih besar. Kedudukannya masih disegani.

Ali menjadi blogger kedua berundur selepas Muhammad Muhd Taib. Muhammad tidak lagi menjadi ketua UMNO Selangor. Bukan juga seorang MT. Tiada jawatan menteri. Jadi munasabahlah dia tak boleh nak bayar upah kepada penulis blog upahan untuk kemaskini blognya. Dia masih boleh jadi blogger dengan menulis sendiri blognya, macam Fuad Hassan dan blogger Kuda Kepang.

Atau mungkinkah blog mereka kurang dikunjungi orang ramai. Atau terlalu banyak menerima sindiran dan kecaman hingga tak larat nak layan.

He..he.. Sabaaaaar lah Ali....

Wad 10A Hospital Selayang

Pagi Sabtu, saya dan isteri ke Hospital Selayang. Bapa mertua saya perlu menjalani satu pembedahan ringkas kerana masalah buah pinggang. Pembedahan sudah dibuat sebelum ini di Hospital KL tetapi ada masalah dan bapa perlu masuk senarai menunggu yang panjang. HKL mencadangkan kami menghantar bapa ke Hospital Selayang yang ada konsep FPP (bayaran penuh pesakit). Konsepnya ala-ala hospital swasta.

Selepas bertanya (dengan bantuan surat HKL) di kaunter bahagian kecemasan, kami diminta terus ke wad 10A.

Suasananya memang kelas. Kalah hospital Ampang Puteri mahupun Gleneagles. Maksud saya kalau nak dibandingkan dengan kadar bayaran yang setara. Saya tak pernah masuk ke wad VVIP di Ampang Puteri.

 


Kadar bayarannya hanya RM130 sehari untuk 2 katil sebilik, RM180 sehari untuk satu katil. Untuk VIP, kadarnya hanya RM300 sehari. Biliknya cukup luas dan selesa. Waktu lawatan tidak dihad. Bila-bila masa boleh datang. Bilangan pelawat juga tidak dihad. Suasananya seperti hotel.

Ampang Puteri pun lagi mahal. Suasana di wad 10A tampak lebih eksklusif berbanding ketika saya di Ampang Puteri. Cuma tak ada Astro je. Bagi saya, TV tu tak penting. Makanan boleh order ikut menu yang diberi seperti di Hospital swasta yang lain. Layanan jururawat juga mesra dan tak lekang dengan senyuman. Hanya ada dua orang pesakit sahaja ketika ini di wad tersebut (termasuk bapa).

Kami diminta buat bayaran deposit dahulu. Oleh kerana bapa akan menjalani pembedahan hari Isnin dan dijangka keluar pada hari Selasa, depositnya ialah RM3000.

 


Saya rasa, MOH perlu perbanyakkan lagi konsep sebegini di hospital-hospital kerajaan lain.
Posted by Picasa

Thursday, April 23, 2009

Dr M nafi campur urusan kerajaan

Berita Harian melaporkan Mahathir menafikan banyak campur tangan dalam urusan kerajaan. Tetapi apa yang saya lihat, kredibiliti Najib sudah banyak tercemar walaupun belum sampai sebulan jadi PM. Ia menjadi lebih teruk bila Mahathir terlalu banyak bersuara.

Ada juga pengampu Mahathir yang mahu dia jadi penasihat ekonomi kerajaan. Dia sekarang kelihatan seperti menjadi penasihat ekonomi, penasihat politik, penasihat dasar kerajaan, penasihat proton, penasihat agama dan penasihat segala-galanya hingga ada yang kata, nampak sangat Najib terlalu ikut cakap Mahathir. Itu belum lagi kritikan daripada kumpulan yang masih sayangkan Pak Lah dan sememangnya jaki dengan Mahathir.

Terbaru, Mahathir mahu menteri yang rasuah disingkirkan daripada kabinet. Mengalahkan SPRM pula dia. Bagi Mahathir, semua yang dia tahu terpalit rasuah memang sah rasuah. Kalau pembangkang (Pakatan) tu saya tak hairanlah sebab memang mereka akan ambil kesempatan apa sahaja ruang yang ada untuk menggugat lawan.

Sekarang, kalau Najib mahu bertindak mengikut apa yang difikir perlu sekalipun, mungkin dia sendiri sudah teragak-agak, sama ada takut dikritik Mahathir, atau takut dikatakan serupa Pak Lah, atau takut dikatakan terlalu ikut cakap Mahathir. Tidakkah kredibiliti Najib semakin dipertikaikan ?

Anwar mohon maaf kepada Guan Eng ?

Bila Guan Eng memberi kata dua kepada PKR supaya segera menamakan calon TKM 1 P.Pinang, saya sudah menjangka, Anwar tidak akan melayan dateline yang diberikan.

Anwar tampak terlalu elegan dan arrogant. Anwar masih dengan imej Timbalan Perdana Menteri atau bakal Perdana Menteri. Saya kira imej arrogant bukanlah imej yang disenangi dalam Pakatan.

Anwar tampak kurang sikap hormat kepada pemimpin muda dalam Pakatan. Dengan PAS, mungkin tiada pilihan sebab Pakatan tak akan ke mana tanpa PAS. Tanpa PAS, lumpuhlah sokongan Melayu dalam Pakatan. Pun begitu, ia tidak bermakna PAS perlu besar kepala dalam Pakatan, kerana PAS juga boleh hilang sokongan dan kepercayaan rakyat jika mengambil sikap arrogant dan khianat.

Jika benar seperti dilaporkan Berita Harian, memang eloklah Anwar sesekali merendah diri kepada pemimpin yang kini sudah semakin diterima oleh rakan dalam Pakatan serta rakyat. Bagaimanapun, permohonan maaf ini tiada pula dalam blog Anwar sendiri.

Anwar tidak boleh lagi bersikap seperti dalam UMNO dulu dimana dia amat digeruni. Zaman sudah berubah. Perdana Menteri dan Presiden UMNO sendiri saya lihat sudah berbeza style dan caranya melayani penyokong dalam dan luar parti. Mereka lebih terbuka dengan kritikan berbanding dengan Mahathir yang mengaku berfikiran terbuka terhadap kritikan tetapi akan memerangi pengkritiknya.

Tuesday, April 21, 2009

Krisis atau sekadar berbeza pendapat ?

Krisis atau sekadar berbeza pendapat ?

Bila dua pihak berbeza pendapat, kadang-kadang, pihak media suka melaporkannya sebagai krisis dalaman. Contohnya, ada dua kumpulan, muqabalah dan erdogan dalam PAS. Bila kedua-dua puak menzahirkan pertenangan idea mereka ke dalam pertandingan jawatan parti, makin seronok dan yakinlah pihak media bahawa krisis ini semakin merebak dan mungkin akan menimbulkan perpecahan dalam parti.

Di dalam UMNO pun begitu juga. Bila timbul perbezaan pendapat, media pro-PR akan membesar-besarkan isu sebagai bibit-bibit perpecahan. Kalau kena gaya, pengikut bawahan parti akan terpengaruh dan menjadi lebih sudu dari kuah.

Namun, bila pertentangan terlalu ketara hingga kedua-dua pihak tidak lagi mampu menafikan malah bersetuju pula dengan laporan media atau laporan khabar angin, sahlah krisis telah berlaku seperti yang dapat dilihat dalam UMNO Terengganu hari ini. Kedua-dua pihak tanpa segan silu terus mengaibkan, menghebahkan dan membongkar kurap panau di badan masing-masing.

Bila Najib mencadangkan supaya BN tidak bertanding di Dun Penanti dan kemudian tidak disetujui oleh Tun M, ia tidak pula dilihat sebagai krisis. Tapi bagaimana kalau ketua pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin lebih dahulu buka mulut dengan nada sama macam Tun M ?

Dulu, KJ dilihat lantang dan berani bersuara. Tapi akhir-akhir ini, lesu dan kelu pula. Mungkin sebab tak ada keris kot. Keris dah disimpan oleh Hishamuddin. Ada yang mencadangkan pemuda UMNO berjuang untuk kembalikan MECD yang telah dilupuskan. Pemuda hanya diam sahaja. Bila Najib cadang Dun Penanti tidak ditandingi BN, pun Pemuda UMNO diam. Sepatutnya Pemuda bangkit. Pemuda mesti bersemangat, berani dan tidak mudah menyerah kalah. Sekarang Tun M dah bersuara dulu. Kalau Pemuda sokong Tun M, nanti orang kata nak bodek Tun pulak.

Untuk puak-puak dalam PAS, biasa-biasakanlah dengan perbezaan pendapat. Jangan suka sangat perli dan cemuh rakan yang berbeza pendapat. Kata boleh berlapang dada. Tak habis-habis Roslan SMS diperli. Harun Taib dan Mustafa Ali diejek. Hassan Ali pun kena. Jangan sampai sahabat dijadikan musuh. Khalid Samad tak ada apa-apa pun dengan Hassan Ali. Kalau mereka tak sependapatpun, krisis merka ditamatkan segera selepas mesyuarat. Bila mesyuarat lagi, mungkin akan berdebat lagi. Dah memang idea masing-masing berbeza. Nak buat macama mana. Respect each other je la. Yang nampak memang betul tak ngam mungkin Husam dengan Takiyuddin. Orang Kelantan memang terkenal dengan sikap gedebe nya.

Friday, April 17, 2009

Muhammad Muhd Taib bersara jadi blogger

Blog ketua perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan presiden UMNO baru-baru ini sudah ditutup. Muhammad masih menjawat jawatan ketua penerangan UMNO setakat ini.

Beriya-iya nak jadi blogger kunun selepas BN alami kekalahan mengejut di Selangor dalam PRU 12. Ingatkan nak kuatkan UMNO dan BN. Rupanya nak promosi diri untuk Perhimpunan UMNO.

Sehingga kini, blog Ali Rustam pun tidak lagi dikemaskini sejak Perhimpunan UMNO tempoh hari.

Apa boleh buat. Petugas yang diupah untuk kemaskini blog pun dah cabut lari. Tak dapat elaun kot.

Perkampungan Hadhari tiada kaitan dengan Islam Hadhari

Sinar Harian melaporkan :

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh tidak mahu rakyat salah anggap berhubung isu Islam Hadhari dan Perkampungan Hadhari dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata, Islam Hadhari tidak mempunyai hubung kait dengan Perkampungan Hadhari yang lebih menjurus kepada konsep perkampungan dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan nasyid.

................

Betul ke tu Idris ? Menurut kertas garis panduan perlaksanaan perkampungan hadhari yang dikeluarkan oleh Jakim,

Program Perkampungan Hadhari adalah program berkaitan dengan penghayatan kepada 10 prinsip Pendekatan Islam Hadhari dan perlu ditonjolkan dalam perkampungan tersebut.

Idris lebong. Mentang-mentang Pak Lah dah tak jadi PM. Idris dulunya adalah MB yang paling menonjol dalam usaha mendaulatkan Islam Hadhari. Islam Hadhari sangat popular di Terengganu berbanding negeri lain. Hari ini, Idris cuba menunjukkan dia taklah sokong sangat Islam Hadhari. Idris tidak lagi mahu memartabatkan konsep Islam Hadhari.

Satu Malaysia : JKKK di negeri pakatan tidak dilayan

Utusan Malaysia melaporkan :

KUALA SELANGOR 16 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di empat negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.

Bukankah slogannya , "SATU MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PRESTASI DIUTAMAKAN" ? Kenapa JKKK di negeri pakatan tidak dilayan sama adil seperti JKKK di negeri BN ? Beginikah konsep satu Malaysia ? Bukankah kerajaan negeri telah dipilih oleh rakyat ?

JKKK di negeri Perak pula telah dipecat. Bukankah JKKK di Perak dipilih rakyat ? Beginikah cara kerajaan Najib mendahulukan rakyat ? Atau hanya sekadar slogan kosong ? Nampaknya, bukan rakyat yang didahulukan tetapi kepentingan dan AJK UMNO yang didahulukan.

Thursday, April 16, 2009

Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.

Soal tuntutan, bukan tuntutan bukan melayu sahaja malah tuntutan melayu pun tak semesti dilayan. UMNO pun boleh juga untuk tidak melayan tuntutan Ibrahim Ali seperti mana Ibrahim Ali tidak melayan tuntutan PAS. Dan pengundi bukan melayu boleh juga untuk tidak melayan seruan mengundi BN seperti di Bkt Gantang, dan Muhyiddin perlu sedar.

............................

Zahid Hamidi berkata, program memperkasakan Islam perlu dielak daripada menjadi satu agenda politik kerana ia boleh mengundang perpecahan masyarakat.

Betul ke naib presiden UMNO ni ? Apa komen mufti Perak ?

MECD selesai difaraidkan

Semalam, PM telah selesai memfaraidkan MECD, kementerian yang boleh dikatakan banyak membantu Melayu. Kalau disebut usahawan, bukanlah bermakna usahawan bumiputera sahaja yang dibantu, tetapi keutamaan dan peruntukan lebih kepada bumiputera.

Noh Omar tentu gembira, hasratnya untuk meletakkan TEKUN dibawah Kementerian Pertanian berjaya. Tee Keat pula tentu sedikit kecewa kerana LPKP yang dihajatinya diberi kepada JPM. LPKP adalah agensi yang sering menyalahkan drebar dan syarikat bas bila terjadi tragedi kemalangan bas, selain menyalahkan pemandu teksi bila pemandu teksi bangkitkan masalah. Nombor aduan belakang bas dan teksi untuk iklan LPKP sahaja.

Kalau kita semak saman syarikat bas, beratus-ratus saman boleh disenaraikan. Saman itu hanya untuk rekod sahaja, bukan untuk tindakan. Ia hanya untuk didedahkan bila ada kemalangan ngeri. Hanya saman individu yang diambil tindakan. Beratur lah kita nak bayar saman bila ada diskaun. Syarikat-syarikat besar goyang kaki je. Peduli apa dengan saman. Bukan ada tindakan.

Saya pernah semak saman USPD (Usahasama Proton DRB - bukan syarikat bas). Ada beratus-ratus saman. Sekarang mana ada syarikat tu lagi. Dah lama tukar nama dan pengarah.

UniKL kini diberi kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. MARA tentu kecewa. Ini kali kedua Institusi yang dibina MARA diberi kepada Kementerian. Dulu, ITM diberi kepada Kementerian Pelajaran. Malaysia Spanish Institute (MSI), Malaysia France Institute (MFI), German Malaysia Institute (GMI), Aviation Technology Institute (MIAT), British Malaysia Institute (BMI) dan beberapa lagi yang diusahakan oleh pegawai MARA semuanya sudah diletakkan dibawah nama UniKL. Tak apalah, dapat kepada kerajaan juga, bukan pada jutawan segera Melayu yang kemudiannya menagih dana kerajaan untuk di bailout.

Dulu , syarikat bas Mara Ekspres diberi kepada usahawan melayu menjadi Transnasional. Mara buat semula dengan nama Mara Liner. Bukan untuk bersaing dengan syarikat usahawan melayu, tetapi dah jelas, banyak syarikat bas ekspress bermasalah. Bila timbul masalah keselamatan orang awam, keselesaan, harga tambang, gaji, perkhidmatan dan macam-macam lagi, ada yang cadangkan supaya kerajaan ambil alih semua syarikat bas ekspres. Lepas ni, kita lihatlah, siapa pula yang bertuah untuk mendapat syarikat bas ini. Mahathir dah suruh Najib teruskan dasar pengswastaannya.

Kesimpulannya, hampir kesemua pecahan MECD diberi kepada kementerian yang menterinya adalah bumiputera-Melayu. Tak salah kalau saya katakan, ramai orang menteri sebenarnya menggunakan semua ini untuk membina pengaruh peribadi kerana mereka memang sejak dari awal berniat begitu.

Wednesday, April 15, 2009

Muhyiddin kata media Cina putar belit kenyataannya

“Janganlah sengaja nak membangkitkan isu untuk orang marah saya, (kononnya) sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya tidak menghargai sumbangan masyarakat Cina. Pernah ke kita kata begitu?” katanya selepas mendengar taklimat pegawai kanan Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.

He..he..

Siapa yang putar belit ni.

Petikan Mingguan Malaysia :

Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi. Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan. ( Mingguan Malaysia )

Sin Chew Daily melaporkan "Muhyiddin - Cina tidak bersyukur kepada BN", Nanyang Siang Pau "Cina kenakan BN. Muhyiddin - Dapat manfaat tetapi tidak beri undi" dan China Press pula "BN rasa tertipu. Muhyiddin - Penuhi tuntutan Cina tapi masih tiada sokongan".

Saya tak nampak apa yang berbelit di sini kecuali kenyataan Muhyiddin sendiri yang menunjukkan dia terbelit.

Tuesday, April 14, 2009

Budaya berpuak dalam Umno Terengganu

Jangan main-main dengan ugutan bunuh. Dulu, pada awal tahun 80an, ada Adun di N.Sembilan mati kena bunuh. Yang kena bunuhnya orang Umno, yang membunuhnya pun orang Umno. Tetapi yang ganasnya tetap pembangkang.

Yang terima ugutannya 3 orang. Yang takutnya 10 orang. Tahu takut juga rupanya dia orang ni. Dulu bukan main berani. Jangan kata dengan DAP, PKR atau PAS, dengan istana pun tak tahu takut. Sekarang, dengan orang Umno sendiri pun takut. Ketua kelab penyokong kerajaan pulak tu.

Logiknya, apa nak takut. Ugutan tu hanya jika diteruskan undi tidak percaya kepada MB. Kecuali mereka memang merancang undi tidak percaya kepada MB. Oleh kerana mereka nampak takut sungguh, sah lah mereka memang ada niat melakukannya.

Budaya ugut dan politik gangster ni sungguh memalukan UMNO dan rakyat Terengganu. Izinkan saya mencadangkan supaya semua kepala UMNO yang berpuak-puak ini digugurkan daripada menjadi calon untuk pilihanraya yang akan datang. Najib mesti berani buat perubahan.

Satu Malaysia

Najib mahu konsep Satu Malaysia. Di Terengganu, SATU adalah nama syarikat pembekal air bersih untuk negeri Terengganu. Kini namanya ialah SATUWATER.

Tetapi khabarnya, Adun negeri Terengganu tak bersatu. Sampai ugut mengugut. Boikot memboikot. Macam mana nak jayakan konsep SATU MALAYSIA. SATU TERENGGANU pun tak menjadi. Di Perlis pula, ketua penerangan UMNO negeri kata produk haram UMNO menjadi Menteri Besarnya.

Sebelum, kabinet diumum, MCA sudah bising, tak puas hati. Lepas kabinet diumum, MIC pula bising. MCA kata, jangan pertikai keputusan PM. Kabinet adalah hak mutlak PM. He..he..he.. MCA boleh lah cakap sebab dia dah dapat apa yang dia mahu.

Najib sudah pening. Muhyiddin pun pening. Muhyiddin kata, BN sudah beri (rasuah?) macam-macam kepada pengundi di Bkt Gantang dan Bkt Selambau, tapi pemberian itu tak dihargai, tak dibalas dengan undi. MCA dan Gerakan marah. Katanya, orang Cina tak mahu dianggap seperti pengemis. Dengan kata lain, orang Cina bukan macam Melayu (Umno), yang boleh diumpamakan seperti pengemis.

MECD, satu kementerian yang boleh disifatkan banyak membantu bumiputera dihapuskan. LPKP yang biasa keluarkan lesen Bas dan Teksi kepada Ketua UMNO Bahagian sebelum dibahagi kepada Ketua Umno cawangan nak diambil alih oleh Ong Tee Keat di Kem. Pengangkutan. MARA yang duitnya dah habis dikerjakan oleh Noh Omar dan Idris Jusoh sebelum Pemilihan Umno dipindah ke Kem. Pembangunan Luar Bandar.

Dulu, sekitar tahun 1996-97, duit Mara digunakan untuk beli kelab golf Rahman Putra. Apa kena-mengena kelab golf dengan membantu bumiputera tak tahu lah. Sekarang, UniKL pun khabarnya dah kehabisan wang dikerjakan oleh sang menteri dan pengerusi MARA. Orang MARA khabarnya tak suka dengan Idris Jusoh sebagai Pengerusi MARA.

Mungkinkah orang Terengganu mahu semula Idris Jusoh jadi MB Terengganu ? Supaya cepat habis duit royalti minyak. Alah, yang kaya nanti kontraktor bumiputera Terengganu juga. Tak bangga ke kita bila tengok usahawan Melayu Terengganu kaya raya, dengan banglo besar, kereta mewah. Islam Hadhari Terengganu Bestari mungkin perlu ditukar kepada Satu Terengganu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Friday, April 10, 2009

Mahathir pusing cerita

Dalam blognya Mahathir menulis,

14. Yet in the Bukit Gantang and Bukit Selambau elections the BN was accused of wanting to remove a "Chinese" Government in Perak. This is blatantly racist. The BN simply wanted to get back a State ruled by the oppositionIt had nothing to do with wanting to remove a "Chinese Government". By using this racist argument to win Chinese votes, it is clear that the Pakatan is far from being dedicated to multiracialism.


Betulkah Pakatan yang rasis ? Cuba baca blog yang pro BN. Blog Perak Bangkit, ParpuKari, GOMO, Blog Rasmi BPN, siapa yang bangkitkan isu rasis ? Mereka yang racunkan, kalau undi PAS bermakna undi DAP. DAP bermakna Cina. DAP adalah kembar PAP (Singapore). Kalau undi BN bererti undi UMNO. Bacalah akhbar Utusan sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini. Semua berita kerajaan Perak digambarkan memenangkan Cina dan mencemaskan Melayu.

Tiba-tiba, Pakatan pula yang dituduh rasis. Pembelit betul.

Wednesday, April 08, 2009

Tak kenal UMNO punca Sarawak pilih BN

Rakyat Sarawak khususnya di Batang Air menerima dan yakin dengan kepimpinan Najib sebagai PM baru Malaysia. Di Semenanjung, penduduk Bukit Gantang dan Bukit Selambau menolak BN.

Kalau kita fikir-fikirkan, Sarawak, bumi yang tiada UMNO di situ masih setia dengan BN. Adakah rakyat Sarawak boleh menerima BN di sana sebab di sana tiada UMNO ? Rakyat Sarawak belum kenal dengan UMNO. Bumiputera Sarawak khabarnya menolak kemasukan UMNO ke bumi kenyalang itu. Nasib baik tiada UMNO. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tetapi, bagi penduduk semenanjung, bila dah kenal, meluat, benci dan marah pula jadinya.

Undi Melayu masih berpihak kepada BN. Jadi kesimpulan bodohnya, bukan salah UMNO tapi kelemahan komponen lain termasuk MIC, MCA, Gerakan dan PPP. Walhal, pengundi bukan Melayu tidak undi BN bukan sebab mereka benci dengan MIC, MCA, Gerakan atau PPP. Okay, pengundi India mungkin benci Presiden MIC. Tetapi yang mereka turut benci ialah sikap orang UMNO sendiri.

Pengundi Melayu memang terkenal dengan sifat setia sejak dulu. Kalau dari segi peratusan tahap kesetiaan, saya rasa Melayu paling tinggi. India di tangga kedua dengan syarat kelompok mereka diberi perhatian. Cina ditangga ketiga dengan syarat seluruh komuniti mereka tidak digugat.

Di Sabah, penduduk di sana sudah mula boleh menerima UMNO tetapi budaya masyarakat di sana agak berbeza. Lagipun, UMNO mungkin belum menunjukkan belang keangkuhannya di sana. Bilangan parti politik di sana banyak dan sedikit sebanyak memberi persaingan sengit sesama komponen BN. Jadi UMNO di sana mungkin tiada masa untuk bertelagah sesama sendiri. UMNO di semenanjung, adalah satu-satunya juara orang Melayu. Jadi mereka berpeluang untuk dengki-mendengki, jatuh-menjatuhkan sesama sendiri.

Dulu, pernah ada orang kata, orang semenanjung sombong. Sebenarnya, yang sombong ialah orang UMNO.

Pakatan perlu bekerja keras untuk menarik sokongan orang Melayu kerana walau siapa pun memerintah Malaysia, Melayu perlu jadi teras utama dalam pentadbiran negara. Sentimen ini saya percaya bukan dalam diri saya sahaja tetapi dalam diri penyokong BN dan penyokong Pakatan juga terutamanya jika mereka orang Melayu.

Monday, April 06, 2009

Aura Najib, Aura Mahathir dan Aura Nizar

Ada yang berkata, Najib pelengkap kepada teori RAHMAN. Tanpa kita sedari, jika kita turut mempercayainya, bermakna solat kita tidak diterima Allah selama 40 hari. Jangan main-main dengan ramalan sebegini, walaupun untuk suka-suka. Dan jangan juga mereka-reka teori baru kerana bila ada yang mula percaya, kitalah pengasasnya.

Berbalik kepada aura, nampaknya tidak dapat dinafikan, Nizar mempunyai aura yang masih hangat. Tak hairanlah, beliau dapat menarik orang ramai untuk berbondong-bondong ke ceramah dan program yang dia hadiri.

Najib, yang disangsikan kepemimpinan, ketokohan, kejujuran, kewibawaan, keBCAan (Bersih, Cekap, Amanah) oleh PAS, PKR dan DAP juga ada aura tersendiri. Bagi saya, saya yakin Najib lebih baik daripada Pak Lah dan Mahathir. Pak Lah telah banyak melakukan pembetulan demokrasi di Malaysia, juga pembetulan memperkasakan semula sektor pertanian. Saya yakin Najib tidak akan kembalikan semula pemerintahan ala Mahathir. Saya juga tidak suka melayan khabar angin pembabitannya dengan Altantuya. Tiada bukti dan saksi kukuh untuk mempercayainya. Saya cenderung untuk bersangka baik dengannya. Begitu juga dengan cerita Najib takut bini. Ini cerita yang tak ada nilai untuk dilayan.

Saya yakin dia akan cuba buat sebaik ayahnya. Cuma dalam masa yang sama dia kena layan kerenah Mahathir yang suka memaksa. Mahathir mungkin akan merosakkan kredibiliti Najib, mengganggu pentadbiran Najib.

Najib mungkin akan cuba mengajak PAS untuk bersama dalam kerajaan perpaduan seperti yang dilakukan ayahnya dulu. Kalau PAS terima dan meninggalkan Pakatan Rakyat, bermakna PAS khianat. Meninggalkan PKR dan DAP selepas bersama-sama menempuh fitnah UMNO, bukan satu langkah yang betul dan bijak. DAP kini sudah semakin memahami budaya dan realiti masyarakat Melayu kerana dia banyak berkawan dengan pemimpin Melayu Islam, seperti juga Gerakan, MCA, MIC dan PPP. Cuma DAP lebih berintegriti.

Mahathir pula juga ada auranya sendiri. Saya percaya langkah Najib dan Mahathir akhir-akhir ini sedikit sebanyak dapat mempengaruhi pengundi di ketiga-tiga PRK. Tetapi saya harap BN kalah kesemuanya.

Aura Anwar sudah semakin terhakis. Dia masih berkarisma tetapi tingkah lakunya sendiri disamping peranan media BN menjunamkan imejnya. Harap dia dapat memperbaiki semula imejnya yang semakin tercalar.

Hari ini, TV1 khabarnya menyiarkan secara langsung kempen Mahathir di Bkt. Gantang. Macam nak berkempen satu Malaysia. Kalau TV Malaysia dapat siarkan juga kempen Nizar dan Ahmad Awang di Bkt. Gantang secara langsung, kan bagus. Baru adil.

Saya harap, tindakan TV Malaysia ini akan meningkatkan lagi rasa meluat pengundi kepada BN dan rasa simpati kepada Pakatan.

Kadang-kadang, bila baca kisah orang munafik dalam Al Quran, teringat dengan sikap orang Melayu kita yang mengaku Islam tetapi keberatan untuk menerima atau mengamalkan Islam seluruhnya. Orang munafik ada yang tidak sedar bahawa dia sebenarnya memiliki sifat munafik. Mereka tertipu dengan kata-kata mereka sendiri.