Monday, November 09, 2009

Bohong

Pernahkah anda berbohong ? Kalau anda tak pernah berbohong, saya respek habis. Sukar untuk kita mengaku bahawa kita tak pernah berbohong.

Lihat anak-anak kecil. Si Abang pukul si adik. Bila si adik menangis, Abangnya tak mengaku dia yang buat. Paling tidak dia kata adiknya yang mula dulu walaupun itu tidak benar.

Dua beradik main kejar-kejar. Bila seorang jatuh dan menangis, dia akan kata yang sorang lagi buat.

Kita tidak pernah diajar berbohong. Kita tak suka dibohongi. Kita juga mungkin tak suka berbohong. Tetapi dalam keadaan terdesak, kita berbohong juga. Ia berlaku secara spontan. Untuk selamatkan diri.

Kadang-kadang dalam keadaan kita berperang mulut, secara tak sengaja kita berbohong, untuk menyokong cerita atau hujjah kita. Pada masa yang lain, kita sesali semula kerana kita sudah berbohong. Menokok tambah atau merahsiakan cerita sebenar.

Saya pernah buat satu kesalahan ketika zaman sekolah. Cikgu tanya, siapa yang buat. Semua tak mengaku termasuk saya. Saya sedar, saya lah yang buat. Adakah saya dikira berbohong ?

Imam Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab "Raudhah", dengan katanya, "Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu."

Bohong adalah salah satu sifat orang munafik. Tetapi bila kita berbohong bukan bermakna kita munafik terus. Cuma kita memiliki sifat orang munafik. Sebab itu, kita disuruh berdoa, minta dipelihara diri daripada sifat orang munafik. Dan doa itu perlu diteruskan sampai kita tua, sampai mati.

Bukan mudah nak mengelak diri daripada berbohong. Kadang-kadang, dengan anak-anak pun kita tipu. Suami tipu isteri. Isteri tipu suami. Kebanyakannya bukan dengan niat. Bukan mahu aniaya atau khianati sesiapa pun. Semata-mata untuk kepentingan sendiri saja dan hanya untuk saat itu sahaja.

Selain bohong ialah janji. Sukar untuk kita tepati janji, terutama dari segi masa. Jalan sesak, lupa, hujan, sakit, ubah fikiran. Bila kita fikir, aku tak sepatutnya teruskan perkara ini kerana keburukan lebih besar daripada kebaikan, kita jadi terpaksa ingkar janji. Apa pun alasan yang diberi, walaupun betul, hakikatnya kita sudah mungkir janji. Janji kita dah jadi tipu.

Kadang-kadang, dengan ibu bapa kita sendiri pun kita bohong. Bila dikenang semula pembohongan-pembohongan yang pernah kita buat, kita pasti rasa menyesal. Kita mungkin sudah berkali-kali memohon ampun dan maaf dengan ibu bapa kita, tetapi kita mungkin masih teringat dosa kita menipu mereka suatu ketika dulu.

Saya percaya ustaz-ustaz dan ulama-ulama juga tidak terkecuali daripada kesilapan seperti ini. Bukan mereka berniat mahu menipu sesiapa tetapi kadang-kadang, benda yang mereka kurang pasti atau ingat-ingat lupa, mereka sebut dengan penuh yakin.

Apatah lagi orang yang kerjanya banyak bercakap. Jurujual atau ahli politik, misalnya.

3 comments:

Bila Diary Bercerita said...

Selalunya orang yang bercakap lupa apa yang diucapkannya tapi yang mendengar selalunya ingat & kadang-kadang simpan dihati.

~PakKaramu~ said...

Salam ziarah dari Pak Karamu

Yanaam said...

Salam disambut dengan rasa terima kasih.