Thursday, November 05, 2009

Perpaduan kaum, Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam

Mengikut pengamatan saya, perpaduan kaum di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding sebelum PRU12 tahun lepas. Perpaduan kaum yang terbina secara tidak terancang melalui keputusan PRU12 yang memaksa PAS dan DAP berkerjasama. PAS berpakat dengan PKR dan DAP juga berpakat dengan PKR melalui pakatan yang tidak sama pada mulanya. Namun keputusan yang diluar jangkaan itu telah membulatkan tekad kedua-dua parti untuk bekerjasama.

Saya masih ingat, sebelum PRU12, penyokong-penyokong PAS di portal tranungkite.net mengata bermacam-macam kepada DAP, dan ada yang merancang jangan keluar mengundi kalau DAP yang bertanding. Sebenarnya, dalam PRU10, PAS ada pakatan secara longgar dengan DAP dan ramai penyokong PAS yang telah mengundi DAP. Cuma dalam PRU11, DAP enggan berpakat dengan PAS kerana merasa mereka rugi banyak dalam PRU10. Tambahan pula keceluparan TGHH dengan isu ubat tamat tempoh menyebabkan DAP sukar menerima PAS. Tindakan DAP nyata bijak kerana mereka kembali mendapat momentum dalam PRU11.

Selepas PRU12, DAP pusat teragak-agak untuk bersama PAS membentuk kerajaan, begitu juga dengan PAS sendiri. Atas sebab itulah barangkali, PAS bersedia berunding dengan UMNO kerana tiada tanda-tanda yang jelas, bagaimana kerajaan di beberapa negeri boleh dibentuk. Mungkin PAS Terengganu menaruh harapan untuk turut sama dapat menumpang dalam kerajaan Terengganu, jika UMNO mahu berpakat di Selangor dan Perak.

Namun keadaan menjadi berbeza kerana DAP Perak beriya-iya mahu berpakat dengan PAS dan PKR walaupun pada mulanya dibantah oleh DAP pusat. DAP Perak bersedia dihukum oleh DAP Pusat, kerana DAP Perak sudah lama berkerjasama dengan PAS Perak secara tidak rasmi. Tawaran oleh PKR Selangor pula mengajak DAP Selangor dan PAS Selangor untuk berada dalam satu kerajaan Pakatan.

DAP pusat dan PAS pusat akhirnya akur dengan desakan pimpinan negeri masing-masing, paling kuat saya kira adalah daripada Perak. Bila sudah bermulanya pakatan, masing-masing terpaksa mencari titik persamaan dan cuba melupakan perbezaan, masing-masing cuba memahami sensitiviti rakan pakatan dan mula mahu belajar mengenali budaya masing-masing. Daripada situlah, perpaduan kaum menjadi semakin muhibbah walaupun saya percaya, prasangka lama mungkin masih ada dan tidaklah hilang dengan begitu mudah dan cepat.

Hanya media UMNO sahaja yang cuba mengungkit isu perkauman supaya pakatan rakyat dapat dipecah-belahkan seberapa segera yang mungkin. Lalu timbul isu tanah rizab melayu, kampung baru, geran, peruntukan perbelanjaan, perjanjian pangkor 2, isu rumah ibadat, tanah perkuburan dan macam-macam lagi isu sensitif. Namun semuanya itu telah mempercepatkan lagi proses mematangkan pakatan rakyat, memahami masalah semasa dalam pentadbiran negeri dan isu menghormati sensitiviti kaum, agama dan budaya.

Kini kerajaan BN menggunakan slogan 1Malaysia untuk menarik semula sokongan kaum bukan Melayu kepadanya selepas menyedari isu perkauman yang cuba dibangkitkan sebelum ini lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Ketika isu perkauman cuba dibangkitkan, PKR, PAS dan DAP pula bermati-matian mempertahankan tindakan kerajaan PR dalam isu-isu sensitif dan sekaligus memperlihatkan mereka menjadi juara dalam isu tersebut, sedang BN hanya memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap mereka.

Menyentuh isu perpaduan Melayu dan perpaduan Islam, elok kita tanya diri kita, adakah orang Melayu berpecah kerana politik kerpartian semata-mata ? Sesama orang UMNO pun, berpecah-belah juga. Sesama orang PAS pun berpecah belah juga. Kalau PAS dan UMNO berkerjasama, adaka masalah perpaduan melayu dan Islam ini boleh selesai ? Dalam kes Dr. Maza pun kita dapat lihat, dalam UMNO ada yang sokong Dr. Maza dan ada yang menentangnya. Begitu juga dalam PAS. Mufti-mufti sendiri pun ramai yang mahu pengaruh mazhab Dr. Maza disekat.

Jadi masalah perpaduan melayu mungkin dilihat secara luarannya selesai jika PAS dan UMNO duduk bersama tetapi hakikatnya, bukan sahaja perpaduan melayu dan Islam tidak benar, malah perpaduan kaum mungkin jadi lebih buruk kerana satu pihak dikuasai Melayu dan Islam dan di satu pihak lagi mungkin menjadi tumpuan sokongan kaum dan agama lain.

Oleh itu, biarlah sistem dua parti ini tumbuh dahulu dan suburkan ia dengan perlembagaan sedia ada sebelum kita melihat buah yang akan dituai kemudian untuk generasi akan datang yang kemudiannya akan mencorakkannya pula. Semoga Islam turut subur bersamanya dan berkembang melalui tauhid, iman, akhlak dan taqwa yang tersemai bersama kerajaan PR atau kerajaan BN. Saya lebih suka melihat Islam berkembang melalui kekuatan ummahnya, bukan melalui kuatkuasa undang-undang dahulu, apatah lagi melalui mata pedang. Jihad kita di Malaysia hari ini ialah jihad untuk melahirkan ummah yang kuat akidahnya, luhur akhlaknya, teguh imannya dan pintar akalnya dengan ilmu yang menjadi penyuluhnya.

No comments: