Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika ulama melantik mat rempit sebagai penasihat. Pemimpin melantik budak-budak penghantar surat sebagai tempat minta pandangan.
Semua orang boleh memberi nasihat. Semua orang wajib memberi nasihat. Semua orang berhak untuk memberi nasihat.
Saya bukan nak merendah-rendahkan golongan mat rempit atau budak-budak despatch. Mereka juga ada idea dan pandangan sendiri dari kaca mata mereka sendiri. Ia hanya sekadar contoh sahaja untuk difikir-fikirkan.
Dalam Al Quran yang menjadi sumber rujukan (petunjuk) kepada orang-orang yang bertaqwa, ada disebut supaya kita saling nasihat menasihati. Tetapi ayat itu dimulai dengan beriman dan beramal soleh. Jadi kita dianjurkan supaya beriman dan beramal soleh dahulu supaya nasihat kita menjadi lebih berkesan, bernilai dan diterima baik.
Begitu juga bila hendak lantik penasihat, mestilah yang beriman dan beramal soleh, baru mantap. Mungkinkah ada yang berkata, yang mengaku beriman pun kelentong juga, usang berbulu ayam pun ada. Yang penting, itu perintah Allah dan termaktub dalam Al Quran.
Kemudian, nasihat itu perlulah dengan cara kebenaran (kebenaran itu datang dari Allah). Juga dengan cara kesabaran. Juga dengan kasih sayang. (rujuk surah Al-Asr dan surah Al Balad) Itu kaedahnya menyampaikan nasihat kepada sesama jemaah Islam.
Yang boleh kita gunakan cara yang sedikit keras ialah kepada golongan munafik, fasik, yang terang-terang menentang Islam atau menolak Islam, lebih-lebih lagi dia mengaku Islam kerana mereka sudah dikira merosakkan imej Islam itu sendiri.
Pun begitu, kalau nak menarik orang kafir menerima Islam, tentulah cara sabar dan kasih sayang itulah yang lebih baik.
Jadi kepada yang suka beri nasihat dan kritikan, kalau guna cara maki hamun, caci cerca, ikut sedap hati je, hentikanlah. Lebih-lebih lagi yang ditegur itu adalah pemimpin kita sendiri. Menegur ibu bapa tidak boleh sama dengan menegur anak-anak, walaupun kita amalkan konsep satu Malaysia. Bukan kritikan anda tidak betul, tetapi cara anda mengkritik itu yang terang-terangan salah. Lama-kelamaan, yang dikritik pula yang mendapat simpati dan pembelaan.
No comments:
Post a Comment