Tuesday, March 31, 2009

MARA tak ada duit

Noh: PAS tohmah Tekun 'cekik darah'
Mar 31, 09 12:07pm
Datuk Noh Omar membidas pembangkang kerana menyifatkan skim pembiayaan Tekun Nasional bagi membantu usahawan kecil menyerupai peminjam wang haram yang "mencekik darah".


Tekun cekik darah, saya tak tahu. Yang saya tahu, kalau nak pinjaman Tekun, kena isi borang UMNO.

Berita terkini pula, MARA, sebuah lagi agensi dibawah MECD kini kehabisan wang. Nak bayar elaun pelajar pun tak ada duit. Pinjaman untuk usahawan dah diluluskan tetapi cek tak keluar-keluar. Macam-macam helah dan alasan digunakan. Sebenarnya, MARA tak ada duit. Agaknya semua dah dikeluarkan sebelum Pemilihan Umno baru-baru ni. Nak bertanding punya pasal, semua mesti lulus dan keluar dengan cepat dan berkesan.

Tahniah kepada menterinya, Noh Omar kerana menang MT. Antara yang mendapat undian tertinggi pulak tu.

Sekarang, kalau anda ke Pejabat MARA Daerah atau Negeri, mereka kata, pinjaman dibekukan buat sementara waktu. Menggelupur usahawan bumiputera nak cari duit nak biaya projek. Dah lah ekonomi teruk. TERBARU, ada kontraktor terima cek tendang daripada MARA.

Menyanyi bukan main, UMNO TERUS MARA, UNTUK RAKYAT SEMUA.

Monday, March 30, 2009

Calon bebas untuk dibeli

3 orang calon bebas di Bkt Selambau sedia tarik diri. Tapi cerita itu sebenarnya tak habis di situ. Ia ibarat iklan sahaja. Mereka sebenarnya menawarkan diri untuk menarik diri. Mereka adalah pencinta perjuangan Melayu. Mereka amat peka dengan perpaduan Melayu. Dengan kata lain, mereka ibarat masih sayangkan UMNO.

Oleh kerana mereka ada kena-mengena dengan UMNO, mereka sedikit sebanyak mampu menarik sokongan orang UMNO. Kalau BN tak mahu undi BN terpecah, sila kow tim dengan mereka. Tak kan nak tarik diri bodo-bodo je tanpa ada urusniaga. Ini bukan ugutan. Ini bukan rasuah. Ini bisnes. Kata Pak Ya Ismail yang tulis buku pasal Khairy Jamaluddin. Ada lagi selain mereka Melayu bertiga ni. Ada bekas aktivis Gerakan, bekas aktivis PPP. Bekas ahli PKR pun mungkin ada.

Nah. Selamat berurus niaga.

Bukit Gantang

Berdasarkan kepada foto penamaan calon di Bukit Gantang serta laporan-laporan pro-PR, ada yang menganggarkan kehadiran sekitan 60 ribu, 80 ribu malah 100 ribu. Angka yang melampau-lampau, bagi saya amat memualkan.

Memang, nak kira jumlah kehadiran orang ramai agak sukar. Kalau dalam stadium, lebih mudah. Jadi, bagi saya untuk memudahkan anggaran, cuba bayangkan semua penyokong tu dibawa masuk ke stadium yang anda biasa masuk.

Stadium Sultan Ismail KT boleh memuatkan sekitar 15-20 ribu orang. Kalau semua penyokong Pakatan tu dibawa masuk ke stadium tu, penuh tak. Saya rasa mungkin penuh. Maaf lah, saya tak hadirpun ke penamaan calon semalam, jadi anggaran saya mungkin jauh tersasar. Saya anggarkan, seramai 20-30 ribu penyokong PR sahaja.

Penyokong BN pula mungkin tak sampai suku stadium. Lebih kurang 5-10 ribu orang sahaja. Mungkin ramai orang UMNO yang masih keletihan selepas seminggu berhimpun di PWTC. Tambah pula tempat BN tak dilindungi teduhan. Siapa lah yang merancang semua ni. Mungkin orang UMNO/BN tak mahu tempat yang dipenuhi pokok-pokok sebab banyak nyamuk di situ.

Dalam kes lain pula, sebuah masjid menjadi tumpuan bila rombongan BN bertembung dengan rombongan calon PAS. MB Zambry khabarnya berang dengan MB Nizar kerana menggunakan masjid untuk kepentingan politik. MStar online melaporkan, BN sudah mengatur majlis di masjid itu. Jadi siapa sebenarnya yang guna masjid untuk kepentingan politik ? He..he..

Saya kira, ini adalah sejarah baru PAS di Bkt Gantang. Tak pernah terfikir, PAS akan semeriah itu di Bkt Gantang, sebuah kubu kuat BN. Kalah menang belum tentu. Kehadiran penyokong tak semestinya bermakna PAS akan menang besar, tetapi ia menyuntik semangat petugas dan pengundi di situ. Sebelum ini, BN selalu mewar-warkan kehadiran penyokongnya yang ramai sebagai tanda sokongan besar yang bakal diperolehi BN.

Teruskan perjuangan.

Sunday, March 29, 2009

PRK : Tahniah kumpulan Bloggers Network

Mengikuti laporan langsung melalui kumpulan bloggers network memang menarik. Suasana dan foto dikemaskini daripada semasa ke semasa. Sementara laporan di kumpulan BPN (Blogger Pembela Negara) yang pro BN amat mengecewakan. Tiada laporan secara langsung.

Cuma gambar yang ada perlu lebih profesional pada masa akan datang. Perlu ada blogger yang menyusup ke kem BN untuk melaporkan dan merakam gambar di sana. Kamera dan videocam yang boleh zoom in lebih jauh perlu dimiliki. Mungkin pihak Pakatan kena mencari sponsor atau penaja untuk gajet yang lebih canggih.

Calon AKIM tak kelihatan. Mungkin tak dapat penaja sebab tajaan dalam PRK sebelum ini nampaknya tidak banyak memberi kesan. AKIM sudah mengiklankan niatnya untuk menyertai PRK di 2 bukit tetapi tiada sambutan. 10,000 ahli AKIM tentu kecewa.

Harapan saya, tentulah Pakatan Rakyat menang !!!

Friday, March 27, 2009

Perwakilan pemuda UMNO kata Khairy perasuah

Lebih 30 peratus perwakilan pemuda UMNO menganggap ketua mereka yang baru adalah seorang perasuah. Angka lain menyebut lebih 50 peratus atau hampir 2/3 daripada perwakilan menganggap begitu.

Suka atau tidak, redha atau tidak, itulah ketua mereka sekarang. Berani, bijak tapi perasuah. Wallahua'lam.

.........................

Seorang perwakilan UMNO mengeluh kerana golongan ulama tidak menyebelahi UMNO. Dah kau orang hina ulama, pecat mufti, hina nabi, sekat peruntukan untuk SAR, lepas tu nak harap sokongan mereka pula. Sampai mufti tu dah wafat, kau orang tak pernah minta maaf dengannya. Dimakan sumpah lah jawab nya.

Sebab tu MB yang bersubahat tu akhirnya dijatuhkan teman seperjuangan. PM yang bertanggungjawab tu pun masih tak senang hati sampai sekarang. Belum tentu PM baru yang akan datang dapat puaskan hatinya. Dengan UMNO sekali tersungkur. Memang semuanya tak datang serta-merta selepas pecat mufti, selepas hina nabi dan ulama. Tapi ia tetap datang juga selepas diberi masa untuk bertaubat.

........................

Kata perwakilan tu lagi, UMNO gagal selesaikan masalah tanah rakyat selepas berpuluh tahun memerintah sebab masalah birokrasi di jabatan kerajaan. Bukan sebab kelemahan UMNO.

Mudahnya UMNO salahkan pegawai kerajaan. Dia yang memerintah. Dia yang gagal. Lepas tu salahkan orang lain.

Peliknya, tak sampai setahun Pakatan memerintah, banyak isu tanah diselesaikan. Di Perak, Selangor malah di Terengganu pada tahun 2000.

Isunya ialah, UMNO dan rakan-rakan dalam BN sentiasa tangguhkan isu rakyat untuk digunakan sebagai senjata mengugut rakyat supaya terus menyokong BN. Kalau undi BN, kita akan selesaikan isu geran tanah. Tapi bila dah menang tak selesai juga. Pilihan raya seterusnyapun gitu juga. Orang asli ke, orang melayu ke, malah orang cina, india, semua sama. Kena tipu dengan UMNO dan BN.

Belajar merokok, Ilmu yang tak bermanfaat

Perokok lebih hina daripada lembu. Itu kata Tok Guru Nik Aziz. Alahai tok guru. Berdakwah biar cermat. Biar berhikmah. Tetapi itu tajuk berita dalam Berita Harian Online. Mungkin sengaja nak rosakkan imej tok guru. Kita tak pasti, dengan siapa tok guru bercakap. Kepada siapa tok guru tujukan.

Memang perokok ni degil. Memang dah banyak kali diberi nasihat. Tapi mereka tetap begitu, malah kadang-kadang bangga pula, nampak angkuh di situ. Tapi berdakwah tetap memerlukan kesabaran.

Bergantung kepada sasaran dakwah kita, maka berbeza jugalah pendekatan kita. Macam bila kita berbual. Dengan pemimpin, lain caranya, dengan kawan-kawan, lain caranya, dengan bos, dengan raja, dengan adik-beradik, dengan mertua. Semua kita sesuaikan mengikut adab dan adat. Kalau secara umum, saya rasa tak sesuai untuk mengatakan perokok lebih hina daripada lembu.

Teringat dulu, saya sendiri pernah merokok. Bukan sedap pun. Pertama kali hisap, bukan sekadar tak sedap, malah terbatuk-batuk. Tapi nak tunjuk dewasalah konon. Saya percaya, orang tak merasa nikmat merokok ketika mula belajar merokok. Ini yang kita sebut, ilmu yang tak bermanfaat.

Dalam doa, kita baca, "Allahumma inni a'uzubika min ilmil la yanfa'". Ya Allah, jauh kan kita daripada ilmu yang tak bermanfaat. Tapi kita masih buat juga. Kita masih mencari-cari juga.

Fikir-fikirkan.

Thursday, March 26, 2009

Dari hal sayap UMNO

Malam tadi, saya beritahu isteri saya, Shahrizat dah menang Ketua Wanita. Rafidah kalah. Spontan isteri saya jawab, "Padan muka dia."

Saya kata lagi, untuk ketua pemuda, terpaksa buat kiraan semula. Isteri saya tanya, "Kalau abang, Abang pilih siapa?" Saya jawab Khairi Jamaluddin.

Bagi saya, Si Mukhriz tu tak setanding dengan Khir dan KJ. Bukan sebab saya benci Mahathir. Tetapi jelas, Mukhriz tidak mewarisi sifat dan karisma bapanya. Khir dan KJ lebih berwibawa daripada dia, setakat ini. Ingat, orang politik sentiasa belajar dan menimba pengalaman. Mungkin satu hari nanti, Mukhriz pula lebih baik, siapa tahu.

Usah cerita pasal rasuah, semua sama je. Itu UMNO. Duit mesti kena keluar. Kalau tak, satu kerja pun tak jalan. Sukarelawan tu pun mesti diberi projek. Baru NGO yang pro UMNO meriah.

Friday, March 20, 2009

Sabaaaar lah UMNO

Sabaaaaaaarlah Ali. Begitu akhir lagu Ali Mamak.

Kesian Abang Ali. Dia tak bersalah. Cuma ejennya yang tersilap. Ejennya belanja makan sambil bersembang bertukar-tukar fikiran. Itulah masalahnya UMNO. Belanja makan pun tak boleh. Kalau dah ajak berjumpa, takkan sembang kosong je. Bersembang sambil makan, biasa lah tu. Ada ketikanya, hadir kenduri pun tak boleh. Tujuannya semata-mata nak sekat amalan rasuah politik atau politik wang. Boleh bertanding, tapi tak boleh berkempen. Apa punya undang-undang. Kalau berkempen dalam UMNO tu salah, adakah kempen untuk pilihanraya tu salah ? Adakah belanja makan ketika kempen pilihanraya pun rasuah ?

Masalah rasuah politik dalam UMNO memang berlaku secara terbuka. Masalah utama bukan belanja makan. Masalah utama ialah dapat duit poket secara tunai. Masalah utama ialah melancong percuma sambil membeli-belah. Masalah utama ialah ganjaran projek dari puluhan ribu hingga jutaan ringgit. Atau mungkinkah juga ada rasuah seks ? Tetapi setakat ini, yang dibuktikan oleh lembaga disiplin parti ialah belanja makan.

Ali tak akan melawan. Macam Isa Samad yang tidak melawan. Mereka tetap setia. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Itu cogan kata UMNO.

Bersatu. Betul ke bersatu ? Sebab bersatu ke jadi macam sekarang ? Mahu melayu bersatu dalam kerajaan. Mahu melayu bersatu dalam UMNO. Melayu lemah kerana tidak bersatu. Tetapi kalau bersatu dalam UMNO, Melayu jadi semakin lemah sebab UMNO sudah tidak dipercayai lagi. Kalau semua Melayu bersatu dalam UMNO, bukan sahaja UMNO malah Melayu juga tidak dipercayai lagi.

Bersetia. Setia ada makna. Kalau Isa Samad buat perangai Hang Jebat, di mana tempat dia sekarang ? Masih ada peluang bertanding Naib Presiden atau di penjara Sg. Buluh ? Abang Ali pun begitu juga. Jangan harap Ali akan ambil semangat Hang Jebat. SPRM tak perlu ambil masa lama untuk siasat. Peguam Negara pun tak teragak-agak.

Berkhidmat. Kalau ada ganjaran. Bilik gerakan UMNO, ada orang ke kalau duit tak turun ? Ada semangat bekerja ke mereka ?

Bila SPR lewatkan tarikh PRK 2 bukit, ramai yang kata ia memberi kelebihan kepada UMNO. Lepas ni kita lihat, adakah Ali akan turun berkempen di 2 bukit ? Setidak-tidaknya, sebahagian jentera kempen sudah lumpuh. Itu belum Pemilihan UMNO lagi. Selepas pemilihan, ramai lagi yang akan kecewa, marah dan protes. Peluang BN di 2 bukit sangat tipis kecuali melalui pecah undi. Sebab itu calon Bebas mesti ada.

Sekarang langkah UMNO semakin sumbang. Ambil tindakan pun salah. Tak ambil tindakan pun salah. Awalkan PRK pun salah, lewatkan pun salah. Bubarkan Dun Perak pun salah, tak bubarkan pun salah. Rampas kuasa di Perak pun salah, tak rampas pun salah. Sebab kalau tak rampas sekarang, PR berpeluang mengambil hati rakyat Perak. Manakala cawangan parti komponen BN pula semakin kekeringan wang. UMNO paling banyak Bahagian dan cawangan di Perak. Bila berkuasa, cawangan dapat projek kampung, dapat tapak pasar malam dan banyak keistimewaan lagi.

Bak kata Ali Mamak. "Kau tahu mak aku pesan macam mana ? Sabaaaaaaaar lah Ali".

Wednesday, March 18, 2009

Kerajaan Perpaduan

Idea kerajaan perpaduan kini sedang diolah sebegitu rupa untuk melaga-lagakan kalangan pemimpin PAS. Bukan pemimpin sahaja, malah penyokong PAS turut sama terlatah dek mainan musuh. Ia juga untuk terus menimbulkan keraguan di kalangan rakan dalam Pakatan. Geger di alam siber, riuh rendah di kedai kopi. Habis pemimpin di perli.

Tak dinafikan, idea yang tidak jelas, atau mungkin yang mencadangkan sendiri teragak-agak melontarkan idea, menyebabkan musuh dengan mudah mengeksploitasi sekali gus menjadi senjata ampuh untuk PRK terutama di dua bukit. Ia juga setidak-tidaknya dapat meringankan beban UMNO yang sedang bermasalah dengan rasuah.

Nik Aziz yang mudah melatah turut dijolok dengan soalan dan maklumat kabur daripada wartawan sekali gus dapat melariskan berita. Apakah pemimpin PAS kini kurang berkomunikasi hingga selalu bertelagah di media ? Saya tak faham kenapa Nik Aziz boleh begitu jauh tersalah faham dengan idea asal Haji Hadi itu. Idea tersebut sepatutnya terbuka untuk dibincang, disokong atau dikritik dengan sihat.

Saya tak fikir Haji Hadi begitu bodoh melontarkan idea kononnya supaya PAS dan UMNO bekerjasama lalu mahu meninggalkan Pakatan sedang UMNO bergelumang dengan pemberi dan pemakan rasuah. Ramai dikalangan pengkritik dalam PAS nampaknya cenderung untuk menuduh, memang wujud usaha bersungguh-sungguh puak tertentu dalam PAS mahu PAS meninggalkan Pakatan atau PAS bekerjasama dengan UMNO, hingga calon PAS di PRK KT tempoh hari pun turut digambarkan sebagai calon kompromi.

PAS belum menamakan calon di Bukit Gantang. Musuh memang sedang berusaha untuk meniup rasa curiga dan was-was dalam Pakatan dan dalam PAS. Ini sememangnya kerja syaitan, meniup rasa was-was dalam hati kita. Perbanyakkanlah berjumpa dan bermusyawarah apabila datang berita meragukan daripada orang-orang yang fasik. Jangan tambahkan kekeliruan rakyat.

Rasuah vs lobi

Semua akur, rasuah untuk memilih pemimpin dalam UMNO bukanlah perkara baru. Ada yang kata ia bermula pada zaman Mahathir (untuk salahkan Mahathir). Ada yang kata ia bermula pada zaman Anwar (untuk salahkan Anwar). Kalau tak salah saya, rungutan secara terbuka mula datang daripada Musa Hitam. Ketika itu, Musa dicabar Tengku Razaleigh yang pada ketika itu adalah Menteri Kewangan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Hari ini, semua veteran-veteran UMNO ini nak bercakap soal politik wang seolah-olah ia tak berlaku pada zaman mereka.

Generasi hari ini cuma mewarisi taktik dan teknik nya sahaja. Sudah tentu ia disesuaikan dengan teknologi dan kepakaran semasa. Aduan rasuah terus berkembang dan nampak jelas dalam UMNO dan PKR selain juga wujud dalam agensi-agensi kerajaan atau di kementerian tertentu. Dalam pada itu, lobi dibenarkan. Susah saya nak bezakan antara salah guna kuasa dengan lobi. Pakar undang-undang mungkin boleh bezakan.

Mahathir pernah guna ejen untuk melobi bertemu Presiden Amerika. Anwar pun mungkin sama. Nak jadi tuan rumah temasya sukan seperti sukan komanwel, sukan Asia, Piala Dunia dan Formula 1 pun kena melobi. Kita mungkin serah saja duit kepada ejen sebagai ganjaran untuk melobi. Bagaimana cara dia melobi, terserah kepada dia. Laporkan perkembangan hasil lobi kepada kita. Yang penting, kita dapat projek. Ada orang melobi untuk jawatan dalam perkhidmatan awam hingga ke peringkat menteri. Kadang-kadang, kesian juga lihat pegawai yang layak dan cemerlang tak dapat naik pangkat sebab tak melobi. Lobi untuk dapat kontrek tentulah lebih hebat. Orang PAS pun melobi juga. Bila dah melobi, tentulah pakai duit atau projek. Takkan dengan bagi ceramah dan tazkirah je, boleh dapat projek.

Nik Aziz, saya yakin tak terima duit atau projek. Kalau ada sumbangan pun, disalurkan untuk rakyat, untuk kepentingan negeri. Manakala kriteria pemilihan oleh Nik Aziz, bukan bersandar kepada sumbangan itu semata-mata, tetapi mengikut setakat mana manfaatnya projek + sumbangan kepada agama, rakyat dan negeri. Nik Aziz mungkin solat sunat istikharah setiap kali sebelum membuat keputusan penting.

Dalam UMNO hari ini, orang yang tidak terlibat dengan rasuah beli undi ialah orang yang mendapat jawatan secara lantikan atau yang menang tanpa bertanding macam Najib dan Tengku Adnan. Kalau tidak, jangan harap. Najib tu pun, sebelum menang tanpa bertanding, adakah tak main politik wang ?

Tuesday, March 10, 2009

Demonstrasi jalanan yang aman

Demonstrasi jalanan yang aman.

Sambutan maulidur rasul semalam sebenarnya adalah satu contoh bagaimana demonstrasi jalanan boleh dilakukan secara aman. Orang ramai berarak sambil mengangkat sepanduk. Tiada kekacauan, tiada rusuhan. Perempuan dan kanak-kanak juga turut serta. Apa yang penting ialah kerjasama semua pihak. Tiada provokasi daripada pihak yang mengawal mahupun yang dikawal.

Tapi bab lelaki dan perempuan bercampur gaul dalam kesesakan demonstrasi ni yang saya paling tak suka. Zaman rasulullah dulu, perempuan pun keluar ke medan perang juga, tapi mereka dalam kelompok mereka, bukan macam rojak.

Isu PPSMI : UMNO mahu tunjukkan peranannya

Isu PPSMI : UMNO mahu tunjukkan peranannya

Isu PPSMI akan dibahaskan dalam perhimpunan agung UMNO hujung Mac ini. Sebenarnya, kerajaan memang mahu meminda perlaksanaan PPSMI ini, cuma menunggu waktu yang sesuai. Asakan demi asakan yang semakin hebat diterima kebelakangan ini tidak menyenangkan UMNO. Ini kerana setakat hari ini, UMNO hampir tiada peranan langsung dalam memperjuangkan bahasa Melayu terutama dalam isu PPSMI ini. Jadi UMNO mahu tunjukkan kepada rakyat, bahawa perjuangan dan suara parti itulah sebenarnya suara keramat yang membawa kepada pindaan atau perubahan perlaksanaan PPSMI.

Ianya samalah seperti perjuangan kemerdekaan suatu ketika dahulu. Berbagai pihak sudah pun kedepan memperjuangkan kemerdekaan negara. Semuanya gagal atau digagalkan. Hanya melalui UMNO sahaja, akhirnya perjuangan itu berhasil. Ia berjaya walaupun mengikut acuan penjajah.

Adalah amat mustahil untuk kerajaan membuat sesuatu perubahan terhadap PPSMI tanpa UMNO memainkan peranannya. Walaupun UMNO Johor sudah lama mahu PPSMI diubah, tetapi suara UMNO Johor tenggelam. UMNO Johor hari ini bukan UMNO Johor 30 hingga 50 tahun dulu. Dan lebih memalukan lagi, ia ditenggelamkan oleh Menteri Pelajaran dari UMNO Johor sendiri.

Menteri Pelajaran bertanya, kenapa baru sekarang GMP bangkit dalam isu PPSMI ? Kenapa tidak 6 tahun dulu ? Ya. Kenapa UMNO sendiri tidak pernah bahaskan isu PPSMI secara lantang sejak dulu ? Kenapa Perhimpunan UMNO tahun 2009, baru nak dibahaskan ? Kenapa suara UMNO Johor sejak 6 tahun dulu ditenggelamkan ?

Dalam pada itu masih ramai yang tak faham-faham isu PPSMI. Mereka masih menganggap penentang PPSMI sebagai tidak nampak kepada pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Mereka masih tertanya-tanya apa isunya ? Apa salah anak-anak pandai bahasa Inggeris ? Takut anak tak pandai cakap melayu kah ? Tun Mahathir belajar bahasa Inggeris, tapi masih cakap bahasa Melayu.

Sudah berbagai rencana, artikel, penerangan malah buku dihasilkan menerangkan isu PPSMI, Kenapa ia dibantah. Buta dan pekakkah mereka ini ? Atau memang jenis tak membaca ?

Friday, March 06, 2009

Politik dan khianat

Adakah parti patut dipersalahkan jika wakil yang dipilihnya belot ?
Adakah rakyat patut dipersalahkan jika wakil yang dipilih khianat ?
Adakah negara patut dipersalahkan jika menteri yang dilantik menyalahgunakan kuasa ?
Adakah raja patut dipersalahkan jika MB yang diperkenannya salah mentadbir negeri ?

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al Baqarah :45)

Imuniti raja-raja mahu dikembalikan ?

Saya tidak setuju sama sekali imuniti ini dikembalikan. Mahathir telah bertindak betul menghapuskan imuniti raja-raja.

Keputusan menghapuskan imuniti raja-raja bukan sahaja telah disokong UMNO malah PAS pada ketika itu. Ia perlu dipertahankan. Tak payah pakat-pakat nak jilat semula kahak lama. Kuman itu sudah dikeluarkan.

Jangan berlebih-lebihan memuji dan memuja raja-raja. Berjuta-juta wang rakyat dibelanjakan mereka setiap tahun, tanpa pernah diketahui rakyat pun. Cukup-cukuplah kuasa yang masih ada pada mereka.

Wednesday, March 04, 2009

Raja-raja Melayu

Hari ini, kita mungkin masih ber"bangga" dengan Raja-raja Melayu. Kerana raja-raja kita hari ini masih Melayu. Selepas 20, 30 atau 40 tahun lagi, apakah kita masih bangga dengan Raja-raja ? Kerana adakah raja-raja ini masih Melayu tulin atau nama sahaja Melayu tetapi berjiwa barat ? Ruhnya dari barat.

Keturunan istana seperti juga orang kebanyakan, bercinta dengan sesiapa tanpa mengira bangsa. Kemudian mereka berkahwin dengan bukan Melayu. Lalu lahirlah Raja Muda yang bukan Melayu sepenuhnya. Apatah lagi cara hidupnya juga tidak Melayu. Komunikasinya juga bukan lagi Melayu. Persekitarannya tidak lagi Melayu. Tiada lah lagi ruh kemelayuan dalam dirinya. Mereka tidak lagi bergaul dengan masyarakat Melayu, dalam budaya Melayu.

Jadi pada masa itu, apakah kita masih akan menaruh harapan kepada mereka sebagai pembela adat dan budaya bangsa Melayu ? Pembela bahasa Melayu ? Muka pun dah tak ada muka Melayu. Cakap Melayu pun lebih teruk daripada orang putih. Nah. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku.

Dia ketua agama negeri. Buatnya dia tukar agama ? Macam mana ? Siapa nak bantah. Setakat bagi nasihat je la. Ikut tak ikut, itu keputusan dia sendiri. Pemuda UMNO pantang derhaka. Mufti kata tak boleh derhaka pada raja. Tak boleh berarak membantah raja. Lalu pemimpin melayu kita setia merafak sembah. Yang penting dapat anugerah Datuk.

Fikir-fikirlah wahai Melayu.

Kenapa mereka murtad

Jumaat lepas, saya solat Jumaat di masjid Ampang. Selalunya, khutbah jumaat di Selangor lebih seronok didengar berbanding khutbah di Wilayah Persekutuan seperti di masjid Jalan Duta. Isu-isu di masjid Jalan Duta selalunya terlalu duniawi. Macam dengar ceramah pendidikan moral je. Cuma bezanya ialah khutbah ada cukup rukunnya. Namun ia tiada kaitan dengan parti yang memerintah negeri Selangor berbanding persekutuan kerana keadaan ini sudah berlaku sejak sebelum 2008 lagi iaitu ketika Khir Toyo jadi MB. Cuma sesekali bila kerajaan terlalu mengawal isi kandungan khutbah, isinya menjadi hambar.

Khutbah di Selangor biasanya lebih menyentuh hati, mengajak diri bermuhasabah. Tak mengantuk mendengarnya apatah lagi jika khatibnya berjaya menyampaikan dengan berkesan.

Isu yang dibawa minggu lepas ialah "Kenapa mereka murtad ?". Saya lihat, khatib tidak membaca teks sebaliknya berkhutbah. Hanya sesekali dia seperti membaca teks, mungkin nota atau rujukan supaya khutbahnya tidak meleret-leret, serta nas yang dibacakan betul dan tepat.

Semalam, saya cuba mencari teks khutbah di portal JAIS. Tiada tajuk isu murtad di sana. Namun, apa yang penting, ia bukan menceritakan tentang hukuman untuk orang yang murtad. Ia menyentuh tentang sejauh mana kita suburkan akidah Islam dalam diri dan keluarga kita. Tidak cukup dengan hanya menghantar anak ke kelas fardhu ain sahaja, ajar anak mengaji, solat dan sebagainya tetapi soal tauhid tidak pernah dibincangkan dalam keluarga. Siapa idola anak-anak kita. Sejauh mana kita insaf bahawa Islam adalah agama kita, panduan kita, tujuan kita. Kita mahu mati dalam Islam. Syurga adalah cita-cita kita. Quran adalah petunjuk kita. Bandingkan dengan kehidupan seharian kita, cara hidup keluarga dan masyarakat kita. Adakah kita berpuas hati ? Sudah memadaikah dengan apa yang telah kita miliki ? Atau masih terlalu jauh ? Atau semakin jauh ?

Kemudian saya teringat dengan seorang mufti di Malaysia yang pernah bangkit dalam isu murtad, ketika kecoh isu Datuk Azhar Mansor di Ipoh. Pernah sang mufti berkata, beratus malah beribu orang di Malaysia yang sudah murtad. Hal ini tidak boleh dibiarkan lagi. Sudah terlalu lama parti itu memerintah dan keadaan semakin buruk. Parti itu sudah tidak boleh diharapkan lagi dalam isu ini. Anehnya, kebelakangan ini, mufti itu seperti mahu parti yang sudah tidak boleh diharap itu kembali berkuasa. Demi untuk Islam ?

Monday, March 02, 2009

Bahasa Melayu melambatkan kita untuk maju

Dalam isu bahasa melayu, apakah langkah atau tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak (kerajaan dan rakyat) untuk memartabatkan bahasa melayu ? Benarkah kita semua sangat sayangkan bahasa kita ? Benarkah kita bersungguh-sungguh mahu melihat bahasa kita dimartabatkan ?

Saya pernah ajukan soalan ini dalam satu portal forum di internet. Dan akibatnya, saya dituduh skema. Dalam erti kata lain, anak-anak muda tidak berminat untuk menggunakan bahasa melayu dengan sebaik mungkin. Sebenarnya, bahasa bangsa lain pun tercemar juga dan selalunya, golongan remaja dan belia lah yang suka mengubah suai bahasa dengan perkataan-perkataan baru. Lihat filem atau drama Indonesia atau drama Thai di astro. Mereka juga kerap menggunakan bahasa rojak.

Ada yang mahu papan tanda-papan tanda mengutamakan bahasa melayu dahulu. Kalau kita ke kompleks beli belah, kebanyakan papan tanda hari ini menggunakan bahasa Inggeris. Kalau dwi bahasa tu tak apalah juga, masalahnya hanya bahasa Inggeris sahaja. Adakah ini bertujuan untuk menjadikan rakyat kita lebih menguasai bahasa Inggeris selain untuk pelancong ? Disamping itu, kita juga gemar menggunakan nama-nama asing untuk tempat dan bangunan.

Martabat bahasa melayu bukan setakat di papan tanda sahaja tetapi yang lebih penting ialah banyaknya bahan penerbitan, cetakan dan terjemahan dalam bahasa melayu. Satu ketika dahulu, ramai ulama melayu menterjemahkan kitab-kitab agama ke bahasa melayu (jawi). Begitu cara mereka mahu menjadikan orang Melayu celik ilmu agama sekaligus memartabatkan bahasa melayu.

Andai satu hari nanti, generasi akan datang di Malaysia semakin pandai berbahasa Inggeris, adakah mereka masih berminat untuk membeli akhbar berbahasa melayu, majalah berbahasa melayu dan buku-buku berbahasa melayu ? Atau mungkinkah mereka berasa malu untuk membelinya seperti kita malu untuk membeli malah membawa akhbar jawi Utusan Melayu beberapa tahun lepas ?

Maaf, saya bukan tidak mahu melihat anak-anak kita akan datang mampu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi jika kita lihat, ulama-ulama yang mahir berbahasa arab masih berbangga dengan bahasa melayunya berbanding yang mahir bahasa Inggeris, sudah mulai malu untuk menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kenapa jadi begitu ya ?

Dalam pada itu, masih ada yang beranggapan golongan yang memperjuangkan bahasa malayu dalam isu PPSMI sebagai menyekat usaha memajukan anak bangsa. Dalam erti kata lain, kita tidak akan maju jika terus belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu atau Bahasa melayu tidak mampu menjadikan kita maju.

Sunday, March 01, 2009

Kluk Klek

Selepas melabelkan PAS sebagai kluk klek dalam PRK Kuala Terengganu Januari lalu, kredibiliti kerajaan BN semakin terhakis apabila mereka sendiri mengubah keputusan yang sudah dibuat dalam tempoh yang singkat. Ia menunjukkan kerajaan tidak berhati-hati dalam membuat keputusan, terburu-buru dan tidak berfikir panjang.

Sehari selepas mengumumkan kenaikan kadar tol, kerajaan menangguhkannya pula. Beberapa minggu selepas akhbar mengumumkan LCCT Labu dibatalkan, Menteri Pengangkutan berkata, keputusan belum muktamad pula. Beberapa hari kemudian, Timbalan PM mengesahkan pula projek tersebut sah batal.

Selepas beberapa minggu mengumumkan kemungkinan harga gula akan naik hingga berlaku kekurangan gula di sesetengah tempat, kerajaan mengumumkan harga gula tidak akan naik dalam masa terdekat (mungkin sekurang-kurangnya untuk tahun ini.)

Sebelum ini, kerajaan begitu yakin bahawa ekonomi kita tidak akan terjejas dengan krisis ekonomi global. Kenyataan keluar dari mulut di Kementerian Kewangan sendiri. Kini semua sudah tahu, bagaimana kita semua terkesan dengan krisis yang melanda hingga ada pakej rangsangan berbilion ringgit. Kalau kesannya sedikit sekalipun, masakan pekejnya berbilion ringgit ?

Terbaru, selepas mengeluarkan kebenaran kepada agama lain untuk menggunakan perkataan Allah (dengan syarat tertentu), kini kerajaan menarik balik pula kebenaran tersebut.

Tidakkah semua ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mampu berfikir jauh ? Semua dibuat secara terburu-buru, tanpa kajian mendalam. Ia sebenarnya memalukan negara. Apakah kita memiliki sekumpulan menteri yang pendek akal ? Sekumpulan menteri yang hanya tahu mengangguk dalam mesyuarat kabinet. Atau pegawai yang melaksanakan arahan menteri tersebut yang hanya tahu menurut perintah menteri. Semua laporan dan kajian hanya untuk menyedapkan telinga menteri. Apa yang menteri mahu dengar itu yang kita beri.

Keadaan ini samalah seperti media Utusan Malaysia dan TV3 yang hanya melaporkan apa yang mahu didengar oleh orang UMNO, bukan melaporkan hal sebenar secara adil. Lalu kita semua tertipu oleh tipu daya yang kita sendiri cipta. Status kerajaan Perak kini juga masih tergantung. Ia bukan hal kecil. Sebuah negeri menjadi taruhan. Seluruh negara turut menanggung akibatnya kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia. Berapa lama isu ini akan selesai, tiada siapa yang dapat menjawab. Tergamak kerajaan membiarkan keadaan ini demi kepentingan politik kepartian walhal kerajaan tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ini dengan lebih cepat dan melegakan rakyat dan para pelabur ?