Wednesday, March 18, 2009

Kerajaan Perpaduan

Idea kerajaan perpaduan kini sedang diolah sebegitu rupa untuk melaga-lagakan kalangan pemimpin PAS. Bukan pemimpin sahaja, malah penyokong PAS turut sama terlatah dek mainan musuh. Ia juga untuk terus menimbulkan keraguan di kalangan rakan dalam Pakatan. Geger di alam siber, riuh rendah di kedai kopi. Habis pemimpin di perli.

Tak dinafikan, idea yang tidak jelas, atau mungkin yang mencadangkan sendiri teragak-agak melontarkan idea, menyebabkan musuh dengan mudah mengeksploitasi sekali gus menjadi senjata ampuh untuk PRK terutama di dua bukit. Ia juga setidak-tidaknya dapat meringankan beban UMNO yang sedang bermasalah dengan rasuah.

Nik Aziz yang mudah melatah turut dijolok dengan soalan dan maklumat kabur daripada wartawan sekali gus dapat melariskan berita. Apakah pemimpin PAS kini kurang berkomunikasi hingga selalu bertelagah di media ? Saya tak faham kenapa Nik Aziz boleh begitu jauh tersalah faham dengan idea asal Haji Hadi itu. Idea tersebut sepatutnya terbuka untuk dibincang, disokong atau dikritik dengan sihat.

Saya tak fikir Haji Hadi begitu bodoh melontarkan idea kononnya supaya PAS dan UMNO bekerjasama lalu mahu meninggalkan Pakatan sedang UMNO bergelumang dengan pemberi dan pemakan rasuah. Ramai dikalangan pengkritik dalam PAS nampaknya cenderung untuk menuduh, memang wujud usaha bersungguh-sungguh puak tertentu dalam PAS mahu PAS meninggalkan Pakatan atau PAS bekerjasama dengan UMNO, hingga calon PAS di PRK KT tempoh hari pun turut digambarkan sebagai calon kompromi.

PAS belum menamakan calon di Bukit Gantang. Musuh memang sedang berusaha untuk meniup rasa curiga dan was-was dalam Pakatan dan dalam PAS. Ini sememangnya kerja syaitan, meniup rasa was-was dalam hati kita. Perbanyakkanlah berjumpa dan bermusyawarah apabila datang berita meragukan daripada orang-orang yang fasik. Jangan tambahkan kekeliruan rakyat.

No comments: