Selepas melabelkan PAS sebagai kluk klek dalam PRK Kuala Terengganu Januari lalu, kredibiliti kerajaan BN semakin terhakis apabila mereka sendiri mengubah keputusan yang sudah dibuat dalam tempoh yang singkat. Ia menunjukkan kerajaan tidak berhati-hati dalam membuat keputusan, terburu-buru dan tidak berfikir panjang.
Sehari selepas mengumumkan kenaikan kadar tol, kerajaan menangguhkannya pula. Beberapa minggu selepas akhbar mengumumkan LCCT Labu dibatalkan, Menteri Pengangkutan berkata, keputusan belum muktamad pula. Beberapa hari kemudian, Timbalan PM mengesahkan pula projek tersebut sah batal.
Selepas beberapa minggu mengumumkan kemungkinan harga gula akan naik hingga berlaku kekurangan gula di sesetengah tempat, kerajaan mengumumkan harga gula tidak akan naik dalam masa terdekat (mungkin sekurang-kurangnya untuk tahun ini.)
Sebelum ini, kerajaan begitu yakin bahawa ekonomi kita tidak akan terjejas dengan krisis ekonomi global. Kenyataan keluar dari mulut di Kementerian Kewangan sendiri. Kini semua sudah tahu, bagaimana kita semua terkesan dengan krisis yang melanda hingga ada pakej rangsangan berbilion ringgit. Kalau kesannya sedikit sekalipun, masakan pekejnya berbilion ringgit ?
Terbaru, selepas mengeluarkan kebenaran kepada agama lain untuk menggunakan perkataan Allah (dengan syarat tertentu), kini kerajaan menarik balik pula kebenaran tersebut.
Tidakkah semua ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mampu berfikir jauh ? Semua dibuat secara terburu-buru, tanpa kajian mendalam. Ia sebenarnya memalukan negara. Apakah kita memiliki sekumpulan menteri yang pendek akal ? Sekumpulan menteri yang hanya tahu mengangguk dalam mesyuarat kabinet. Atau pegawai yang melaksanakan arahan menteri tersebut yang hanya tahu menurut perintah menteri. Semua laporan dan kajian hanya untuk menyedapkan telinga menteri. Apa yang menteri mahu dengar itu yang kita beri.
Keadaan ini samalah seperti media Utusan Malaysia dan TV3 yang hanya melaporkan apa yang mahu didengar oleh orang UMNO, bukan melaporkan hal sebenar secara adil. Lalu kita semua tertipu oleh tipu daya yang kita sendiri cipta. Status kerajaan Perak kini juga masih tergantung. Ia bukan hal kecil. Sebuah negeri menjadi taruhan. Seluruh negara turut menanggung akibatnya kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia. Berapa lama isu ini akan selesai, tiada siapa yang dapat menjawab. Tergamak kerajaan membiarkan keadaan ini demi kepentingan politik kepartian walhal kerajaan tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ini dengan lebih cepat dan melegakan rakyat dan para pelabur ?
No comments:
Post a Comment