Isu PPSMI : UMNO mahu tunjukkan peranannya
Isu PPSMI akan dibahaskan dalam perhimpunan agung UMNO hujung Mac ini. Sebenarnya, kerajaan memang mahu meminda perlaksanaan PPSMI ini, cuma menunggu waktu yang sesuai. Asakan demi asakan yang semakin hebat diterima kebelakangan ini tidak menyenangkan UMNO. Ini kerana setakat hari ini, UMNO hampir tiada peranan langsung dalam memperjuangkan bahasa Melayu terutama dalam isu PPSMI ini. Jadi UMNO mahu tunjukkan kepada rakyat, bahawa perjuangan dan suara parti itulah sebenarnya suara keramat yang membawa kepada pindaan atau perubahan perlaksanaan PPSMI.
Ianya samalah seperti perjuangan kemerdekaan suatu ketika dahulu. Berbagai pihak sudah pun kedepan memperjuangkan kemerdekaan negara. Semuanya gagal atau digagalkan. Hanya melalui UMNO sahaja, akhirnya perjuangan itu berhasil. Ia berjaya walaupun mengikut acuan penjajah.
Adalah amat mustahil untuk kerajaan membuat sesuatu perubahan terhadap PPSMI tanpa UMNO memainkan peranannya. Walaupun UMNO Johor sudah lama mahu PPSMI diubah, tetapi suara UMNO Johor tenggelam. UMNO Johor hari ini bukan UMNO Johor 30 hingga 50 tahun dulu. Dan lebih memalukan lagi, ia ditenggelamkan oleh Menteri Pelajaran dari UMNO Johor sendiri.
Menteri Pelajaran bertanya, kenapa baru sekarang GMP bangkit dalam isu PPSMI ? Kenapa tidak 6 tahun dulu ? Ya. Kenapa UMNO sendiri tidak pernah bahaskan isu PPSMI secara lantang sejak dulu ? Kenapa Perhimpunan UMNO tahun 2009, baru nak dibahaskan ? Kenapa suara UMNO Johor sejak 6 tahun dulu ditenggelamkan ?
Dalam pada itu masih ramai yang tak faham-faham isu PPSMI. Mereka masih menganggap penentang PPSMI sebagai tidak nampak kepada pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Mereka masih tertanya-tanya apa isunya ? Apa salah anak-anak pandai bahasa Inggeris ? Takut anak tak pandai cakap melayu kah ? Tun Mahathir belajar bahasa Inggeris, tapi masih cakap bahasa Melayu.
Sudah berbagai rencana, artikel, penerangan malah buku dihasilkan menerangkan isu PPSMI, Kenapa ia dibantah. Buta dan pekakkah mereka ini ? Atau memang jenis tak membaca ?
No comments:
Post a Comment