Dalam isu bahasa melayu, apakah langkah atau tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak (kerajaan dan rakyat) untuk memartabatkan bahasa melayu ? Benarkah kita semua sangat sayangkan bahasa kita ? Benarkah kita bersungguh-sungguh mahu melihat bahasa kita dimartabatkan ?
Saya pernah ajukan soalan ini dalam satu portal forum di internet. Dan akibatnya, saya dituduh skema. Dalam erti kata lain, anak-anak muda tidak berminat untuk menggunakan bahasa melayu dengan sebaik mungkin. Sebenarnya, bahasa bangsa lain pun tercemar juga dan selalunya, golongan remaja dan belia lah yang suka mengubah suai bahasa dengan perkataan-perkataan baru. Lihat filem atau drama Indonesia atau drama Thai di astro. Mereka juga kerap menggunakan bahasa rojak.
Ada yang mahu papan tanda-papan tanda mengutamakan bahasa melayu dahulu. Kalau kita ke kompleks beli belah, kebanyakan papan tanda hari ini menggunakan bahasa Inggeris. Kalau dwi bahasa tu tak apalah juga, masalahnya hanya bahasa Inggeris sahaja. Adakah ini bertujuan untuk menjadikan rakyat kita lebih menguasai bahasa Inggeris selain untuk pelancong ? Disamping itu, kita juga gemar menggunakan nama-nama asing untuk tempat dan bangunan.
Martabat bahasa melayu bukan setakat di papan tanda sahaja tetapi yang lebih penting ialah banyaknya bahan penerbitan, cetakan dan terjemahan dalam bahasa melayu. Satu ketika dahulu, ramai ulama melayu menterjemahkan kitab-kitab agama ke bahasa melayu (jawi). Begitu cara mereka mahu menjadikan orang Melayu celik ilmu agama sekaligus memartabatkan bahasa melayu.
Andai satu hari nanti, generasi akan datang di Malaysia semakin pandai berbahasa Inggeris, adakah mereka masih berminat untuk membeli akhbar berbahasa melayu, majalah berbahasa melayu dan buku-buku berbahasa melayu ? Atau mungkinkah mereka berasa malu untuk membelinya seperti kita malu untuk membeli malah membawa akhbar jawi Utusan Melayu beberapa tahun lepas ?
Maaf, saya bukan tidak mahu melihat anak-anak kita akan datang mampu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi jika kita lihat, ulama-ulama yang mahir berbahasa arab masih berbangga dengan bahasa melayunya berbanding yang mahir bahasa Inggeris, sudah mulai malu untuk menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kenapa jadi begitu ya ?
Dalam pada itu, masih ada yang beranggapan golongan yang memperjuangkan bahasa malayu dalam isu PPSMI sebagai menyekat usaha memajukan anak bangsa. Dalam erti kata lain, kita tidak akan maju jika terus belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu atau Bahasa melayu tidak mampu menjadikan kita maju.
1 comment:
Tetapi jika kita lihat, ulama-ulama yang mahir berbahasa arab masih berbangga dengan bahasa melayunya berbanding yang mahir bahasa Inggeris, sudah mulai malu untuk menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kenapa jadi begitu ya ?
Jawapannya ialah, Orang Arab tak jajah kita.
Post a Comment