Jumaat lepas, saya solat Jumaat di masjid Ampang. Selalunya, khutbah jumaat di Selangor lebih seronok didengar berbanding khutbah di Wilayah Persekutuan seperti di masjid Jalan Duta. Isu-isu di masjid Jalan Duta selalunya terlalu duniawi. Macam dengar ceramah pendidikan moral je. Cuma bezanya ialah khutbah ada cukup rukunnya. Namun ia tiada kaitan dengan parti yang memerintah negeri Selangor berbanding persekutuan kerana keadaan ini sudah berlaku sejak sebelum 2008 lagi iaitu ketika Khir Toyo jadi MB. Cuma sesekali bila kerajaan terlalu mengawal isi kandungan khutbah, isinya menjadi hambar.
Khutbah di Selangor biasanya lebih menyentuh hati, mengajak diri bermuhasabah. Tak mengantuk mendengarnya apatah lagi jika khatibnya berjaya menyampaikan dengan berkesan.
Isu yang dibawa minggu lepas ialah "Kenapa mereka murtad ?". Saya lihat, khatib tidak membaca teks sebaliknya berkhutbah. Hanya sesekali dia seperti membaca teks, mungkin nota atau rujukan supaya khutbahnya tidak meleret-leret, serta nas yang dibacakan betul dan tepat.
Semalam, saya cuba mencari teks khutbah di portal JAIS. Tiada tajuk isu murtad di sana. Namun, apa yang penting, ia bukan menceritakan tentang hukuman untuk orang yang murtad. Ia menyentuh tentang sejauh mana kita suburkan akidah Islam dalam diri dan keluarga kita. Tidak cukup dengan hanya menghantar anak ke kelas fardhu ain sahaja, ajar anak mengaji, solat dan sebagainya tetapi soal tauhid tidak pernah dibincangkan dalam keluarga. Siapa idola anak-anak kita. Sejauh mana kita insaf bahawa Islam adalah agama kita, panduan kita, tujuan kita. Kita mahu mati dalam Islam. Syurga adalah cita-cita kita. Quran adalah petunjuk kita. Bandingkan dengan kehidupan seharian kita, cara hidup keluarga dan masyarakat kita. Adakah kita berpuas hati ? Sudah memadaikah dengan apa yang telah kita miliki ? Atau masih terlalu jauh ? Atau semakin jauh ?
Kemudian saya teringat dengan seorang mufti di Malaysia yang pernah bangkit dalam isu murtad, ketika kecoh isu Datuk Azhar Mansor di Ipoh. Pernah sang mufti berkata, beratus malah beribu orang di Malaysia yang sudah murtad. Hal ini tidak boleh dibiarkan lagi. Sudah terlalu lama parti itu memerintah dan keadaan semakin buruk. Parti itu sudah tidak boleh diharapkan lagi dalam isu ini. Anehnya, kebelakangan ini, mufti itu seperti mahu parti yang sudah tidak boleh diharap itu kembali berkuasa. Demi untuk Islam ?
No comments:
Post a Comment