Monday, March 31, 2008

MB Terengganu angkat sumpah

Alhamdulillah, akhirnya majlis angkat sumpah MB Terengganu akhirnya telah selesai semalam. Bukan orang lain, orang BN juga. Habis tu yang kecoh sangat tu pasal apa ?

Selepas ini, kita tunggu pula senarai exco baru. Yang pentingnya kerja dapat dilaksanakan dengan penuh amanah dan cekap. Bercakap memang boleh. Tapi bila nak buat, mulalah bagi alasan itu ini.

Semasa balik kampung baru ni, bapa saudaraku yang dipanggil Ayah Teh sebut pasal jalanraya yang merentasi kampungku, Kampung Pulau Rusa. Sejak lepas pilihanraya, tiada kerja-kerja susulan dibuat. Semua dah terhenti.

Projek juta-juta di Pulau Wan Man boleh siap cepat. Monsoon Cup dengan kos jutaan ringgit diutamakan. Tapi jalanraya dari Durian Burung ke Pulau Rusa tak siap-siap. Sedangkan yang menggunakannya ialah rakyat marhaen. Setiap hari, beratus-ratus atau beribu-ribu kenderaan yang menggunakan jalan tersebut. Penduduk sekitarpun terpaksa hidu debu bila musim panas atau jalan menjadi becak bila musim hujan. Jalan menjadi sesak pada waktu puncak. Bila nak selesai kerja ni ? Dah tak reti nak bezakan mana projek yang perlu diutamakan dan disegerakan ke ? Begitu juga projek membesarkan jalanraya di Marang.

Harap MB baru lebih prhatin dengan masalah rakyat. Jalan ke Pulau Wan Man tu berapa kerat je penggunanya.

Aku juga suka mencadangkan supaya MB baru berani bersuara menuntut semula royalti petrolium supaya dapat diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri seperti sebelum 1999. Pak Lah pun tengah terdesak nak dapat semula sokongan rakyat Terengganu selepas Rosol Wahid dedahkan tindakan 22 Adun baru-baru ini adalah atas arahan Pak Lah. Kembalikan semula royalti petrolium rakyat Terengganu. Jangan buat senyap je. Sementara kerajaan negeri pula perlu lebih telus dan terbuka kepada rakyat dalam mengurus perbelanjaan.

Monday, March 24, 2008

Perpaduan cara kita.

Barisan Bertindak Perpaduan yang disertai oleh 25 NGO Melayu mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Mari kita lihat perpaduan cara UMNO.

1. Azalina dan Dr. Mashitah Ibrahim tidak dianggap sebagai mewakili Wanita UMNO walaupun dilantik menganggotai kabinet.

2. UMNO P.Pinang menyambut maulidurrasul secara berasingan di Masjid Kapitan Keling ketika sambutan secara rasmi dibuat oleh kerajaan P.Pinang di Seberang Jaya.

3. UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat menghentikan semua projek mega yang dirancang di negeri ini termasuk perkhidmatan bas RapidPenang yang telah beroperasi 31 Julai tahun lalu.

4. Pertubuhan Ketua-ketua Kampung Negeri Perak atau PKKNP dilaporkan akan memboikot semua program anjuran kerajaan negeri Perak kerana kononnya mereka dilantik oleh kerajaan negeri BN yang lampau.

Banyak lagi isu-isu kecil akan dapat kita saksikan dari semasa ke semasa bagaimana kita menangani isu perpaduan.

Melayu sokong BR kerana UMNO banyak beralah kepada asakan bukan Melayu ?

Awang Selamat dalam Utusan Malaysia hari ini mendedahkan, "Awang sudah bosan mendengar alasan kabur yang sengaja dibesar-besarkan. Sedarkah bahawa golongan termiskin di negara ini ialah orang Melayu sebagaimana laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)."

Awang Selamat sebenarnya mendedahkan betapa UMNO yang selama ini diberikan amanah oleh rakyat terutamanya orang Melayu telah gagal berperanan dengan berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan walaupun pemimpin-pemimpinnya kaya raya. Oleh itu, keputusan menolak BN yang teraju utamanya ialah UMNO bukanlah satu kesilapan.

Seterusnya, kata Awang lagi, "Sedarkah juga bahawa antara faktor makin ramai orang Melayu menolak BN kerana kecewa UMNO banyak beralah kepada asakan bukan Melayu."

Siapa kah yang cuba dipersalahkan oleh Awang di sini. Melayu yang membuat perubahan atau Melayu yang mengkhianati amanah rakyat ? Atau bukan Melayu yang sentiasa bijak mengambil kesempatan atas kelemahan UMNO ? Punca penolakan orang Melayu kepada UMNO (menurut pandangan Awang) di sini nampaknya tidak tepat. Awang masih terawang-awang di awangan, gagal mencari punca kenapa UMNO ditolak sebahagian besar orang Melayu.

Sunday, March 23, 2008

Krisis perlantikan MB Terengganu

Isu perlantikan MB Terengganu semakin memuncak apabila Datuk Ahmad Said (ADUN Kijal) menerima watikah perlantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) hari ini.

Krisis menjadi buntu apabila sebelum ini, surat perlantikan daripada PM mencadangkan nama Idris Jusoh sebagai MB Terengganu. PM sendiri nampaknya buntu dengan masalah yang berlaku di Terengganu. Sehingga kini, tidak diketahui, apakah usaha PM untuk menyelesaikan masalah konflik dengan istana Terengganu ini.

Walaupun telah diketahui daripada awal lagi bahawa MPPR tidak berkenan dengan calon yang dinamakan PM, namun PM sendiri tidak pernah berusaha menjernihkan keadaan dengan pihak MPPR. Hanya Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan membuat cadangan supaya PM dan Idris sendiri berjumpa dengan pihak MPPR untuk menyelesaikan kebuntuan. Cadangan ini lebih rasional dan manasabah serta bersesuaian dengan adab kita orang Islam dan Melayu. Saya hairan kenapa PM enggan berjumpa dengan pihak MPPR seolah-olah sengaja mahu memberi tekanan kepada MPPR. Membiarkan kebuntuan berlalu tanpa tindakan yang sesuai hanya mengundang spekulasi.

PM sepatutnya meminta penjelasan daripada MPPR sendiri kenapa calonnya tidak diperkenankan. Tindakan berdemonstrasi, bantahan secara terbuka, kain rentang, mengugut dan memboikot hanya akan mengeruhkan lagi suasana dan menyulitkan pentadbiran BN di masa akan datang. Tiada gunanya menekan pihak istana dengan menggunakan media massa kerana ia akan mengaibkan istana sedangkan istana hanya menggunakan haknya yang ada. Semoga masalah ini akan dapat di atasi segera.

Saya khuatir, jika kerajaan Terengganu ditumbangkan melalui undi tidak percaya oleh anggota BN, kelak rakyat akan melihat ia sebagai satu penderhakaan terbuka UMNO kepada istana Terengganu, kebongkakan dan keangkuhan yang pastinya akan dihukum oleh rakyat Terengganu. Ia pasti akan terpahat dalam sejarah yang tak mungkin dipadamkan lagi. UMNO TERENGGANU DERHAKA.

Wednesday, March 19, 2008

Tak payah lah kondem kabinet orang lebih-lebih

Berikutan pengumuman kabinet baru Pak Lah, timbul pula macam-macam cerita. SU UMNO letak jawatan lah, Ketua Wanita UMNO nak letak jawatan lah, MP tolak jawatan kabinet lah, orang Najib kena cantas lah.

Yang pro BA pun sibuk sama. Sedangkan perlantikan exco di negeri-negeri BA belum selesai lagi. Sebelum ni, nak bentuk kerajaan secara rasmi dan nak lantik MB pun dah kecoh.

Jadi pada pandangan aku, tak payah lah kita kondem kabinet Pak Lah tu. Selesaikan masalah di negeri BA dahulu. Mantapkan pentadbiran di Perak dan Selangor terutamanya. Tak payah kita syok tengok kekecohan dan kecelaruan BN sebab BR pun belum tentu tak bercelaru. Jangan hari ini kita gelakkan lawan, besok giliran kita pula digelakkan lawan. Buat malu kompeni je.

Masalah BN boleh berlaku kepada BA di masa mendatang sebab BA belum ada pakatan yang rasmi dan kukuh. Itupun belum lagi ada rakan yang kuat daripada Sabah dan Sarawak. Kalau dah ada nanti, masing-masing entah-entah dua kali lima dok berebut jawatan. Nak menteri penuh la. Nak menteri kanan la. Ancam nak letak jawatan la. Ugut nak mintak cerai la. Wanita tak puas hati la. Hmmmpphh....

Cuba tengok lirik lagu 2 kali 5 nyanyian ahli fiqir ni. Fikir-fikirkan lah.

dua kali lima sepuluh
lima kali dua sepuluh
lapan campur dua sepuluh
dua campur lapan sepuluh

sama pandai sama bodoh
sama lawa sama hodoh
sama cerdik sama belok
sama tenpok sama bokok

kwek kwek kwek kwek kwek kwek

jangan cakap lepas
biar pandai beralas
ada ubi ada batas
ada hari kami balas

hinamu hanya bias
cecarmu cuma tempias
hari ini kami berkias
esok lusa kami mengganas

Jangan suka jaga tepi kain orang lain
Kain sendiri yang terlondeh
Kata dulang paku serpih
Kata orang dia yang lebih

Tuesday, March 18, 2008

Kabinet baru

Letih dah aku menunggu bila nak tabal MB Terengganu ni. Semua negeri lain dah selesai. Idris Jusoh kata tak payah gopoh-gopoh. Ooo.. Jadi negeri lain tu semua gopoh la tu ?
Sabar je la Deris..

Pak Lah pun dah ada kabinet. Nampak gaya, Abdullah Mohd Zin dah tak jadi menteri lagi. Shabery Chik pulak yang naik. Menteri Penerangan dan Multimedia pulak tu. Sama-sama lah kita tengok penjenamaan semula RTM. Mungkin lepas ni rakyat boleh tengok demonstrasi di Malaysia keluar di kaca tv. Selama ni, kita hanya nampak demonstrasi di negara luar je tapi tidak dalam negara sendiri. Macam bola lah jugak. Lepas ni kelulusan untuk siaran tv dan radio dah kembali ke Kem. Penerangan semula la kot sebab dah gabung dengan multimedia. Shabery Chik ni dulu Semangat 46. Kita tengok dia beri ruang dekat Ku Li tak.

Razali Ismail jadi Tim. Men. Pelajaran. Sesuai lah tu gamaknya. Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh jadi Tim. di KDN. Radzi sudah terkeluar selepas berjaya mengeluarkan Shahidan. Tiada lagi Azmi Khalid. Tiada lagi Sazmi Miah, pejuang alam sekitar di Kelantan (sahaja). Tentu Ibrahim Ali gelak. Rafidah Aziz pun dah terkeluar. Kita tunggu episod permit AP yang baru.

Khalid Nordin jaga KPT (MOHE). Untung lah kroni dia. Sebelum ni, kat MARA pun, kroni dia dah kaya raya. Shahrir jaga pengguna. Kita tengok macam mana dia kawal kenaikan harga barang. Aku rasa dia ni jauh lebih bagus daripada Shafie Apdal.

Prowaris pun dah hantar surat suruh Pak Lah undur. Tapi sayang. Setahu aku Pak Lah tak baca surat-surat tu. Kalau dia baca pun, dia akan tertidur sebelum surat tu habis dibaca. Apa boleh buat. Sabar je lah UMNO.

Monday, March 17, 2008

Kisah Dr. Mashitah Ibrahim

Ini cerita dari Kuala Ketil, Kedah. Cerita ini diperolehi daripada seorang saudara yang tinggal di sana. Dia dan isterinya adalah antara petugas BN di situ. Dia kata kali ni, dia dah undi PAS sebab calon BN, Dato' Azeez Abdul Rahim dan bukan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Dengan kata lain, dia undi calon, bukan undi parti lagi.

Malah katanya, memang dia berpakat dengan kawan-kawannya untuk undi PAS walau pun dia bertugas untuk calon BN. Lalu diceritakan bagaimana Mashitah tak terpilih.

Mula-mula, katanya nama Dr. Mashitah sudah disenaraikan. Seminggu kemudian, nama dia dikeluarkan. Dia pergi jumpa Pak Lah. Dalam pertemuan tersebut, Khairi Jamaluddin menantu Pak Lah pun ada. Bila Dr. Mashitah minta penjelasan Pak Lah, hanya Khairi yang menjawab. Malah Khairi tengking Pak Lah dan Mashitah. Pak Lah tak terkata apa-apa. Diam je.

Dr. Mashitah kata, bila dia balik, dia menangis. "Macam tu ke PM kita ?", kata Dr. Mashitah. "Boleh ke menantu tengking Pak Mertua ? Saya sedih sangat."

Sebulan sebelum Parlimen dibubar, sudah ada satu pertemuan diatur antara Dr. Mashitah dengan ketua-ketua UMNO di Baling. Dalam pertemuan tu Dr. Mashitah tak dibenarkan bercakap. Khairi pun ada dalam pertemuan tu, memerhati dari jauh. Semua ketua-ketua Umno ni pakat hentam Mashitah. Ada yang kata susah nak jumpa AP (Ahli Parlimen), ada yang kata tak dapat satu sen pun daripada AP sejak Mashitah menang, isu Mashitah beli rumah berkembar dua biji dan macam-macam lagi. Ketua puteri kata, dia tak dapat jumpa AP sebab ketua bahagian tak benarkan (Grand Design ni dah lama dirancang). Apa-apa hal, jumpa ketua bahagian je. Kemudian dia bertanya, betul ke Mashitah ada tulis surat nak jadikan ibu tunggal di Baling sebagai pelacur untuk tambah rezeki ? Rupanya ada surat guna letterhead UMNO Baling dengan tandatangan Mashitah sudah diedar berhubung isu ini.

Mashitah yang dapat peluang bercakap terus menafikan dan berkata dia difitnah. Tentang peruntukan yang sifar tu, katanya , Ketua wanita sendiri yang cabar dia, tak mahu terima peruntukan daripada AP. Dia kata Wanita boleh buat kerja tanpa peruntukan daripada AP pun. (Mungkin Ketua Wanita tu takut jawatannya terancam dek Mashitah). Mashitah sahut cabaran tu.

Isu-isu lain pun turut dijawab oleh Ustazah glamour tu.

Jelaslah, KJ merancang semuanya. Malah kalau nak projek pun, Pak Lah suruh melalui KJ dulu dan KJ seperti juga proxy menteri Umno yang lain akan ambil komisyen. Dan Dr. Mashitah kena terima hakikat bila memilih Umno sebagai wadah perjuangan, itu adalah antara risiko-risikonya.

Jelaslah juga, BR menang sebab undi protes dan bukan atas kesedaran pengundi untuk membuat perubahan. Jadi BR kenalah kerja keras untuk buktikan mereka lebih baik daripada BN, tidak pilih kasih, salah guna kuasa. Peluang sebegini bukan datang selalu.

Memanglah bukan mudah nak satukan hati pengundi secara serentak seluruh Malaysia dalam PRU12 ni kalau tanpa bantuan Allah.

Firman Allah dalam surah Al-Anfaal ayat 63,
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dan firmannya lagi dalam Surah Ghafir (Surah Mukmin) ayat 60,
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Lalu teringat aku kepada munajat Tok Guru Nik Aziz di pagi 7 Mac 2008. Tuhan maha mengetahui bila masa yang sesuai untuk perkenankan doa hambanya.

Kuasa rakyat, kuasa Raja, Kuasa Menteri

Syukur, akhirnya MB Perak telah selamat mengangkat sumpah dan sekaligus kerajaan Barisan Rakyat (BR) mula dibentuk secara rasmi.

Paling menggembirakan ialah pihak BR lebih dahulu berjaya menyelesaikan masalah perlantikan MB berbanding kerajaan negeri BN walaupun BR hanya pakatan syok-syok saja. Tiada pakatan rasmi, pakatan rapuh dan tidak kukuh.

Sementara BN yang berpengalaman, ditambah pula dengan kemenangan majoriti 2/3 di Perlis dan Terengganu masih berteka-teki dan masih bercelaru, caca-merba, kucar-kacir dan belum ada penyelesaian secara rasmi. Media pro BN sendiri masih tidak jelas apakah perlantikan MB Perlis sudah selesai dan adakah calon MB Terengganu sudah dimuktamadkan ?

Suasana sebegini harus menjadi pengajaran kepada semua. Ia boleh berlaku semula di masa akan datang kepada pakatan mana sekalipun. Kuasa Raja dan Sultan yang ini perlu dihormati. Oleh itu jangan besar kepala bila dah pegang kuasa. Kelak bermasalah dihari mendatang, sendiri yang tanggung malu.

Selamat berkhidmat.

Thursday, March 13, 2008

Kerana kuasa

Ramai yang sering berkata (termasuk saya), penyokong mahupun pemimpin PAS taksub. Tidak berfikiran terbuka. Tidak memahami realiti sebenar politik di Malaysia.

Dalam PRU ke 12, PAS mengorbankan banyak kerusi untuk PKR termasuk di Kelantan dan Terengganu yang diketahui sebagai negeri PAS berkubu. Tidak lupa juga di Kedah. Masih tidak dilihat sebagai berfikiran terbuka ? Ini bukanlah kali pertama PAS mengorbankan kerusinya demi pakatan mengalahkan BN. Semasa wujud parti S46 pun, PAS pernah berkorban.

Lalu kali ini, pengorbanan itu dibalas Tuhan dengan kemenangan lebih banyak kerusi sehingga berjaya mewujudkan sebuah lagi kerajaan di Kedah. PAS menawarkan pula satu kerusi exco kepada DAP walaupun tiada pakatan rasmi dibuat dengan parti itu. DAP membisu.

Bila PAS pula mengharapkan satu kerusi exco di P.Pinang yang diperintah DAP diberikan kepada PAS, DAP dengan angkuh berkata, kerajaan P.Pinang adalah kerjasama antara DAP dan PKR sahaja. Siapakah yang tertutup mindanya dan siapa yang lebih terbuka mindanya ?

Bila Raja Muda Perak yang mewakili Sultan Perak lebih berkenan dengan calon PAS sebagai calon Menteri Besar, Lim Kit Siang secara terbuka membantah. Tidak taksubkah Kit Siang ? Sudah terbuka luaskah mindanya ? Atau beliau hanya mahu membenarkan kata-kata Hj. Hadi pada 2004 dahulu, Kit Siang dan Karpal Singh ubat yang telah tamat tempoh; masih dengan stail 70an ?

Di samping menghadapi masalah melantik MB di Perak, wujud pula masalah pembahagian jawatan exco. Lalu kita tertanya-tanya, benarkah matlamat mereka mahu menjatuhkan BN atau mahu berebut jawatan ? Atau mereka mahu mengesahkan kata-kata Pak Lah, pakatan PAS-PKR dan PKR-DAP hanya pakatan syok-syok saja ?

Tuhan sengaja menjadikan keputusan PRU sebegitu untuk menguji mereka, nafsu mereka, kebijaksanaan mereka menyelesaikan masalah, keikhlasan mereka, kesanggupan mereka untuk berkorban demi kepentingan rakyat. Itu belum lagi dilihat dalam pembahagian exco di Selangor. Selepas ini apa pula ? Ahli majlis PBT ? Ketua-ketua kampung ? Jangan sampai habis tempoh 5 tahun berkhidmat, masih bertelagah dengan lantikan jawatan hingga masalah rakyat terabai sudahlah.

BN Tidak Harus Terus Usaha Tawan Kelantan

Ketika orang sibuk bercerita pasal bantahan Lim Kit Siang/DAP terhadap perlantikan MB baru Perak drp PAS, saya berpendapat, ia hanya satu sandiwara DAP untuk memenangi hati pengundi mereka. DAP bimbang akan dimarahi penyokongnya sekali gus akan kehilangan pengaruh dengan cepat kerana mereka menang 18 kerusi, PAS hanya 6 kerusi; sudahnya PAS yang paling sedikit menang kerusi dan tiada pakatan secara langsung dengan DAP yang menerajui negeri.

Hakikatnya, DAP sudah menyetujui dari awal lagi dengan perlantikan itu. Semua orang sudah tahu, seawal hari Isnin lagi MB Perak akan dilantik daripada PAS. Pihak PAS sendiri sudah umumkan, tetapi DAP cuba bersandiwara kemudiannya atas kepentingan politiknya sekaligus melambatkan proses perlantikan secara rasmi. DAP sanggup menanggung risiko membantah keputusan sultan semata-mata untuk kepentingan politiknya, kemudian mengalah dan memohon maaf semula.

Sementara itu, mantan menteri penerangan yang dikatakan berkempen secara kelakar oleh Tun Dr.M dilaporkan berkata sudah sampai masanya untuk Umno insaf, bahawa masa dan wang yang telah banyak dicurahkan sebagai usaha untuk mengambil alih Kelantan itu, adalah satu usaha yang sia-sia.

Malah menurut beliau, wang yang dicurahkan untuk perjuangan politik di Kelantan itu lebih banyak menimbulkan perbalahan di kalangan pemimpin Umno di negeri itu.

Katanya, bagaimanapun kekalahan BN di Kelantan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan pembangunan di negeri itu, sekiranya ada satu kerjasama yang rapat antara kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan Persekutuan.

Sekali fikir, bodoh juga Zam bila berkata Usaha BN tawan Kelantan tak perlu diteruskan. Dah putus asa ke ? Atau dah tukar strategi ? Walaupun perenggan awal laporan Bernama itu menunjukkan kebodohan Zam, namun perenggan seterusnya menunjukkan kebijaksanaan, kematangan dan keterbukaan pula.

Apa pun, janganlah kerajaan pusat menganaktirikan projek pembangunan di Kelantan lagi kerana strategi itu bukan sahaja gagal sejak dahulu bahkan merugikan orang melayu sahaja. Usah bicara soal DEB kalau hakikatnya, pembelaan untuk orang melayu tidak diagihkan sama rata. DEB secara asasnya cantik tetapi dari segi perlaksanaannya hampa.

Ramai yang risau, P.Pinang akan buat sistem tender terbuka. Mampukah orang melayu bersaing ? Kelantan sudah lama melaksanakan sistem tender terbuka dan Terengganu juga melaksanakannya semasa PAS memerintah. Ramai juga syarikat bumiputera yang dapat balak dan projek-projek lain. Ketika BN memerintah, sistem tender tertutup dilaksanakan ataupun runding terus (direct nego). Ramai juga taukeh Cina yang dapat projek selain melayu ali baba. Projek pembangunan di Terengganu kini pun banyak dibolot oleh Patrick Lim. Jadi usahlah risau.

Kata Prof. Ungu Aziz, melayu perlu ada sifat kiasu iaitu takut kalah. Dengan itu, melayu akan mampu bersaing. PAS dan PKR menang besar dalam PRU 12 pun sebab sifat kiasu. PAS takut kalah di Kelantan. PKR takut hilang kerusi tunggal di Permatang Pauh. BN tiada rasa kiasu kerana yakin, BN mesti menang. Akhirnya BN lesu.

Wednesday, March 12, 2008

Cabaran untuk kerajaan BA

Akhbar Utusan Malaysia terus memainkan isu perkauman yang sememangnya sensitif untuk mewujudkan rasa terancam dikalangan orang melayu selepas BN tewas di Kuala Lumpur dan 5 negeri. Semalam, dengan tajuk Survival melayu tergugat dan hari ini dengan tajuk Melayu menang sorak, masing-masing menyiarkan 4 surat daripada pembaca (?). Masing-masing cuba "menyedarkan" orang melayu betapa mereka kini semakin terancam kerana DAP dan kaum bukan melayu khususnya Cina dan India semakin berani menuntut hak.

DAP seperti biasa digambarkan sebagai cauvinis. (DAP iaitu serpihan dari PAP - parti yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew dengan perjuangan cauvinisme Cinanya - terus meluaskan pengaruh di kalangan kaum Cina. - Saad Hashim, Ampang). DAP menolak DEB juga menjadi tajuk utama Utusan. Wujud juga seruan supaya orang melayu kembali bersatu. (p/s - Kalau ikhlas mahu bersatu, penyatuan tersebut mestilah atas nama agama dan bukan atas landasan perkauman kerana Islam menjamin keadilan dan keselamatan untuk semua kaum dan agama.

Ada juga yang membangkitkan DAP tidak mengiktiraf Islam. (DAP sejak dahulu telah menyatakan dengan terbuka yang parti itu tidak mengiktiraf dan menerima Islam. - Menghitung Hari, KL). Pak Malau dari Kajang menyebut, "Dan yang lebih memalukan ada di antara umat Islam dan Melayu telah sama-sama membantu DAP untuk menghapuskan sama sekali suara Melayu di Pulau Pinang."

Sokongan orang cina kepada DAP digambarkan sebagai berpunca daripada agenda perkauman seperti yang disebut oleh Mohd Radzwil Abdullah, "Cina melarikan diri dari Gerakan dan MCA kerana mereka beranggapan bahawa parti-parti itu gagal memperjuangkan agenda-agenda kaum mereka."

Perantau Sabah menyebut, "kain rentang parti DAP menyatakan “Undi MCA Bermakna Undi UMNO/Melayu”, atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis “ Undilah calon-calon Cina sahaja”."

Isu-isu sensitif yang ibarat bermain dengan api ini boleh mewujudkan suasana yang tegang dan amat merbahaya. Sejarah Kelantan membuktikan BN hanya dapat merampas kembali negeri itu melalui satu suasana darurat yang terancang melalui konsep pecah dan perintah dimana PAS akhirnya berpecah kepada PAS dan BERJASA.

Kini adalah menjadi tanggung jawab kerajaan baru BA yang dipilih untuk memastikan kebimbangan di atas tidak berasas serta membuktikan pentadbiran baru lebih membawa kebaikan, muhibbah, selamat, bersih dan adil.

Sementara itu, Harian Metro menyebut, "Antara badan paling awal menyuarakan kebimbangan nasib orang Melayu ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) yang mahu isu Melayu diberi perhatian kerana pemilikan aset Bumiputera hanya dua peratus di daerah Timur Laut dan 17 peratus di daerah Barat Daya."

Itulah antara jasa UMNO Pulau Pinang dalam memperjuangkan nasib orang melayu selepas bertahun-tahun BN menguasai negeri itu melalui dasar DEB nya. 2 peratus ???

Monday, March 10, 2008

Politik emosi

Zainuddin Maidin bersumpah, dia akan pastikan calon lawannya akan hilang wang pertaruhan. Sudahnya, dia hilang jawatan. Jawatan Ahli Parlimen dan jawatan Menteri.
YAB Datuk Nik Aziz menasihatkan supaya pemimpin dan penyokong parti pembangkang tidak amalkan politik balas dendam.

Ketika PAS menang di Terengganu pada 1999, bangunan SUK dikepung. Bekas Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar) tidak dibenarkan masuk walaupun untuk mengambil barang-barang peribadi.

Hari ini akhbar melaporkan, sekumpulan penyokong BA berkumpul di SUK Selangor. Mereka berkawal. Tak dapat dipastikan mereka memang diamanahkan berkawal oleh pihak yang bakal mengambil alih kerajaan atau panai-pandai sendiri. Di Kedah dan Perak juga sama. Dan kebanyakan mereka adalah penyokong PAS atau daripada kaum melayu. Tidak dapat dipastikan kesahihan laporan akhbar yang pro BN ini kerana tiada laporan drp media pro BA setakat ini.

Di Pulau Pinang, tokoh yang dinamakan sebagai bakal ketua menteri mengadakan kunjungan hormat kepada penyandang Ketua Menteri, Koh Tsu Koon. Peralihan kuasa dan penyerahan tugas akan dilakukan secara terhormat dan akan berjalan dengan lancar. Kan cantik tu. Kenapa Melayu yang bersopan susila, beradat dan beradab lagi beragama tidak dapat menunjukkan sikap lebih baik daripada mereka ?

Di Kedah, akhbar pro BN melaporkan PAS mengarahkan Tabika Kemas mengosongkan premis yang diduduki. Emosional bunyinya. Tidak dapat dipastikan sama ada selama ini, Kemas membayar sewa atau tidak. Di Selangor, tabika Kemas di tempat aku tidak lagi menumpang di dewan orang ramai. Sudah ada premis sendiri yang didirikan sejak tahun 2000 selepas kejadian tabika kemas di Terengganu dihalau (???). Sepatutnya tabika Kemas kena ada premis sendiri. Supaya tak mengganggu aktiviti masyarakat di dewan. Tak kan Kemas tak boleh sediakan peruntukan untuk bangunan Tadika ? Bila dah jadi begini, mula salahkan pembangkang. Dan pembangkang pula nampak macam tak sabar-sabar. (wallahua'lam sebab belum ada laporan daripada pihak pembangkang di Kedah. Jangan cepat menuduh hanya kerana laporan dari sebelah pihak.)

Banyak lagi laporan-laporan yang negatif dan positif yang jika dinilai, ianya berpunca daripada politik emosi yang tenang atau emosi yang tegang.
Moralnya, kita masih banyak dikawal oleh emosi dan perasaan amarah kita. Walaupun kita Islam dan Islam itu indah. Bermuhasabah lah.

Pasti ada hikmahnya kenapa PAS tewas di Terengganu. Allah maha mengetahui.

Coretan PRU ke 12

Keputusan pilihanraya ke 12 sudah pun diketahui umum. BN menang dalam kalah. BA juga serupa. Ada yang gembira dan ada yang sedih. Setakat ini tiada laporan orang terkena serangan jantung akibat keputusan mengejutkan dalam sejarah Malaysia ini. Alhamdulillah. Kalau dulu, bila Muhammad Ali, petinju lagenda dunia bertarung, pasti ada sahaja yang terkena serangan jantung.

Aku tidak menyesal dengan pilihan aku kali ini. Ini adalah kali ke 3 aku mengundi. Kawan-kawan sebaya aku sudah masuk kali ke 5 mengundi tapi aku lewat daftar sebagai pemilih. Sebelum keluar mengundi, aku beritahu isteriku, aku tidak berbelah bagi untuk mengundi kali ini. Aku dah solat istikharah hampir seminggu setiap kali selepas solat maghrib atau isyak walaupun sebelum itu aku dah buat pilihan. Manalah tahu, Allah nak tunjukkan sesuatu yang berbeza dengan apa yang aku fikirkan. Bahkan sebelum keluar mengundi, sekali lagi aku bersolat istikharah, memohon petunjuk Allah. Alhamdulillah, tidak terdetik sedikitpun rasa was-was.

Dalam pilihanraya ke 10, aku mengundi calon DAP (berketurunan Cina) yang bertanding melawan calon UMNO. Dalam pilihanraya ke 11, aku undi calon PKR (berketurunan India - mungkin kristian) yang menentang calon UMNO. Kali ini calon Melayu lawan Melayu. Tentulah lebih mudah membuat pilihan. :)

Dalam kereta, isteriku (masih ahli UMNO yang sah) bertanya calon mana nak dipilih ? Aku berikan jawapanku dan dia diam. Memang sudah ditakdirkan, aku yang setakat ini masih setia dengan perjuangan Islam menjadi menantu kepada seorang ketua cawangan UMNO dan ketua wanita UMNO cawangan parlimen Titiwangsa. Mungkin masa nikah dulu, dia tak tahu pendirian politik ku walaupun isteriku tahu. Kebetulan pula, anak saudara mertua ku juga sudah bernikah dengan seorang saudaraku yang merupakan ketua UMNO cawangan Pulau Rusa,KT masa itu.

Selepas keputusan diketahui satu demi satu, aku tak dapat menahan rasa gembira bila diumumkan, PAS menang di Titiwangsa. Hampir saja aku menjerit memberitahu isteriku. Isteriku mengingatkan aku supaya tidak menaikkan kemarahan kedua mertuaku yang tinggal sebumbung dengan kami. Kedua-dua petugas BN itu yang sudah lah tua, keletihan pula selepas 2 minggu bertungkus lumus berkempen. Calon mereka tewas pula. Kalau dah biasa tewas, tak mengapa; ini tak pernah tewas, tentulah tak mudah.

Semalam, ibu mertuaku hampir pitam ketika kami ke majlis kenduri kahwin di Shah Alam. Dalam perjalanan, kami sibuk bercerita pasal politik. Dia nampaknya tenang dan boleh terima keputusan dengan baik. Tiba-tiba, bila keluar dari kereta, dia hampir rebah dan dipapah oleh birasku yang lebih gagah daripada aku. Keletihan agaknya. Risau juga aku.

Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang pasti gembira dan yang kalah pasti bersedih. Akhbar melaporkan Tajol Rosli, bekas MB Perak mengunci diri dan menangis menerima berita kekalahan BN di Perak. Bukankah hanya Allah yang memiliki kuasa mutlak ?

Friday, March 07, 2008

Hari terakhir berkempen

Akhirnya, pada hari ini, khutbah Jumaat di KL menyentuh juga isu pilihanraya. Saya dah tertunggu-tunggu sejak minggu lepas lagi, bila khutbah nak bangkitkan isu pilihanraya ? Ye lah. Pilihanraya tu penting. Bagi umat Islam, pilihanraya berkait dengan urusan dunia dan akhirat. Hubungan antara manusia dgn manusia serta hubungan manusia dgn Penciptanya.

Sedikit sebanyak, khutbah hari ini boleh dianggap baik walaupun masih boleh dimantapkan lagi. Antaranya disebutkan kewajipan mewujudkan keamanan, keharmonian, sifat amanah yang perlu ada pada pengendali pilihanraya dan pihak berkuasa lain, hindari penyalahgunaan kuasa dan sebagainya lagi.

Yang boleh dimantapkan lagi, sepatutnya mimbar memberi panduan kepada jemaah untuk membuat pilihan yang tepat. Pilih yang paling hampir dengan Al Quran dan As Sunnah kerana agak mustahil untuk menemui yang betul-betul sempurna. Sebutkan juga kewajipan pemimpin dan rakyat menyeru kepada makruf dan mencegah yang mungkar. Sudahkah terlaksana.

Teringat saya kepada laporan Berita Harian sehari selepas manifesto BN dilancarkan. Seorang pendakwah dari Sarawak menyebut, sudah tiba masanya kerajaan menterjemahkan konsep Islam Hadhari dalam bentuk pelaksanaan pula. Dalam erti kata lain, pendekatan Islam Hadhari tu belum dilaksanakan lagi. Kalau diteliti dan dimuhasabah, memangpun. Retorik dan gimik je lebih. Tak ada apa-apa perubahan pun berbanding dulu.

Laporan BERNAMA pula menyebut tentang kekecohan penyokong PAS di Terengganu menahan bas yang membawa pelajar IPT pulang mengundi. Antara yang dilaporkan :

Seorang pelajar dari Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) Siti Zamimi Mohd Nawi, 20, ketika ditemui berkata beliau terkejut apabila bas yang dinaikinya dibaling batu oleh sekumpulan lelaki.

"Laluan bas yang membawa kami dihalang, kad pengenalan kami diperiksa kerana mereka mengatakan kami pengundi hantu sedangkan kami pengundi yang sah," katanya yang berasal dari Setiu Terengganu.


Setahu saya, 20 tahun bukan umur layak mengundi. Macam mana dia boleh kata dia pengundi yang sah ?

Thursday, March 06, 2008

BN atau BA ?

Aku terbaca artikel di http://penyokong-kj.blogspot.com/2008/03/24-jam-di-terengganu.html. Aku terpanggil untuk turut mengulas.

1. Kisah Masjid Kristal - Sebelum ini ada pihak telah menayangkan video dalam internet menggambarkan ada rupa berhala pada masjid ini. Jadi bila saya berada di sini dan melihat sendiri serta bertemu bual dengan orang di sini, maka cerita itu 'tidak benar' sama sekali. Ia hanya direka-reka oleh pihak berkenaan sahaja. Sebenarnya masjid ini bila diambil gambar ia ada balikan cahaya dan bayang. Lagipun ia tidak dicat seperti masjid-masjid lain. Memang sungguh bersinar dan berkilau pemandangannya.

1. Masjid kristal - isunya bukan imej misteri yang kelihatan dalam video clip tu. Itu hanya jenaka sinis sahaja. Penyokong yang serius dgn jenaka sinis itu, menunjukkan dia masih kurang cerdik. Isu sebenarnya ialah apa kejadahnya dibina masjid di pulau tak berpenghuni tu ? Masjid dibina bila ada keperluan (dimohon) oleh masyarakat setempat. Sifat masjid mesti diimarahkan dengan solat 5 waktu, ada majlis ilmu dan program kemasyarakatan lain. Kerajaan boleh bina replika atau benda lain untuk tarik pelancong tetapi bukan masjid, apatah lagi menggunakan wang berjuta-juta.

2. Mat Sabu - Orang-orang PAS Terengganu yang saya temui memberi komen mereka tidak suka Mat Sabu bertanding di Kuala Terengganu. Sepatutnya berilah orang atau anak Terengganu sendiri yang mewakili PAS. Takanlah tidak ada langsung anak Terengganu yang layak untuk dipilih sehingga terpaksa mengambil orang luar.
2. Mat Sabu - Masyarakat Terengganu perlu lebih berfikiran terbuka terutama dalam memilih ahli Parlimen. Ahli parlimen berbeza dengan ADUN. Orang luar sepatutnya tidak menjadi faktor untuk ditolak asalkan dia mampu membawa isu dengan baik di Parlimen. Kalau orang tempatan pun, tetapi tak mampu jadi jurucakap yang bernas di Parlimen, lebih baik tolak tepi je. Tapi aku setuju, Mat Sabu bukan pilihan terbaik. Rekodnya tercemar dengan isu khalwat dan gaya ceramahnya yang tidak dihiasi ciri-ciri Islamik.

3. Parti Keadilan Rakyat - Mereka kata 'Adil' susah nak menang di Terengganu. Dulu semasa 1999 orang-orang Terengganu terpengaruh dan merasa simpati dengan kes Anwar Ibrahim. Itulah sebab BN kalah teruk dalam pilihanraya 1999.
3. PKR - Sekali lagi, masyarakat Terengganu perlu berfikiran terbuka dalam membuat pilihan. Calon PAS bukan semestinya bagus. Ada kelulusan tinggi dalam bidang agama belum tentu dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat. Orang yang ada Phd pun belum tentu boleh jadi wakil rakyat yang bagus. Rekod tahun 1999 sudah membuktikan ada wakil rakyat PAS malah exco PAS yang kurang disenangi rakyat. Lihat Dr. Mashitah Ibrahim di Baling dan Dr. Amran Kasimin di Bangi.

4. Nasib Rakyat Terengganu - Dia orang cakap siapa menang pun kita rakyat masih macam ini juga. Walaupun nampak kemajuan dengan pembangunan sana sini tetapi berapa orang sahaja yang dapat faedahnya? Yang lain-lain cuma boleh tengok dan lihat sajalah.
4. Setuju.

5. Harga Minyak - Mereka kata sepatutnya kerajaan buatlah cara lain usahlah naikan harga minyak? Bila harga minyak naik jika setakad menjejaskan kenderaan saja tak kisah tetapi ia melibat dan menjejaskan perkara-perkara lain sama. Itu yang menyebabkan rakyat rasa semakin susah dan tertekan. Mereka cakap "Petronas tak pernah rugi sekalipun malah untung sepanjang masa berbilion-bilion ringgit...jadi kenapa perlu naikkan harga minyak? Masa Dr Mahathir dahulu minyak naik setahun sekali saja....tapi bila masa Pak Lah minyak naik 3 kali setahun".
5. Zaman Tun, minyak naik sikit-sikit. Selalunya kurang daripada 10 sen. Zaman Pak Lah, minyak naik 30 sen.

6. Anwar Ibrahim - Seorang pakcik tua beritahu saya Anwar Ibrahim tu telah silap kerana tak nak dengar nasihat Mahathir. Sepatutnya bila Mahathir suruh dia letak jawatan dia letaklah dulu. Sebab Mahathir dah tahu semua cerita-cerita yang tak baik berkenaan Anwar ini. Itu sebab Mahathir nak Anwar berundur sekejap, bila keadaan dah mula reda dan sepi, maka Anwar bolehlah masuk dan aktif kembali dalam umno. Sama juga dengan Ku Li. Jika dia tak lawan Mahathir dulu, mungkin Ku Li dah jadi Perdana Menteri selepas itu.
6. No komen.

Yang aku nak tambah, aku nak sangat supaya calon PKR di Rembau menang. Calon tu nampaknya hebat. Hehehe... Ke Rembau pulak perginya.

Satu lagi, sesekali, BN perlu dikalahkan juga supaya hilang sikit takbur dan egonya. Jangan jadi macam Johor. Bukan maju mana pun. Cuba tengok kampung-kampung orang melayu di Johor. Aku rasa suausana di Terengganu dan Kelantan (terutama di kawasan yang kekuatan antara 2 partinya seimbang) lebih baik kalau dibandingkan dengan Johor. Tak padan dengan taat setia melayu Johor kepada Umno.

Melayu Johor perlu berani berubah !!!

Tuesday, March 04, 2008

Penipuan dalam pilihanraya

Baru sekejap, seorang rakan memberitahu, ipar dia yang hardcore UMNO di Johor dah ke Kelantan seminggu mulai semalam untuk kempen dan akan mengundi di sana. Banyak duit ditaburkan.

Minggu lepas, seorang rakan lain (anak Kelantan) memberitahu, RM250 untuk balik mengundi di Kelantan. Begitulah antara kisahnya. Aku tak pasti adakah itu satu penipuan.

Semalam, di masjid, Ustaz yang mengajar beritahu, isteri dia berdaftar di Segambut tahun ni walaupun tak pernah tukar alamat. Segambut bukan tempat dia. Malah, tahun 2004, isterinya berdaftar di Setiu Terengganu. Bukan pernah tinggal di Terengganu pun. Saudara mara pun tak ada kat sana.

Katanya lagi, biarlah menang sedikit tapi tak menipu, daripada menang banyak tempat tapi menipu. Tak berkat. Gaji dan elaun pun dah jadi haram. Kalau hulur derma kepada masjid atau anak yatim pun dah tak berguna lagi sebab guna duit haram.

Politik tu tak kotor. Tapi hati manusia yang kotor. Dengan hati yang kotor, manusia menyalahgunakan akal untuk mencapai cita-cita nafsunya.

Patutkah manusia yang demikian keadaannya ﴾terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan﴿ menyangka Bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya ﴾dan menyeksakannya﴿? - Al Balad : 5

Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya ﴾harta benda, anak pinak pangkat dan pengaruh﴿ - At Takatsur : 1

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). - Al Baqarah : 188

Dan tidak ﴾dinamakan﴿ kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? - Al An'am:32

﴾Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah﴿ orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang
yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia ﴾segala kemewahannya dan kelazatannya﴿. oleh itu, pada hari ini ﴾hari kiamat﴿, Kami lupakan ﴾tidak hiraukan﴿ mereka sebagaimana mereka telah lupa ﴾tidak hiraukan persiapan-persipan untuk﴿ menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan kami. - Al A'raf:51

Monday, March 03, 2008

Antara isu peribadi dan isu nasional

PAS seperti juga di tahun-tahun 80an masih beranggapan isu peribadi mampu menarik sokongan kepada parti itu. Isu nasional pun turut diketengahkan tetapi bila isu peribadi dibongkar, berlumba-lumbalah pemimpin dan penyokong mereka menjuarai isu dan masing-masing turut ingin mengulas.
Dalam piihanraya kali ini, aku percaya, PAS boleh memperbaiki prestasi berbanding musim lepas. Tetapi kalau mahu meningkatkan lagi prestasi, PAS perlu lebih berhikmah. PAS berpolitik sambil berdakwah. Jadi berdakwah mesti dengan berhikmah. Isu peribadi perlu dikurangkan dan tidak lagi menjadi isu utama. Isu peribadi hanya isu syok sendiri. Ia hanya menyemarakkan semangat penyokong sedia ada tetapi tidak pada penyokong baru atau penyokong atas pagar.
Bukan isu tak tutup aurat itu tak penting, seperti calon ADUN Bkt Antarabangsa. Sebagai muslim, pemimpin yang mahu dipilih mestilah seorang yang menjaga syariat. Kalau mematuhi syariat itu tak penting, jangan terkejut jika ada pula yang berkata, solat tak penting, yang penting ialah mampu berkhidmat kepada rakyat secara berkesan.
Caci, maki, cerca dan sindiran; pernahkah digunakan oleh rasulullah dalam berdakwah ? Hanya Allah sahaja yang berhak melaknat makhluknya yang melampaui batas.

Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah 3 (Aali 'Imraan) Ayat 26.