Thursday, March 13, 2008

BN Tidak Harus Terus Usaha Tawan Kelantan

Ketika orang sibuk bercerita pasal bantahan Lim Kit Siang/DAP terhadap perlantikan MB baru Perak drp PAS, saya berpendapat, ia hanya satu sandiwara DAP untuk memenangi hati pengundi mereka. DAP bimbang akan dimarahi penyokongnya sekali gus akan kehilangan pengaruh dengan cepat kerana mereka menang 18 kerusi, PAS hanya 6 kerusi; sudahnya PAS yang paling sedikit menang kerusi dan tiada pakatan secara langsung dengan DAP yang menerajui negeri.

Hakikatnya, DAP sudah menyetujui dari awal lagi dengan perlantikan itu. Semua orang sudah tahu, seawal hari Isnin lagi MB Perak akan dilantik daripada PAS. Pihak PAS sendiri sudah umumkan, tetapi DAP cuba bersandiwara kemudiannya atas kepentingan politiknya sekaligus melambatkan proses perlantikan secara rasmi. DAP sanggup menanggung risiko membantah keputusan sultan semata-mata untuk kepentingan politiknya, kemudian mengalah dan memohon maaf semula.

Sementara itu, mantan menteri penerangan yang dikatakan berkempen secara kelakar oleh Tun Dr.M dilaporkan berkata sudah sampai masanya untuk Umno insaf, bahawa masa dan wang yang telah banyak dicurahkan sebagai usaha untuk mengambil alih Kelantan itu, adalah satu usaha yang sia-sia.

Malah menurut beliau, wang yang dicurahkan untuk perjuangan politik di Kelantan itu lebih banyak menimbulkan perbalahan di kalangan pemimpin Umno di negeri itu.

Katanya, bagaimanapun kekalahan BN di Kelantan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan pembangunan di negeri itu, sekiranya ada satu kerjasama yang rapat antara kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan Persekutuan.

Sekali fikir, bodoh juga Zam bila berkata Usaha BN tawan Kelantan tak perlu diteruskan. Dah putus asa ke ? Atau dah tukar strategi ? Walaupun perenggan awal laporan Bernama itu menunjukkan kebodohan Zam, namun perenggan seterusnya menunjukkan kebijaksanaan, kematangan dan keterbukaan pula.

Apa pun, janganlah kerajaan pusat menganaktirikan projek pembangunan di Kelantan lagi kerana strategi itu bukan sahaja gagal sejak dahulu bahkan merugikan orang melayu sahaja. Usah bicara soal DEB kalau hakikatnya, pembelaan untuk orang melayu tidak diagihkan sama rata. DEB secara asasnya cantik tetapi dari segi perlaksanaannya hampa.

Ramai yang risau, P.Pinang akan buat sistem tender terbuka. Mampukah orang melayu bersaing ? Kelantan sudah lama melaksanakan sistem tender terbuka dan Terengganu juga melaksanakannya semasa PAS memerintah. Ramai juga syarikat bumiputera yang dapat balak dan projek-projek lain. Ketika BN memerintah, sistem tender tertutup dilaksanakan ataupun runding terus (direct nego). Ramai juga taukeh Cina yang dapat projek selain melayu ali baba. Projek pembangunan di Terengganu kini pun banyak dibolot oleh Patrick Lim. Jadi usahlah risau.

Kata Prof. Ungu Aziz, melayu perlu ada sifat kiasu iaitu takut kalah. Dengan itu, melayu akan mampu bersaing. PAS dan PKR menang besar dalam PRU 12 pun sebab sifat kiasu. PAS takut kalah di Kelantan. PKR takut hilang kerusi tunggal di Permatang Pauh. BN tiada rasa kiasu kerana yakin, BN mesti menang. Akhirnya BN lesu.

No comments: