Monday, March 10, 2008

Coretan PRU ke 12

Keputusan pilihanraya ke 12 sudah pun diketahui umum. BN menang dalam kalah. BA juga serupa. Ada yang gembira dan ada yang sedih. Setakat ini tiada laporan orang terkena serangan jantung akibat keputusan mengejutkan dalam sejarah Malaysia ini. Alhamdulillah. Kalau dulu, bila Muhammad Ali, petinju lagenda dunia bertarung, pasti ada sahaja yang terkena serangan jantung.

Aku tidak menyesal dengan pilihan aku kali ini. Ini adalah kali ke 3 aku mengundi. Kawan-kawan sebaya aku sudah masuk kali ke 5 mengundi tapi aku lewat daftar sebagai pemilih. Sebelum keluar mengundi, aku beritahu isteriku, aku tidak berbelah bagi untuk mengundi kali ini. Aku dah solat istikharah hampir seminggu setiap kali selepas solat maghrib atau isyak walaupun sebelum itu aku dah buat pilihan. Manalah tahu, Allah nak tunjukkan sesuatu yang berbeza dengan apa yang aku fikirkan. Bahkan sebelum keluar mengundi, sekali lagi aku bersolat istikharah, memohon petunjuk Allah. Alhamdulillah, tidak terdetik sedikitpun rasa was-was.

Dalam pilihanraya ke 10, aku mengundi calon DAP (berketurunan Cina) yang bertanding melawan calon UMNO. Dalam pilihanraya ke 11, aku undi calon PKR (berketurunan India - mungkin kristian) yang menentang calon UMNO. Kali ini calon Melayu lawan Melayu. Tentulah lebih mudah membuat pilihan. :)

Dalam kereta, isteriku (masih ahli UMNO yang sah) bertanya calon mana nak dipilih ? Aku berikan jawapanku dan dia diam. Memang sudah ditakdirkan, aku yang setakat ini masih setia dengan perjuangan Islam menjadi menantu kepada seorang ketua cawangan UMNO dan ketua wanita UMNO cawangan parlimen Titiwangsa. Mungkin masa nikah dulu, dia tak tahu pendirian politik ku walaupun isteriku tahu. Kebetulan pula, anak saudara mertua ku juga sudah bernikah dengan seorang saudaraku yang merupakan ketua UMNO cawangan Pulau Rusa,KT masa itu.

Selepas keputusan diketahui satu demi satu, aku tak dapat menahan rasa gembira bila diumumkan, PAS menang di Titiwangsa. Hampir saja aku menjerit memberitahu isteriku. Isteriku mengingatkan aku supaya tidak menaikkan kemarahan kedua mertuaku yang tinggal sebumbung dengan kami. Kedua-dua petugas BN itu yang sudah lah tua, keletihan pula selepas 2 minggu bertungkus lumus berkempen. Calon mereka tewas pula. Kalau dah biasa tewas, tak mengapa; ini tak pernah tewas, tentulah tak mudah.

Semalam, ibu mertuaku hampir pitam ketika kami ke majlis kenduri kahwin di Shah Alam. Dalam perjalanan, kami sibuk bercerita pasal politik. Dia nampaknya tenang dan boleh terima keputusan dengan baik. Tiba-tiba, bila keluar dari kereta, dia hampir rebah dan dipapah oleh birasku yang lebih gagah daripada aku. Keletihan agaknya. Risau juga aku.

Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang pasti gembira dan yang kalah pasti bersedih. Akhbar melaporkan Tajol Rosli, bekas MB Perak mengunci diri dan menangis menerima berita kekalahan BN di Perak. Bukankah hanya Allah yang memiliki kuasa mutlak ?

No comments: