Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah : Satu muhasabah

Bagai diserang histeria, penyokong-penyokong PAS dan PR rata-rata membantah muzakarah antara PAS dan UMNO.
Kalau dibaca di Tranungkite.net ramai yang meluahkan rasa masing-masing. Rata rata tidak setuju langsung dengan muzakarah tersebut. Sebahagian yang lain bersetuju tetapi bukan dalam bentuk kerjasama politik.
Badan NGO seperti PKPIM, ABIM, JIM dan PUM menyokong muzakarah tersebut.

Saya sendiri termasuk dalam golongan kedua. Yang jelas, kerjasama politik perlu diketepikan terus. Sejarah lepas sudah membuktikan ketidak ikhlasan UMNO dalam mendekati PAS. Malah ketika muzakarah sedang berlangsung kini pun, UMNO tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berubah. Kerajaan PR di Perak difitnah. MB Perak difitnah dengan perjanjian Pangkor II dan pajakan tanah 999 tahun. JKKK di negeri PR tidak diiktiraf dan ditubuhkan JKKP sekaligus menganggu dan menghina kerajaan negeri PR.

Beberapa projek kerajaan persekutuan di negeri PR ditangguhkan. Negeri Kedah mula berdepan dengan masalah kewangan, bukan hendak dibantu tetapi diasak pula dengan isu balak dan alam sekitar.

Jadi apa hasil muzakarahnya ? Dan yang masih menjadi misteri, ialah muzakarah ketiga, siapa wakilnya dan apa isu rundingannya ?

Kemarahan penyokong tak dapat dielakkan kerana PAS sebelum ini beriya-iya menafikan wujud rundingan antara PAS dan UMNO sejak selepas PRU12. Kemarahan dituju pula kepada wakil yang diamanahkan walhal mereka hanya wakil yang direstui oleh Majlus Syura Ulama (MSU). Kenapa marah kepada wakil mereka ? Hasil rundingan setakat ini pun tidak menunjukkan PAS cair dengan tawaran UMNO walaupun tawarannya lebih baik daripada apa yang PAS perolehi daripada PR.

SiasahDaily melaporkan, satu mesyuarat peringkat MSU akan dilangsungkan esok. Hasil muzakarah setakat ini perlu dinilai sebelum membuat keputusan meneruskan rundingan. Ketidak ikhlasan UMNO juga mula terserlah bila isi rundingan mula didedahkan satu persatu mulai pendedahan Pak Lah diikuti pendedahan Khir Toyo. Usaha menelanjangkan PAS cukup untuk membuat penyokong PR menjadi gawat seketika.

Saya tidak melihat sangat Karpal Singh dan Lim Kit Siang dalam DAP. Saya melihat pemimpin masa depannya seperti Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan sebagainya. Pemimpin PAS di Perak seperti Ustaz Ahmad Awang, Nizar Jamaluddin dan Mujahid Yusof lebih nampak potensi hubungan dengan DAP berbanding pemimpin PAS di Kelantan dan Terengganu yang hanya nampak UMNO dan orang melayu sahaja. Mereka lebih memahami realiti taburan penduduk di Malaysia kerana mereka hidup dalam suasana yang berbilang kaum berbanding kelompok melayu di Terengganu.

No comments: