Monday, January 19, 2009

K.Terengganu, Raja Nazrin dan iktibar

Saya cuba untuk tidak terlalu banyak menulis hal-hal politik, tetapi dek kerana banyak sangat baca berita politik, semacam ada rasa ketagih pula, bila tak tulis rasa macam tak puas hati.

Ketika keputusan PRK KT diumumkan, saya sedang bertahlil di Ampang Tasik. Selesai doa tahlil, beberapa orang jemaah sibuk menelefon rakan untuk bertanya keputusan. Saya pula meninjau Malaysiakini melalui handset. Dapat keputusan, saya tunjukkan kepada beberapa jemaah lain.

Mereka bertanya, "Siapa menang ? Kita menang ?". Saya bukan orang Ampang Tasik. Saya tak kenal siapa mereka, dan saya pasti mereka juga tak kenal saya. Jadi siapa "Kita" ? Serba salah saya nak jawab. Akhirnya jelas mereka penyokong PAS berikutan reaksi yang ditunjukkan. Sebelum maghrib, saya agak gelisah juga sebab BN mendahului. Maklumlah, undi POS dikira lebih awal. Dari situ, BN dah mendahului 1000 undi.

Yang menggembirakan saya, kemenangan PAS bukan atas faktor undi Cina. Bukan saya tak senang dengan undi Cina, tapi ia membuka peluang UMNO untuk meningkatkan lagi isu perkauman. Bila Pakatan menang, itu disebabkan faktor undi Cina dan India. Bila BN menang, itu kononnya sebab undi Melayu. Walhal selama ini undi bukan Melayulah juga yang memenangkan calon BN.

Titah ucapan Raja Muda Perak cuba dieksploitasi oleh UMNO. Kononnya, titah tersebut ditujukan kepada MB Perak. Mereka sendiri tak mahu ambil iktibar. Titah tersebut sepatutnya diterima secara positif, bukan saja oleh orang PAS, UMNO dan orang Melayu malah juga kepada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan semua rakyat Malaysia. Ia adalah fakta sejarah, dan semua patut belajar daripada sejarah. Berapa banyak tanah yang telah tergadai kepada bukan Melayu akibat kecuaian dan kelalaian UMNO ? Bumi Singapura yang tak mungkin akan kembali ke tangan kita, Raja-raja Melayu tak terkilankah ? Malah sehingga hari ini pun, semakin banyak tanah di Johor menjadi milik tauke Singapura, siapa yang bijak sangat tu ? Pulau Pinang bagaimana pula ? Apa tindakan UMNO untuk membaiki keadaan ini ? Bezanya tanah kampung baru di Perak menjadi milik Cina yang bukan tauke, sedang tanah di P.Pinang, Johor, K.Lumpur, N.Sembilan, Genting dan banyak tempat lagi menjadi milik tauke besar yang mengenyangkan UMNO.

Kalau diamati titah ucapan Raja Nazrin, jelas baginda membandingkan suasana ketika itu (ketika Rancangan Briggs dilancarkan) dengan nasib orang Melayu ketika itu yang tidak diberi langsung kemudahan seistimewa penghuni kampung baru. Rancangan Felda belum ada ketika itu. Tiada pendudukan terancang khas untuk orang Melayu yang lengkap dengan elektrik, air, sekolah, kesihatan seperti yang dinikmati di kampung baru tersebut.

Iktibarnya, agihan kemudahan dan kekayaan perlulah seimbang. Memang PAS perlu belajar daripada situ tetapi UMNO juga perlu sedar diri tu siapa. UMNO perlu sedar merekalah selama ini yang tamakkan kuasa dan wang hingga sanggup menggadaikan tanah Melayu kepada kaum lain.

No comments: