Monday, January 12, 2009

PRK K.Terengganu (5)

Salam.

Royalti : Siapa yang mula mempolitikkannya ?

"Kita nak buktikan kepada rakyat Terengganu bahawa kita belanja wang ihsan sepenuhnya untuk pembangunan rakyat dan negeri Terengganu." - Abdullah Ahmad Badawi, Timb. Perdana Menteri; 27 Okt 2000

"Kerajaan sentiasa memastikan wang ihsan daripada royalti minyak Terengganu yang kini dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) digunakan secara berhemat untuk manfaat rakyat negeri berkenaan." - Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri; 31 Ogos 2006

"Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain. RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain. Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion." - Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu; 14 Dis 2008

Tidakkah ini bermakna kerajaan persekutuan sudah menyalahgunakan wang royalti sebanyak RM1.5 bilion untuk kegunaan bukan di negeri Terengganu? Baiklah, wang itu akan dikembalikan semula, dan rakyat Terengganu tidaklah terlalu kejam untuk membiarkan rakyat negeri lain "susah" sedangkan rakyat Terengganu "kaya-raya" atau negeri Terengganu "pesat membangun", namun tidakkah rakyat Terengganu berhak untuk mengetahui di manakah wang RM1.5 bilion itu dibelanjakan ? Siapapun yang menang di KT, saya amat berharap supaya persoalan ini dijawab.

.................................................

Pengundi Cina jadi penentu ?

Saya melihat sebaliknya. Memang setiap undi adalah penentu. Bukan undi Cina, tetapi lebih penting lagi ialah undi Melayu kerana bilangannya lebih besar. Kalau 2 % sahaja orang Melayu menukar sokongan daripada PRU12 lalu, keputusan sudah banyak berubah. BN cuba tonjolkan seolah-olah ramai Melayu di Perak dan Selangor semakin tidak puas hati dengan kerajaan PR melalui NGO seperti PEWARIS. Ibrahim Ali turut membantu mengapi-apikan semangat Melayu. Sebagai tindak balas, PAS banyak melaporkan semakin ramai pengundi Melayu di Selangor menyertai parti itu.

DAP nampaknya begitu bersungguh-sungguh membantu pada kali ini. Saya rasa ini kali pertama DAP berusaha sehebat ini membantu kempen PAS apatah lagi di Terengganu. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang sihat dalam iklim politik Malaysia. Sejauh mana ia memberi kesan baik dan buruk kepada PAS, DAP dan BN, kita kena sama-sama tunggu. Sejauh mana pula PAS mampu membantu calon DAP jika mereka bertanding dalam PRK ? Adakah Karpal Singh sudi menerima sokongan terbuka PAS ?

Saya menjangka trend pengundian keseluruhan tidak banyak berubah berbanding PRU lepas. Walaupun begitu, oleh kerana majoriti yang diperolehi adalah kecil, sedikit perubahan pun pasti akan memberi kesan yang besar kepada keputusannya nanti. Saya masih melihat peluang kedua-dua parti yang bertanding 50:50. Calon bebas juga mungkin akan mendapat undi lebih kurang macam Tok Mun dulu atau mungkin lebih baik lagi.

.................................................

Calon BN sombong ?

Ramai yang turut beri komen. Yang mengaku kenal kata dia sombong. Yang mengaku tak kenal kata dia tak sombong. Saya (yang tak kenal dia) rasa dia tak sombong. Cuma dia nampak macam sombong. Dia ada masalah dalam mendekati golongan tertentu. Dia kurang pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan golongan petani, peniaga kecil, golongan berpendapatan rendah, orang kampung dan sebagainya. Ada orang memang jenis tak ada skill dalam bergaul dengan segenap lapisan masyarakat. Saya sendiri pun kurang skill ni. Setakat senyum je boleh la. Nak bersembang tu tak pandai nak cari topik sesuai.

.................................................

Tempang di sana-sini

Dalam PRK Kuala Brang, Mat Taib berkampung di Kuala Brang. Tinggal di sana selama 2 minggu. Tiap-tiap hari turun bertemu rakyat. Mungkin sebab dia Menteri Luar Bandar. Tetapi di KT tidak. Adakah kerana KT bukan luar bandar ?

Dalam PRK Kuala Brang dan Pengkalan Pasir, KJ ditugaskan mengetuai jentera pemuda. Dalam PRK P036, tak tahu siapa ketuai jentera pemuda. Mungkinkah untuk elak perang pertandingan pemuda UMNO 2009 ?

Rafidah Aziz hari tu beriya-iya mendakwa akan mengetuai jentera Wanita UMNO dalam PRK KT. Tiba-tiba sunyi sepi, hilang entah ke mana. Hari penamaan calon pun tak nampak muka. Sakit lutut berulang lagi ke ? Atau wanita UMNO ada masalah ?

Kumpulan Erdogan dalam PAS dikatakan tidak bersungguh-sungguh membantu calon PAS. Syed Azman, Husam Musa dan ramai lagi tokoh PAS yang dilabel sebagai kumpulan Erdogan kurang turut serta. Betul ke ?

Kempen Wanita, Puteri, Muslimat dan Nisa' sangat penting. Tetapi seperti biasa, kempen mereka senyap-senyap. Kurang promosi baik di media internet mahupun media cetak dan TV. Pengundi wanita amat penting untuk didekati. Saya tak pasti sejauh mana Muslimat PAS dan rakan dalam PR berkerjasama.

Wallahua'lam.

2 comments:

Anonymous said...

Ronda-ronda keliling bandaraya... dari dalam kereta cuba menyelami suasana pilihanraya...

eh...ada pilihanraya ke di KT? macam takde apa2 pun... kecuali bendera yang banyak...

Yanaam said...

Saya baru jumpa aktiviti Rafidah Aziz dan wanita UMNO di KT di http://wanitaumno2u.blogspot.com/

Sibuk sungguh dia. Bagus! Bagus!

Eloklah kalau macam tak ada apa-apa daripada riuh-rendah dengan caci maki dan baling batu macam di Batu Buruk dulu tu.