Monday, January 19, 2009

K.Terengganu, Raja Nazrin dan iktibar

Saya cuba untuk tidak terlalu banyak menulis hal-hal politik, tetapi dek kerana banyak sangat baca berita politik, semacam ada rasa ketagih pula, bila tak tulis rasa macam tak puas hati.

Ketika keputusan PRK KT diumumkan, saya sedang bertahlil di Ampang Tasik. Selesai doa tahlil, beberapa orang jemaah sibuk menelefon rakan untuk bertanya keputusan. Saya pula meninjau Malaysiakini melalui handset. Dapat keputusan, saya tunjukkan kepada beberapa jemaah lain.

Mereka bertanya, "Siapa menang ? Kita menang ?". Saya bukan orang Ampang Tasik. Saya tak kenal siapa mereka, dan saya pasti mereka juga tak kenal saya. Jadi siapa "Kita" ? Serba salah saya nak jawab. Akhirnya jelas mereka penyokong PAS berikutan reaksi yang ditunjukkan. Sebelum maghrib, saya agak gelisah juga sebab BN mendahului. Maklumlah, undi POS dikira lebih awal. Dari situ, BN dah mendahului 1000 undi.

Yang menggembirakan saya, kemenangan PAS bukan atas faktor undi Cina. Bukan saya tak senang dengan undi Cina, tapi ia membuka peluang UMNO untuk meningkatkan lagi isu perkauman. Bila Pakatan menang, itu disebabkan faktor undi Cina dan India. Bila BN menang, itu kononnya sebab undi Melayu. Walhal selama ini undi bukan Melayulah juga yang memenangkan calon BN.

Titah ucapan Raja Muda Perak cuba dieksploitasi oleh UMNO. Kononnya, titah tersebut ditujukan kepada MB Perak. Mereka sendiri tak mahu ambil iktibar. Titah tersebut sepatutnya diterima secara positif, bukan saja oleh orang PAS, UMNO dan orang Melayu malah juga kepada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan semua rakyat Malaysia. Ia adalah fakta sejarah, dan semua patut belajar daripada sejarah. Berapa banyak tanah yang telah tergadai kepada bukan Melayu akibat kecuaian dan kelalaian UMNO ? Bumi Singapura yang tak mungkin akan kembali ke tangan kita, Raja-raja Melayu tak terkilankah ? Malah sehingga hari ini pun, semakin banyak tanah di Johor menjadi milik tauke Singapura, siapa yang bijak sangat tu ? Pulau Pinang bagaimana pula ? Apa tindakan UMNO untuk membaiki keadaan ini ? Bezanya tanah kampung baru di Perak menjadi milik Cina yang bukan tauke, sedang tanah di P.Pinang, Johor, K.Lumpur, N.Sembilan, Genting dan banyak tempat lagi menjadi milik tauke besar yang mengenyangkan UMNO.

Kalau diamati titah ucapan Raja Nazrin, jelas baginda membandingkan suasana ketika itu (ketika Rancangan Briggs dilancarkan) dengan nasib orang Melayu ketika itu yang tidak diberi langsung kemudahan seistimewa penghuni kampung baru. Rancangan Felda belum ada ketika itu. Tiada pendudukan terancang khas untuk orang Melayu yang lengkap dengan elektrik, air, sekolah, kesihatan seperti yang dinikmati di kampung baru tersebut.

Iktibarnya, agihan kemudahan dan kekayaan perlulah seimbang. Memang PAS perlu belajar daripada situ tetapi UMNO juga perlu sedar diri tu siapa. UMNO perlu sedar merekalah selama ini yang tamakkan kuasa dan wang hingga sanggup menggadaikan tanah Melayu kepada kaum lain.

Sunday, January 18, 2009

Isu pembangunan dalam pilihanraya kecil

Pada saya, isu pembangunan bukanlah isu yang menjadi tarikan utama kepada pengundi dalam PRK (pilihanraya kecil). Apa yang lebih penting lagi ialah kemampuan calon untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Pembangunan dibawa oleh sebuah kerajaan, bukan seorang wakil rakyat. Sama ada wakil rakyat berada dalam kerajaan atau tidak, bukan bermakna pembangunan tidak akan dibuat di situ.

Sejarah telah membuktikan kawasan yang diwakili pembangkang pun turut terlibat dalam program pembangunan kerana wakil rakyat bukan faktor utama dalam kerajaan memutuskan untuk sesuatu projek.

Menyelesaikan masalah penduduk juga termasuk dalam maksud pembangunan. Jika masalah penduduk terbengkalai tanpa tindakan hingga bertahun-tahun, baru boleh dikatakan tiada pembangunan.

Rakyat mahu pemimpin yang mudah didekati. Setidak-tidaknya ada wakilnya. Dan wakilnya pula bukan jenis yang ambil kesempatan, minta duit kopi misalnya.

Rakyat juga mahu melihat tindakan susulan kepada aduan yang dibuat, bukan sekadar tempat mengadu dan kemudian senyap begitu sahaja. Tak kiralah daripada parti mana. Walau penyokong hardcore parti sekalipun, kalau aduan tak diendah bertahun-tahun, pasti kecewa dan memberontak juga akhirnya.

Tahniah daripada saya untuk Abdul Wahid Endut, PAS dan semua jentera PR. Selepas 5 penggal jadi ADUN, Wahid wajar diberi gelaran Datuk kerana sudah banyak jasanya kepada rakyat. Kalau dalam UMNO, belum jadi ADUN pun dah dapat anugerah Datuk. Paling koman pun dapat anugerah Datuk sebelum masuk penggal ke 2.

Sebuah portal pro UMNO menyiarkan gambar rumah banglo Wahid Endut di sini. Nak tergelak saya. 5 penggal jadi ADUN, banglo Wahid bolehlah disifatkan sebagai biasa saja. Tidak seperti istana Adun-adun UMNO. Rumah macam rumah Wahid banyak di Terengganu. Rumah bapa saudara saya, ahli JKKK Umno pun lagi hebat daripada itu. Orang Terengganu ramai yang buat rumah tanpa pinjaman bank pun. Sedikit demi sedikit dibuatnya. Lama-lama jadi banglo besar jugak.

Orang Kuala Terengganu memang hebat kerana bijak menggunakan kuasa undi di tangan. Mat Said kena kerja keras nampak gayanya.

Thursday, January 15, 2009

PRK K.Terengganu (6)

Salam.

Post ini sepatutnya diterbitkan semalam tapi tak sempat sebab sibuk.

Dalam posting sebelum ini, saya sebut gerak kerja Muslimat dan Wanita PR yang lemah. Hari ini, Pak MSK menceritakan sedikit sebanyak di PerakExpress.com.

Di Terengganu, kerja-kerja parti (PAS) selalu dibuat oleh orang lelaki. Kelemahan ketara di pihak muslimat mungkin menjadi faktor Terengganu sukar di tawan PAS. Undi perempuan gagal didekati. Setakat ini, belum ada muslimat di Terengganu yang boleh menandingi Dr. Lo Lo, Dr. Halimah Ali, Dr. Siti Mariah, YB Zuraida, YB Fuziah Salleh dll. Muslimat PAS Terengganu perlu banyak belajar dan berkursus "seni" mendekati pengundi, bagaimana untuk memasyarakatkan Muslimat PAS. Jangan takut digelar Erdogan dan sebagainya. Guru-guru Kemas yang dilabel "Mak Cik" tu rasanya lebih hebat dan meluas gerak kerjanya ke segenap kampung berbanding muslimat PAS.

Jangan marah...

.................................................

Dalam posting sebelum ini juga saya sebut, undi penentu bukan pengundi Cina tetapi pengundi Melayu. Hari ini laporan analisis menyebut, pengundi Cina cenderung kepada PR manakala pengundi Melayu masih belum jelas. Inilah yang saya maksudkan. Sebahagian pengundi Melayu boleh pada saat akhir beralih sokongan.

Namun kajiselidik itu juga mendapati isu mengenai ancaman terhadap kuasa politik Melayu tidak begitu mendapat perhatian di kawasan majoriti Melayu ini. Saya sebenarnya sedikit bimbang isu ini digunakan untuk mempengaruhi undi Melayu. Mustaffa Ali juga telah mendedahkan bagaimana surat layang "Buletin Anak Jawa Selangor" disebarkan dengan isi kandungan yang menggunakan isu perkauman ini.

.................................................

Laporan lain menyebut, suasana kempen di KT tidak semeriah PRK lain sebelum ini. Mungkin orang KT dah muak dengan ceramah politik. Budaya ceramah dengan kehadiran berpusu-pusu sudah bermula sejak tahun awal 80an lagi. Sejak nama Haji Hadi naik. Sekarang dah tahun 2009. Dah dekat 30 tahun. Walaupun generasi yang hadir sudah bertukar, isu juga bertukar, tetapi untuk tahun 2009 dan 2008, tak banyak isu baru. Sesetengah ceramah boleh diikuti melalui internet sahaja.

Kehadiran lebih 2000 - 5000 orang dalam ceramah PR adalah biasa dan tidak dianggap meriah lagi. Ia hanya meniup semangat penyokong sahaja. Dari segi kesan, mendekati dari rumah ke rumah, kedai ke kedai adalah lebih berkesan. Ini memerlukan petugas memiliki skill komunikasi yang sopan dan baik, senyuman menawan seperti yang dilakukan oleh Wan Farid. Kalau jenis maki hamun atau jenis Raja lawak, perli tak kira tempat dan orang, sendiri buat lawak, sendiri gelak, payah sikit la.

Sebaran risalah-risalah ringkas juga amat berguna. Komen-komen di internet memang menyebelahi PR. Tetapi berapa kerat orang KT mendapat maklumat ini ? Sumber rujukan suri-suri rumah dan orang kampung yang tak masuk pejabat masih pada akhbar Utusan, Berita Harian dan TV3. Yang ini perlu diberi perhatian oleh PR.

.................................................

Ada tanda-tanda kerisauan di pihak PR bahawa kemenangan belum terjamin. Itu sebenarnya lebih baik daripada terlalu yakin. Saya risau melihat reaksi sesetengah penyokong yang terlalu yakin, terutama di kalangan petugas PAS. Penyokong PAS perlu bersikap terbuka menerima teguran, kritikan dan tunjuk ajar daripada rakan dalam Pakatan walaupun dalam sesetengah hal, PAS lebih baik daripada mereka. Petugas tempatan juga perlu lebih agresif, pantas dan tidak suka bertangguh. Bukan agresif mem"provoke" pihak lawan.

Lagi satu, jangan terlalu bangga dengan gerak kerja yang terancang dan tersusun serta bilangan petugas yang ramai di setiap UPU berbanding rakan dalam Pakatan. Ini saya pernah dengar di Selangor. Di manapun kita berada, jangan berat tulang memberi kerjasama kepada rakan Pakatan, dan jangan bodoh sombong untuk tidak menerima sokongan tenaga dan idea daripada mereka.

Wallahua'lam.

Monday, January 12, 2009

PRK K.Terengganu (5)

Salam.

Royalti : Siapa yang mula mempolitikkannya ?

"Kita nak buktikan kepada rakyat Terengganu bahawa kita belanja wang ihsan sepenuhnya untuk pembangunan rakyat dan negeri Terengganu." - Abdullah Ahmad Badawi, Timb. Perdana Menteri; 27 Okt 2000

"Kerajaan sentiasa memastikan wang ihsan daripada royalti minyak Terengganu yang kini dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) digunakan secara berhemat untuk manfaat rakyat negeri berkenaan." - Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri; 31 Ogos 2006

"Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain. RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain. Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion." - Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu; 14 Dis 2008

Tidakkah ini bermakna kerajaan persekutuan sudah menyalahgunakan wang royalti sebanyak RM1.5 bilion untuk kegunaan bukan di negeri Terengganu? Baiklah, wang itu akan dikembalikan semula, dan rakyat Terengganu tidaklah terlalu kejam untuk membiarkan rakyat negeri lain "susah" sedangkan rakyat Terengganu "kaya-raya" atau negeri Terengganu "pesat membangun", namun tidakkah rakyat Terengganu berhak untuk mengetahui di manakah wang RM1.5 bilion itu dibelanjakan ? Siapapun yang menang di KT, saya amat berharap supaya persoalan ini dijawab.

.................................................

Pengundi Cina jadi penentu ?

Saya melihat sebaliknya. Memang setiap undi adalah penentu. Bukan undi Cina, tetapi lebih penting lagi ialah undi Melayu kerana bilangannya lebih besar. Kalau 2 % sahaja orang Melayu menukar sokongan daripada PRU12 lalu, keputusan sudah banyak berubah. BN cuba tonjolkan seolah-olah ramai Melayu di Perak dan Selangor semakin tidak puas hati dengan kerajaan PR melalui NGO seperti PEWARIS. Ibrahim Ali turut membantu mengapi-apikan semangat Melayu. Sebagai tindak balas, PAS banyak melaporkan semakin ramai pengundi Melayu di Selangor menyertai parti itu.

DAP nampaknya begitu bersungguh-sungguh membantu pada kali ini. Saya rasa ini kali pertama DAP berusaha sehebat ini membantu kempen PAS apatah lagi di Terengganu. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang sihat dalam iklim politik Malaysia. Sejauh mana ia memberi kesan baik dan buruk kepada PAS, DAP dan BN, kita kena sama-sama tunggu. Sejauh mana pula PAS mampu membantu calon DAP jika mereka bertanding dalam PRK ? Adakah Karpal Singh sudi menerima sokongan terbuka PAS ?

Saya menjangka trend pengundian keseluruhan tidak banyak berubah berbanding PRU lepas. Walaupun begitu, oleh kerana majoriti yang diperolehi adalah kecil, sedikit perubahan pun pasti akan memberi kesan yang besar kepada keputusannya nanti. Saya masih melihat peluang kedua-dua parti yang bertanding 50:50. Calon bebas juga mungkin akan mendapat undi lebih kurang macam Tok Mun dulu atau mungkin lebih baik lagi.

.................................................

Calon BN sombong ?

Ramai yang turut beri komen. Yang mengaku kenal kata dia sombong. Yang mengaku tak kenal kata dia tak sombong. Saya (yang tak kenal dia) rasa dia tak sombong. Cuma dia nampak macam sombong. Dia ada masalah dalam mendekati golongan tertentu. Dia kurang pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan golongan petani, peniaga kecil, golongan berpendapatan rendah, orang kampung dan sebagainya. Ada orang memang jenis tak ada skill dalam bergaul dengan segenap lapisan masyarakat. Saya sendiri pun kurang skill ni. Setakat senyum je boleh la. Nak bersembang tu tak pandai nak cari topik sesuai.

.................................................

Tempang di sana-sini

Dalam PRK Kuala Brang, Mat Taib berkampung di Kuala Brang. Tinggal di sana selama 2 minggu. Tiap-tiap hari turun bertemu rakyat. Mungkin sebab dia Menteri Luar Bandar. Tetapi di KT tidak. Adakah kerana KT bukan luar bandar ?

Dalam PRK Kuala Brang dan Pengkalan Pasir, KJ ditugaskan mengetuai jentera pemuda. Dalam PRK P036, tak tahu siapa ketuai jentera pemuda. Mungkinkah untuk elak perang pertandingan pemuda UMNO 2009 ?

Rafidah Aziz hari tu beriya-iya mendakwa akan mengetuai jentera Wanita UMNO dalam PRK KT. Tiba-tiba sunyi sepi, hilang entah ke mana. Hari penamaan calon pun tak nampak muka. Sakit lutut berulang lagi ke ? Atau wanita UMNO ada masalah ?

Kumpulan Erdogan dalam PAS dikatakan tidak bersungguh-sungguh membantu calon PAS. Syed Azman, Husam Musa dan ramai lagi tokoh PAS yang dilabel sebagai kumpulan Erdogan kurang turut serta. Betul ke ?

Kempen Wanita, Puteri, Muslimat dan Nisa' sangat penting. Tetapi seperti biasa, kempen mereka senyap-senyap. Kurang promosi baik di media internet mahupun media cetak dan TV. Pengundi wanita amat penting untuk didekati. Saya tak pasti sejauh mana Muslimat PAS dan rakan dalam PR berkerjasama.

Wallahua'lam.

Sunday, January 11, 2009

Royalti : Tian Chua mahu 20 peratus untuk Terengganu

Salam.

Tian Chua, ahli parlimen Batu yang juga Ketua Penerangan PKR mahu kerajaan pusat membayar 20 peratus daripada hasil petrolium sebagai bayaran royalti kepada negeri Terengganu.

Seingat saya, dalam pilihanraya tahun 1982, PAS pernah berjanji untuk menuntut 10 peratus royalti untuk negeri Terengganu berbanding 5 peratus yang diperuntukkan. PAS kalah dalam pilihanraya pada tahun tersebut. Hakikatnya, bila PAS menang di Terengganu dalam PRU tahun 1999, royalti bukan bertambah daripada 5 kepada 10 peratus, tetapi menjadi 0 peratus.

Moral ceritanya, tak usah lah berjanji dengan janji yang keterlaluan. Saya khuatir kalau PR menang di persekutuan dalam PRU 13 akan datangpun, berbagai-bagai alasan akan digunakan untuk tidak memberi royalti terlalu banyak kepada negeri-negeri. Nak dapat 5 peratus tu pun bukan mudah. Kalau pemimpin negeri pada masa itu tak buat apa-apa, memang tak dapat lah jawabnya.

Janji PRU lepas di Selangor dan Kedah pun banyak lagi yang belum tertunai. Memang berbagai-bagai alasan diberikan, tetapi janji itu tetap telah tertulis di poster-poster dan manifesto-manifesto masing-masing. Jangan melenting bila lawan ambil kesempatan menggunakannya sebagai senjata. Ukur baju di badan sendiri. Sendiri cari pasal, sendiri tanggung lah. Alhamdulillah, sebahagiannya sudah dimulakan. Namun yang belum lagi tu kena tunaikan juga nanti.

Wallahua'lam.

Friday, January 09, 2009

Palestin dan Pilihanraya

Salam.

1. Isu Palestin

Bila hati saya rasa tersentuh, saya mudah menangis. Apatah lagi jika ayah, ibu atau abang-abang saya menangis, saya jadi lebih mudah menangis.

Anehnya, bila dalam solat atau ketika berdoa, saya sukar unutk menangis. Kecuali bila nasib malang atau kesusahan menimpa betul-betul atas bahu saya, baru saya boleh menangis dalam solat atau ketika munajat. Di zaman sekolah, kawan-kawan turut menangis bila Ustaz teresak-esak menangis ketika berdoa, dan saya hanya cuba untuk menangis dengan muka insaf dan sedih, tetapi air mata tak juga keluar.

Dalam solat Jumaat hari ini, ketika doa qunut dibaca imam, entah kenapa, mudah pula air mata saya keluar walaupun tak sampai menitis, tetapi setidak-tidaknya bergenang juga di kelopak mata. Apatah lagi bila imam turut sebak, bertambah-tambahlah sedih, sayu dan pilu di hati. Apakah tindakan lain yang lebih berkesan yang boleh kita buat ?

Kata ustaz saya, orang Yahudi, kalau ada penjual surat khabar bukan Yahudi disebelahnya dan penjual surat khabar Yahudi di seberang jalan, dia akan melintas jalan walaupun terpaksa memanjat jejantas untuk beli surat khabar. Kita beli barang dapur di kedai orang Islam atau di pasar raya / hypermarket yang tauke besarnya orang negara yang pro Yahudi ? Mungkin kita akan jawab, "aahhh, kedai runcit Islam tu pun beli kat pemborong atau hypermarket tu juga." Kita memang suka berdolak-dalih.

.......................................

2. PRK K.Terengganu

Nak tergelak saya dengar temuramah wartawan TV3 dengan Ketua Wanita Terengganu. Rasanya, kalau ketua puteri UMNO pun boleh bagi jawapan kemas sikit lagi berbanding Ketua Wanita tu. Ibrahim Baba turut mengulas.

Setakat hari ini, saya agak lemas melihat kedua-dua pihak berkempen. UMNO dengan kelemahannya, PAS pun sama juga. Kalau PAS boleh berhujjah dengan bernas, bagus juga, tapi setakat ni, masih nampak lemah dan tak bertenaga langsung. Wahid kata kita ada banyak isu, tapi isunya hanya ulangan yang lepas-lepas, yang sudah diketahui rakyat. Mustaffa Ali pula gagal menunjukkan bukti atau saksi dengan dakwaannya tentang orang minta kad pengenalan. Balik kepada isu yang sudah digunakan dalam PRU12 lepas dengan harapan kali ini ia boleh memberi kesan. Guna isu sama pun tak apa tetapi kupas dan ulaslah dengan baik. Saya tak ikuti kempen mereka tetapi diharap mereka boleh sebarkan maklumat dengan berkesan, bukan melalui ceramah sahaja tetapi melalui edaran teks dan ziarah rumah ke rumah.

UMNO pula nampak serba gelisah juga. Blog yang pada mulanya nampak bersemangat, tiba-tiba mapuh kerah. Pak Lah dan Najib tak habis-habis nasihatkan ahli UMNO jangan berkempen untuk jawatan dalam parti, tetapi kempen untuk BN K.Terengganu. Tapi kalau kita baca blog-blog pro-UMNO, kempen lebih kepada promosi calon pilihan mereka. Pak Lah juga pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN.

Tak kan nak undi Tok Bomoh yang dapat ilham bertanding melalui mimpi tu.

.....................................

Bila tengok anak kita seronok dapat pergi sekolah, tersenyum riang dan nampak begitu teruja sekali. Kemudian kita tengok gambar anak Palestin yang hanya nampak kepala di surat khabar dengan darah bercampur debu tanah. Betapa beruntung dan bertuahnya kita. Mungkin OIC patut adakan pasukan tentera pengaman bersama yang berpangkalan di bumi Palestin.

Kita perlu lebih tegas dan istiqamah memboikot produk-produk yang boleh dan mampu kita boikot. Ayuh dan jangan bertangguh lagi.

Wallahua'lam.

Wednesday, January 07, 2009

Ringkas yang tak ringkas

Salam.

Ditulis oleh Te@m IT
TUESDAY, 06 JANUARY 2009 13:19

Calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu Azharuddin Adam, adalah seorang ahli perniagaan dan merupakan anak kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu Tan sri Wan Mokhtar Ahmad.

Sebelum menjadi setiausaha politik kepada wan Mokhtar, Ayah beliau, Adam Taib merupakan pengarah pelajaran negeri Terengganu.Kemudian beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Wan Mokhtar selepas bersara wajib dari Jabatan Pelajaran Terengganu.
Adam Taib menjadi SUP MB sehingga tahun 1999 dan kemudian kerajaan Terengganu bertukar tangan kepada PAS.

Pada tahun 2004 selepas BN dapat menawan semula Terengganu dengan cara yang sangat jijik, Ayah kepada Azharuddin ini dilantik pula sebagai pengarah U-Best di zaman Idris Jusoh.

U-Best adalah sebuah agensi kerajaan negeri yang dibentuk menggantikan unit Pembangunan Insan dizaman Kerajaan PAS.U-Best dilihat bekerja untuk kepentingan Umno.

Azaharuddin merupakan ahli perniagaan yang dikatakan sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang ada pada hari ini kerana beliau seringkali dipinggiran sejak akhir-akhir ini.

........................................

Hari Jumaat, 2hb Januari di Masjid Ampang.

Seorang Pakcik kedengaran bersembang dengan rakan sebelahnya ketika iktikaf menunggu waktu solat Jumaat. Saya duduk dibelakangnya. Katanya, "Hj Hadi kata , politik punya pasal, mengumpat boleh. Ada ka ???". "Mana boleh ? Sebab politik boleh mengumpat." Rakan sebelahnya hanya tersenyum tanpa menjawab. Kalau pakcik tu cakap dengan saya, mahu je saya jawab, "Yang pakcik ni mengumpat Hj Hadi dalam masjid di hari Jumaat, ketika iktikaf, tak pa pulak."

Pakcik tu agaknya teruja dengan PRK KT. Sampai dengan orang Ampang, Selangor pun dia berkempen. Kalau nak berkempen, pergi lah ke KT, bukan kempen dalam masjid kat Selangor.

.......................................

Ada bloger mengangkat DS Idris Jusoh sebagai bapa pembangunan Terengganu. Walau hanya sepenggal jadi MB, macam-macam dia buat. TS Wan Mokhtar jadi MB 25 tahun, apa dia buat ? Kesian ... Buta sejarah betul.

DS Idris telah dipermudahkan urusannya oleh kerajaan pusat, selepas BN kalah teruk dalam PRU 10 di Terengganu. Ia bertujuan menunjukkan betapa betul dan bijaknya keputusan rakyat Terengganu dalam PRU 11, selain supaya rakyat Kelantan cemburu. Idris juga bijak mempromosikan setiap projek di Terengganu. Beliau dilihat mempunyai banyak idea baru. Banyak pembangunan di zaman Idris sebenarnya sudah direncanakan sejak zaman Wan Mokhtar lagi, cuma gagal disudahkan kerana pelbagai halangan tertentu.

Apa yang telah dilakukan oleh Wan Mokhtar adalah sesuai untuk keadaan pada masa itu. Jangan dilupakan Tasik Kenyir, Perkaya, Menara Permint, Bangunan SUK, Hotel Primula, Pelabuhan Kemaman, Royalti Petrolium, Wisma Maidam, Pasar Payang yang tersusun, Kusza, Jambatan (walaupun bertol), Terengganu sebagai destinasi pelancongan, Masjid Terapung, Yayasan Islam, jalan berturap diseluruh pelusuk kampung, Kemaman Supply Base, Rantau Petronas, Stesen elektrik Paka, beberapa bandar baru dan banyak lagi. Bukan nak berkempen membela beliau, tapi usahlah sampai menafikan jasanya yang 25 tahun itu. Sudahlah tak bejawatan lagi, pembangkang pun dok mengata, bekas penyokong pun dah tutup sebelah mata. Takkan nak tunggu Allah jemput dia baru nak dipuji semula.

Wallahua'lam.

Friday, January 02, 2009

PRK K.Terengganu (5)

Salam.

Selepas nama Adun Wakaf Mempelam diumumkan sebagai calon PAS di PRK Parlimen KT, reaksi berbelah bagi dapat dilihat dengan jelas di portal TranungKite, sebuah portal yang pro PAS (memang pengasasnya orang PAS Dungun).

Saya sendiripun pada mulanya rasa bercampur-campur antara terkejut, sokong, suka, resah dan macam-macam. Belum apa-apa, ada yang kata BN pasti menang. Macam lah Wan Farid tu bagus sangat.

Ada yang kata susah PAS nak menang. Dah tahu susah, kenalah kerja keras. Takkan sebab susah, nak give up. Putus asa. Patah semangat. Macam tu ke pejuang Islam ? Mengaku kalah sebelum berjuang ?

Wahid, anak kelahiran Pulau Rusa, kampung kelahiran saya juga. Kampung Pulau Rusa, pada tahun-tahun 70an lebih condong kepada BN. Kalau tak silap, masa tu, Pulau Rusa diletak dalam DUN Manir, yang ADUNnya Cikgu Wel (Ismail). Selepas tahun 80an, ia dipindah ke DUN Wakaf Mempelam. Ketika itu nama seperti Hj Hadi dan Harun Taib muncul, dan penduduk mula condong kepada PAS. Selepas krisis UMNO 1987, kekuatan PAS semakin teguh sehingga kini. Saya masih ingat muka-muka orang yang dulunya penyokong kuat BN tetapi kini dah jadi penyokong PAS.

Wahid mula jadi ADUN PAS di situ sejak 1990. Sebelum itu, Mustaffa Ali jadi ADUN Wakaf Mempelam. Jadi tak hairanlah Mastafa Ali dikatakan sebagai sifu beliau. Saya setuju, Wahid diketengahkan ke Parlimen pula. Dah lama sangat dia jadi ADUN di situ. Dia dah pernah jadi exco pun. Syed Azman boleh fokus di DUN. Mungkin Syed Azman boleh jadi exco satu hari nanti, atau MB. InsyaAllah.

Stail ceramah Wahid, pada saya macam stail ceramah Mustaffa Ali. Kadang-kadang saya tak berapa suka. Tapi bukan saya tak sokong beliau. Sokong sangat-sangat. Dalam hal berceramah ni, memang setiap orang ada stail masing-masing, dan ada peminat masing-masing. Yang kita tak suka, ada orang lain suka. Yang kita suka, ada orang tak suka.

Pernah ditahun 90an, saya balik kampung, jalan berlubang sana sini. Mahu je saya hentam ADUN PAS tu. Tapi masa tu tak ada blog. Saya cakap-cakap belakang je dengan kawan-kawan. Tak sampai setahun, jalan kembali diturap cantik. Alhamdulillah, pemimpin cakna. Ketika PAS jadi kerajaan di Terengganu, saya pernah kondem pasal sesuatu melalui emel kepada Harakahdaily dan kepada emel YB. Emel saya kepada YB kena tendang. Harakahdaily langsung tak ada respon. Dalam harakah cetak pun tak ada. Tak apalah. Tegur, tetap tegur. Sokong tetap sokong. Yang kita sokong ialah dasarnya, Yang kita tegur adalah kelemahan dan lepas pandangnya.

Saya yakin PAS akan menang dalam PRK kali ini. Itulah doa saya. Orang luar KT ada yang kurang minat dengan calon PAS itu, kerana faktor pengaruh Mustaffa Ali. Bagi saya, beri peluang Wahid Endut pamirkan kebolehan beliau.

Kumpulan Endogan, saya tak tahu siapa yang cipta istilah itu. Apa yang saya nampak, orang membuat tafsiran melulu tentang kumpulan yang agak moderate ini. Memang mereka mempunyai pemikiran yang lain daripada biasa, tetapi saya tak nampak mereka terlalu pro Anwar. Hadir dalam program Anwar bukan semestinya sebab mereka terlalu kagum dengan Anwar. Saya yakin, PAS merancang siapa yang sesuai untuk dihantar mewakili parti ke sesuatu majlis. PAS adalah sebuah parti yang semakin matang hari ini. Perbezaan pendapat diterima secara terbuka dan lapang dada, tanpa rasa buruk sangka atau curiga sesama sendiri seperti dalam UMNO.

Selamat berjuang kepada PAS dan Selamat berjaya.

Wallahua'lam

Wednesday, December 31, 2008

Baca kisah-kisah lama

Salam.

Semalam saya sempat baca buku Memoir Shamsiah Fakeh. Buku baru tapi mengkisahkan hal-hal lama. Saya belum habis baca buku tu. Saya rasa kasihan dan terkenang-kenang bagaimana susahnya orang dulu-dulu. Bukan saya menyokong perjuangan PKM. Cuma selepas habis beberapa bab permulaan buku tersebut, saya teringat foto-foto lama saudara-mara saya dulu-dulu. Pakaian mereka, suasana kampungnya, rumahnya, memang daif. Foto-foto tersebut sebahagiannya disimpan oleh abang saya di Chendering dan sebahagian lagi disimpan oleh bapa saudara saya, (Ayah Teh) di Kampung Kepong, KT.

Shamsiah tu kira beruntung juga. Sebab dia berpeluang ke sekolah pada tahun-tahun 40an. Ayah saya pun sempat bersekolah sebab masa itu, dia tinggal di Kampung Tanjung, KT. Kira dalam kawasan bandar lah tu. Ayah saya sempat belajar sampai darjah 6 sahaja, kerana masalah kemiskinan. Mengikut kata ayah, masa tu kelas sampai darjah 9. Lebih kurang PMR la gamaknya. Tapi masa tu, bukan semua orang mula bersekolah seawal usia 7 tahun. Hanya yang tinggal tak jauh dari sekolah sahaja yang mampu ke sekolah. Yang perempuan, tentulah lebih payah.

Zaman Jepun, mak saya pernah ceritakan, Tok bawa Mak ke dalam hutan, sembunyi daripada Jepun. Ayah saya sempat belajar bahasa dan lagu Jepun. Tapi alhamdulillah, tiada apa yang buruk berlaku kepada tok nenek saya pada masa tu.

Mak tak sekolah. Hanya selepas kerajaan wujudkan kelas dewasa untuk basmi buta huruf, mak boleh membaca rumi. Tulisan jawi memang mak boleh baca sejak kanak-kanak. Orang dulu-dulu, walaupun tak ada sekolah rasmi, tapi mereka belajar agama juga. Saya sempat ikut mak ke kelas dewasa. Ramai juga yang hadir ke kelas dewasa tu. Kira bersemangat juga lah orang melayu kita. Dah tua-tua pun masih ke sekolah lagi.

Tentang Shamsiah Fakeh, nanti kalau rajin, saya cerita lain kali. Tapi saya percaya dia betul. Apa yang dia lakukan pada masa itu sesuai dengan keperluan masa itu. Selepas merdeka, keadaan memaksa dia terus bersama PKM.

Wallahua'lam.

Friday, December 26, 2008

PRK K.Terengganu (4)

Salam.

Bila YB Ibrahim Ali meramalkan, BN akan menang dalam PRK P36 Kuala Terengganu, ramai juga penyokong PAS yang marah-marah dan mencabar MP Bebas itu supaya letak jawatan.

Saya berpendapat, PAS sepatutnya memandang positif dengan ramalan tersebut. Ibrahim Ali memang bukan seorang tok bomoh atau ahli nujum. Kalau dia boleh buat ramalan dengan bagus, masakan dia pernah kalah teruk dalam satu pilihanraya kecil di Kelantan suatu ketika dahulu. Masa itu, dia yakin dia boleh menang atau sekurang-kurangnya dapat jumlah undi yang memuaskan. Kalau dia tahu akan kalah teruk begitu, dah tentu awal-awal lagi dia sudah buat baik dengan PAS. Hanya selepas itu, barulah dia mula buat baik dengan PAS, selepas dia sedar, kailnya panjang sejengkal.

Ramalan Ibrahim Ali itu patut dianggap sebagai satu cabaran kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau ramalan itu menjadi kenyataan, pasti Ibrahim Ali akan berkata, "Ambo doh royak doh ari tu, demo tok sir ccayo."

Saya bimbang petugas dan penyokong PAS terlalu yakin akan menang dalam PRK kali ini, melihat kepada perkembangan semasa. Sikap sebegini selalunya membawa padah. Setidak-tidaknya, Ibrahim Ali cuba mengingatkan PAS supaya tidak terlalu yakin, tidak memandang mudah cabaran kali ini.

Manakala YB Ibrahim Ali pula perlu turun membantu PAS berkempen kerana yang bertanding adalah PAS, bukan PKR atau DAP. Ibrahim perlu membuktikan kepada PAS bahawa Ibrahim tidaklah terlalu bermusuh dengan PAS. Inilah masanya untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada PAS yang memberinya peluang berbahas di parlimen untuk penggal kali ini. Walaupun saya percaya, bukan semua orang KT berkenan sangat dengan stail Ibrahim Ali, tetapi jangan diperkecilkan kemampuan beliau.

Jadi kepada YB Ibrahim Ali. Bantulah PAS di KT. Sekurang-kurangnya, turunlah bersama-sama pemimpin PAS pada hari penamaan calon nanti sebagai tanda sokongan.

Wallahua'lam.

Thursday, December 25, 2008

JHEAT latih ramai imam muda

Salam,

Rasulullah bersabda, "Pilihlah imam di kalangan kamu daripada yang terbaik bacaannya."

Kadang-kadang, saya rasa agak terkilan bila solat berjamaah di masjid-masjid atau surau yang imamnya kurang baik bacaannya. Imam-imam yang sudah tua dulunya mempunyai mutu bacaan yang sangat baik pula sudah berubah. Mungkin kerana tua, mungkin kerana masalah gusi atau giginya, mungkin kerana pernah kena strok atau penyakit lain yang menyebabkan sebutannya sudah kurang jelas dan tidak cantik lagi.

Imam-imam yang bacaannya sudah kurang baik, eloklah berundur secara terhormat. Menunggu kerajaan atau pihak berkuasa menggugurkan akan menimbulkan mainan politik yang tidak jujur sedangkan kita mahu solat kita dan jemaah yang dipimpin sempurna.

Bacaan imam-imam muda selalunya lebih baik, terutama yang berkelulusan agama. Seronoknya bila solat berimamkan imam muda yang lantang dan jelas sebutannya, baik tajwidnya, lancar bacaannya.

Di Selangor, imam-imam muda memang semakin ramai tetapi ramai juga imam-imam tua yang mula jauh hati. Maklumlah, elaun imam mungkin terjejas. Saya rasa, elok negeri-negeri lain selain Terengganu juga segerakan melatih dan melantik imam-imam muda. Sebab masalah imam yang kurang sempurna bacaan dan sebutannya ada di mana-mana. Imam-imam tua eloklah diberi ganjaran seumpama pencen supaya mereka tidak terlalu jauh hati manakala imam muda janganlah terlalu sombong atau memandang rendah dengan imam tua. Hormatilah mereka kerana mereka lebih tua, lebih banyak amal beranding kita yang muda sebagaimana saranan Imam Al Ghazali.

Wallahua'lam.

Wednesday, December 24, 2008

PRK K.Terengganu (3)

Bakal calon BN sudah diumumkan. Bakal calon AKIM juga sudah diumumkan. Bakal calon Bebas juga sudah ada bayangan. Bakal calon PAS sahaja yang masih menjadi debaran.

Sejauh manakah pengundi Kuala Terengganu akan "melayan" calon-calon pengacau dalam PRK kali ini. Semua orang tahu, calon-calon pengacau tak perlu kredibel, wibawa, ketokohan. Parti yang diwakili pun tak ada wibawa. Perjuangan mereka pun kabur. Haluan mereka ikut suka dia saja. Ikut trend semasa saja. Tengok calon AKIM di TV3 malam tadi. Cakap pun tak ada karisma. Baru letak jawatan dalam PKR. Nampak sangat tak berpegang kepada asas perjuangan yang kukuh.

Apakah pengundi KT masih mahu suka-suka memilih calon sebegini. Apakah pengundi KT mahu dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mengenengahkan calon yang berwibawa ke Parlimen ? Undi untuk suka-suka saja. Lantak dia orang lah. Siapa menang, siapa kalah pun, bukan ada kesan perubahan serta merta pun. Lepas tu gelak-gelak, sengih-sengih.

Memang ada pengundi macam ni di KT. Saya orang KT dan sesekali balik kampung, masih terlihat sikap ambil mudah sebegini. Harap generasi berpelajaran bangkit membantu mencorakkan masyarakat KT menjadi masyarakat yang disegani. Generasi berilmu semakin bercambah dengan pesat di Terengganu kebelakangan ini. Generasi Ulul Albab, kata Datuk Seri Idris Jusoh.

Calon BN, Datuk Wan Farid, agak popular di kalangan orang UMNO (dan mungkin BN), tetapi saya kira tidak begitu popular dikalangan pengundi atas pagar, apa tah lagi PAS. Tetapi khabarnya, ada juga orang UMNO sendiri yang cakap-cakap belakang pasal Wan Farid. Mungkin ia akan menjadi satu advantage kepada PAS. Tetapi ia bukan jaminan.

Calon PAS, sama ada Dr. Syed Azman, atau Dr. Khazani, atau Mat Sabu, atau Mustaffa Ali. Dua nama terakhir tu sebenarnya kurang popular di KT. Bukan masalah kewibawaan. Bukan masalah kredibiliti. Tapi itulah sentimennya sekarang. Jangan beri peluang lawan rebut peluang atas kelemahan yang sudah dimaklumi. Walaupun Nik Aziz lebih suka dengan Mat Sabu, tapi janganlah kita melihat ia sebagai satu perintah seorang ulama. Nik Aziz tak kecil hati pun kalau Mat Sabu tak terpilih. Nik Aziz pun tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan yang masih berbekas ialah menyerahkan kerusi parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim Ali.

Saya kurang arif, apa masalah dengan Dr. Syed Azman kerana saya tidak menetap di Terengganu. Mungkin orang KT lebih maklum sebab dia pernah jadi MP Kuala Terengganu. Dr. Khazani belum teruji. Latar belakang akademik beliau nampak meyakinkan tetapi politik adalah satu perkara yang berbeza. Ia berkait dengan strategi, pendekatan. Orang politik tak tahu malu. Kalau tersilap langkah atau kata, itu biasa bagi orang politik. Buat selamba je macam Ibrahim Ali. Apa yang penting buat masa ini, calon PAS mestilah meyakinkan pengundi KT, rajin dekati pengundi.

Dalam soal isu pula, nampaknya PAS sudah terperangkap oleh Khairi Jamaludin. Budak ini memang bijak. Tak hairanlah Mukhriz pun takut nak berdepan dengan Khairi. Di parlimen pun, anda boleh lihat perbezaan ketara Khairi dengan Mukhriz. Sampai Husam Musa pun mengelabah diasak Khairi dihadapan ribuan penyokong sendiri. Sabar Husam. Dalam politik mana boleh malu. Ha..ha..ha..

DAP seperti biasa memberi respon yang seperti sudah-sudah. Walaupun dia tahu itu perangkap BN, tapi dia takut kehilangan sokongan di tempat-tempat yang dikuasainya. Jadi tindakan balas yang segera ala-ala melatah itu sememangnya dikira perlu. Tapi saya lebih suka dengan jawapan Khalid Samad seperti yang tersiar dalam Sinar Harian semalam.

Bagi saya, hudud hanya sebahagian daripada tanda berdaulatnya Islam di Malaysia. Sebagai orang Islam, lambat atau cepat, usaha ke arah itu perlu diteruskan. Sama ada melalui dakwah, tarbiyah, pendidikan, perbincangan, pilihanraya, pindaan perlembagaan, atau apa sahaja usaha ke arah itu perlu diteruskan. Baik kepada orang Islam, mahupun kepada yang bukan Islam, dakwah perlu diteruskan. Dan hudud boleh dilaksanakan bila sokongan sudah mencukupi. Usaha sekarang ialah untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Baru-baru ini ada khabar angin, PAS akan bekerjasama dengan UMNO. Kalau PAS mahu bekerjasama dengan UMNO, PAS perlu kenakan syarat, UMNO mesti sanggup sama-sama menyokong usaha ke arah melaksanakan hudud dan qisas di Malaysia. Syarat ini tak perlu diberi kepada PKR dan DAP sebab mereka bukan parti yang berteras kepada Melayu Islam. Tetapi UMNO berpaksi dengan sokongan orang Melayu yang Islam. Jadi UMNO wajar dikenakan syarat itu. Guana gamok ? Boleh ?

Tuesday, December 23, 2008

PPSMI - wajarkah diteruskan ?

Saya sangat bersetuju dengan tulisan Dr. Khir Toyo mengenai isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ) di blog beliau. Lihat di sini.

Semua pihak sedar betapa pentingnya menguasai Bahasa Inggeris. Generasi terdahulu yang mengambil peperiksaan LCE, MCE dan HSC (sebelum diganti dengan SRP, SPM dan STP) walaupun tidak berkelulusan tinggi tetapi lebih mahir dan yakin berbahasa Inggeris berbanding generasi selepasnya walaupun generasi selepas itu berkelulusan Sarjana Muda dari luar negara.

Namun itu bukanlah salah dasar pendidikan kebangsaan. Perkembangan ilmu selepas dasar pendidikan kebangsaan diperkemaskan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan bertujuan memupuk perpaduan melalui satu bahasa, selain mengembang pesatkan penguasaan ilmu kepada masyarakat Malaysia. Kesannya, generasi berilmu telah berkembang pesat termasuk dikalangan masyarakat Melayu selepas bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.

Saya rasa, matlamat itu telah tercapai. Perpaduan kaum agak sukar sedikit bukan kerana bahasa melayu tetapi kerana faktor politik perkauman yang selalu menjadi senjata penting untuk menarik sokongan. Yang paling ralat ialah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah terutama dalam masyarakat melayu di kampung-kampung. Saya dan isteri saya juga tidak terkecuali. Ramai rakan-rakan saya, termasuk ada yang berkelulusan luar negara tidak mahir atau tidak yakin bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Banyak pihak sama ada yang menyokong PPSMI mahupun yang menentang melihat PPSMI bermatlamat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Namun Dr. Khir menghuraikan objektif PPSMI kepada maksud yang lebih tepat dan lengkap. Menurut Dr.Khir, PPSMI bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Lihat para 1 - 3 dalam blognya untuk huraian yang lebih lengkap.

Yang menjadi isu ialah wajarkah dasar ini diteruskan ? Bagaimana dengan penguasaan Sains dan Matematik, adakah pelajar-pelajar ini semakin baik atau semakin kelam kabut ?

Dulu saya kurang gemar belajar bahasa Inggeris kerana selalunya guru bahasa Inggeris garang. Kakak dan abang saya sempat belajar dalam bahasa Inggeris di sekolah jenis kebangsaan Inggeris dan sekolah grammar kindergarten, mereka nampak seronok belajar dalam bahasa Inggeris, mahu menunjukkan kebolehan dan kepandaian mereka semasa kami masih kecil dahulu.

Saya rasa, kaedah belajar bahasa Inggeris itu yang perlu diperbaiki. Saya sangat menyokong pengajaran ilmu kesusasteraan dalam bahasa Inggeris, malah subjek sejarah juga yang mahu diperkenalkan semula di peringkat sekolah rendah, elok sekali diajar dalam bahasa Inggeris. Kalau tak silap saya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pernah mencadangkan subjek sejarah diajar dalam bahasa Inggeris sekitar tahun 2001 - 2003. Hari ini, dalam akhbar Sinar Harian, seorang penulis Prof. Rahman Shaari juga memberi pandangan yang sama malah mahu subjek sastera melayu diajar dalam bahasa Inggeris.

Pelajaran bahasa Inggeris perlu menjadi lebih menarik melalui aktiviti lakonan, drama, puisi, perbincangan, kajian, nyanyian, berbagai aktiviti kesenian, penulisan dan sebagainya. Tetapi jangan diganggu subjek Sains dan Matematik, kerana ia adalah berkait dengan kemahiran hidup. Tak faham matematik, nak jadi cashier kat supermarket pun tak layak.

Selain itu, PPSMI juga menjadikan bahasa melayu bukan lagi bahasa ilmu, bukan bahasa sains, bukan bahasa matematik. Penggunaan bahasa melayu yang meluas tidak menjadikan ia sebagai bahasa ilmu seperti bahasa jawa. Dulu, kecoh seketika bila ada seorang ahli politik mendakwa bahasa jawa bukan bahasa ilmu. Apa erti bahasa ilmu ? Walau berjuta orang menggunakannya untuk perbualan harian, itu disebut lingua franca. Tetapi bila bahasa itu banyak digunakan dalam kajian, penulisan, buku-buku ilmiah journal-journal, barulah layak dipanggil bahasa ilmu. Kini, pengkayaan istilah bahasa melayu menjadi terbantut kerana PPSMI. Perlukah istilah-istilah baru yang sentiasa berkembang dalam sains diterjemahkan atau dicari istilah melayunya ?

Akhirnya, cintailah bahasa kita. Daulatkanlah bahasa kita. Bersama-samalah kita jadikan bahasa ibunda kita sebagai bahasa ilmu. Kalau masyarakat negara lain seperti Thailand, Jepun, Korea dan China boleh maju dengan bahasa ibunda mereka, tulisan ibunda mereka, kenapa kita tidak. Cukuplah kita membonzaikan perkembangan tulisan jawi. Jangan bonzaikan bahasa Malaysia, menjadi kecil dan sekadar hiasan semata-mata.

Monday, December 15, 2008

PRK K.Terengganu (2)

Persoalan PRK Kuala Terengganu semakin suspen. Siapa calon BN, siapa calon PAS, siapa calon Bebas, siapa lagi pengacau yang akan turut serta ? Apakah pengundi masih mahu BN mewakili mereka di Parlimen ? Apakah pengundi KT masih menolak calon import ? Apakah pengundi KT masih rela merosakkan undi mereka dengan memilih seorang nenek glamour ? Apakah nenek itu akan turut bertanding ? Apakah dia akan menerima pertambahan undi atau undinya akan merosot teruk kali ini ?

Bernama melaporkan Wan Ahmad Farid yang disebut-sebut sebagai salah seorang bakal calon BN telah dilantik semula sebagai senator. Adakah ini petanda dia tidak akan menjadi calon BN ? Dari cakap-cakap semasa berada di KT minggu lepas, ramai yang berkata, Wan Farid ramai orang tak mboh. Jadi, kalau BN mahu mencerahkan peluang untuk menang, jangan letak Wan Farid. Tak kiralah apa spekulasi yang akan timbul berikutan keputusan itu.

Sementara itu, Nordiana Shafie tidak pula dilantik semula sebagai senator. Adakah itu tanda-tanda nama beliau turut tersenarai pendek ? Khabarnya, Diana semakin popular dikalangan puteri. Wanita UMNO boleh terima ke ?

Dalam kelompok PAS pula, nama Wan Mutalib dan Mustafa Ali masih disebut-sebut. Tetapi daripada reaksi di KT baru-baru ini, kebanyakan orang menjuihkan bibir bila kedua-dua nama disebut. Saya berpendapat, eloklah PAS lupakan saja nama tersebut sebagai calon walaupun mereka masih sangat berguna untuk gerak kerja PAS. Begitu jugalah Abu Bakar Chik. Harun Taib saya kira sedang menghitung hari-hari terakhir walaupun masih ramai penyokong totoknya di Manir.

Mohamad Sabu, ramai orang luar mahu beliau bertanding sekali lagi di situ. Tetapi adakah orang KT sendiri sudah boleh menerima beliau sebagai calon ? Adakah orang KT menolak Mat Sabu dalam PRU 12 semata-mata kerana dia orang luar atau ada faktor lain ? Nama yang agak popular setakat ini ialah Syed Azman.

Apapun, Terengganu sudah menerima semula royalti petrolium yang dinafikan haknya oleh kerajaan BN selama ini. Beriya-iya, beri penerangan kononnya royalti tu sebenarnya hanyalah ehsan kerajaan persekutuan sahaja. Dalam sidang DUN pun, wakil BN hanya sebut ehsan dan bukan lagi royalti. Tiba-tiba jadi royalti semula. Jadi betullah PAS selama ini. Betullah penjelasan Salleh Abas dulu tu. BN cuma tipu rakyat Terengganu je. BN permainkan rakyat Terengganu. Malah RM1.5 bilion royalti tersebut telah disalah gunakan oleh BN untuk tujuan yang "baik???", tetapi tanpa izin rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu patut menuntut kerajaan Persekutuan dan UMNO Terengganu memohon maaf kerana merekalah yang bertanggung jawab atas penipuan, penyalahgunaan, membantutkan perancangan pembangunan negeri, membazir wang rakyat dengan memberi penerangan palsu. Atau rakyat sudah maafkan mereka dengan begitu mudah ? Tanpa perlu meminta maaf ? Tanpa perlu mengakui kesalahan mereka ? Tanpa menunjukan rasa kesal dan bersalah ? Orang yang sombong, angkuh dan takbur memang susah nak mohon maaf walaupun terang-terang buat salah dengan sengaja, dengan niat.

Saya sangat berharap pengundi di KT dapat mengajar BN supaya berpolitik secara sihat. Tidak ada calon mahupun parti yang sempurna, tanpa cacat cela atau kelemahan disana-sini. Tetapi kalau yang dalam kategori TERLAMPAU, BERDO'OH LALU, memang patut kena ajar.

Saturday, December 13, 2008

PRK K.Terengganu

Saya tengok blog BN-PRK P36. Ada undian online, "Siapakan calon BN pilihan anda?"

Beberapa nama disenaraikan. Antaranya :-
1. Dato' Wan Ahmad Farid
2. En Mohd Sabri Alwi
3. Dato' Roslan Awang Chik
4. Datuk Haji Zuber Embong
5. En.Zuber Embong
6. Dato' Che Mat Jusoh

Nama Diana Shafie, puteri Umno tak tersenarai pula. Tak apa lah. Walau apapun, Alhamdulillah, tiada seorang pun nama yang tersenarai yang saya berkenan. Dari cakap-cakap yang saya dengar semasa balik beraya di kampung 2-3 hari lepas, faktor calon akan jadi penentu. Tapi nama-nama yang tersenarai di atas kurang mendapat perkenan pengundi.

Salah satu punca BN menang di Parlimen KT dalam PRU lepas ialah faktor calon BN, Datuk Razali disukai ramai. Bukan orang UMNO saja, orang atas pagar malah orang PAS pun suka. Mudah berkira. Pun begitu, Datuk Razali cuma menang tipis saja. Undi rosak dan undi calon bebas yang langsung tidak berwibawa untuk perbahasan di parlimen agak tinggi (walaupun hilang wang pertaruhan). Ramai yang berkata, faktor calon PAS menyebabkan undi protes melencong kepada calon bebas dan undi rosak. Malah ada juga yang melencong kepada BN apatah lagi calonnya memang disenangi.

Kalau salah seorang calon daripada senarai di atas bertanding dalam PRK kali ini, dan PAS pula ada calon yang sesuai, saya amat yakin, PAS akan menang. Tapi setakat ini, tiada siapa yang berani mengaku akan menang kecuali sebagai strategi menguatkan semangat petugas parti. Baru-baru ini, PKR Terengganu ada mendakwa calon Pakatan Rakyat boleh menang dengan lebih 3000 undi majoriti. Itupun dianggap lawak jenaka saja di Terengganu. Cakap besar tak guna kerana ia akan memakan diri. Pengundi akan cepat menyampah dan meluat seperti meluatnya pengundi KT kepada orang yang suka memaki hamun walaupun secara berlawak.

Petugas parti perlu berhati-hati. Jangan over macam akhbar Utusan Malaysia. Orang KT punyai sentimen yang amat sensitif. Segala perbuatan dan perkataan akan dinilai. Semoga berjaya. Selamat berjuang.

Friday, December 05, 2008

Shah Rukh Khan pakai baju Melayu

Untung sungguh kerajaan dan rakyat Melaka. Pelancong datang berpusu-pusu kerana Shah Rukh Khan. Memang besar jasa anak muda India Hindustan ini. Promosi percuma kepada kerajaan Melaka. Tak payah keluar duit banyak-banyak untuk tarik pelancong. Begitulah kata pihak kerajaan negeri Melaka.

Shah Rukh Khan akan dipakaikan dengan pakaian melayu. Samping songket saja dah berharga RM3000. Penerimaan anugerah datuk akan disiar melalui Astro. Pegawai-pegawai kanan kerajaan selama ini yang terima anugerah, mana ada siaran astro. Kalau ada pun, siapa nak tengok. Kaum keluarga je lah kot.

Jasa Shah Rukh Khan memang tak ternilai. Kalau nak dibandingkan dengan artis tempatan, jauh sekali. Bak kata Tun Dr.M, "Kerana Shah Rukh memilih Malaysia untuk membuat filem-filemnya banyak syarikat-syarikat perfileman Bollywood lain turut memilih Malaysia untuk membuat filem mereka." Kata Tun lagi, "Kita bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi kegiatan perfileman memaksa syarikat-syarikat Bollywood belanja wang yang banyak. Ramai pekerja dan orang lain di Malaysia mendapat banyak nikmat. Ada kalanya Shah Rukh mengadakan pertunjukan percuma untuk bantu badan-badan amal."

Nah, siapa yang boleh nafikan ?

Dalam pada itu, teringat saya kepada sebuah kumpulan nasyid yang popular. Kumpulan ini juga telah banyak jasa, menjual nama negara ke luar negeri. Kumpulan itu ialah kumpulan Raihan.

Raihan pernah mengadakan pertunjukan di Kanada (Paramount Wonderland, Toronto, Kanada), Dagestan (Makhachkala), Kuwait, Afrika Selatan, United Kingdom, Perancis (Bourdeux, Marseille, Nantes, Strasbourg, Lille, Lyon dan Paris), Scotland, Rusia (Saratov, Moscow), Thailand, Australia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Banyak lagi lah kot. Pernah diundang oleh Ratu Elizabeth (England) untuk mengadakan persembahan di hadapan ketua-ketua negara Komanwel sempena Persidangan Negara-Negara Komanwel di Edinburgh, Scotland pada tahun 1997.

Raihan bukan setakat menyemarakkan nama Malaysia tetapi juga Islam di mata dunia. Tak ada kah negeri yang mahu menghargai sumbangan Raihan ini ? Barangkali, kuman diseberang laut lebih jelas kelihatan berbanding gajah di depan mata.

Apapun, tahniah kepada Shah Rukh Khan dan kerajaan negeri Melaka.

Wednesday, December 03, 2008

JAWI dan bidang kuasanya

Ini dipetik daripada akhbar Berita Harian (online) hari ini.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata pihaknya sudah menguatkuasakan fatwa (pengharaman rokok) itu di masjid, surau dan sekolah agama di seluruh Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bagaimanapun berkata, Jawi tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan penguatkuasaan di tempat awam, sekolah kerajaan dan pejabat kerajaan serta swasta.

“Jawi hanya mempunyai kuasa terhadap premis di bawah penyeliaan kami. Di premis lain, pihak kami hanya mampu menghantar notis pengharaman dan bahaya merokok... kuasa pihak kami terbatas dan ia adalah tanggungjawab pihak lain,” katanya.


Hah ? Biar betul. Atau saya yang salah faham ? Bagaimana kalau orang Islam minum arak dan berjudi di tempat awam ? JAWI tiada kuasa ? Patutlah orang Islam bebas beli judi "halal" di Wilayah Persekutuan. Patutlah arak dijual berleluasa tanpa pemantauan pihak berkuasa agama. Habis tangkapan orang tak puasa di bulan Ramadhan tu kira macam mana pula ? Tangkapan khalwat dan cegah maksiat tu boleh pulak.

Kalau begitu, tepat sekalilah langkah kerajaan negeri Selangor mahu menguatkuasakan larangan penjualan arak terhadap orang Islam. Jangan lupa larangan judi juga. Undang-undang dah ada cuma penguatkuasaan yang tak ada. Ini adalah satu tanda aras bagimana PAS berperanan melaksanakan agenda Islam di Selangor sekaligus menjawab kritikan bekas exco agama Selangor, Abdul Rahman Palil seperti yang tersiar di Utusan semalam. Abdul Rahman gagal melaksanakannya.

Tuesday, December 02, 2008

Ketuanan Melayu

Isu ketuanan melayu sekali lagi menjadi perdebatan. Timbalan presiden MCA membangkitkan. Presiden Gerakan menyokong. Itu belum lagi MIC dan PPP.

Ada yang mencadangkan supaya gelaran Datuk ditarik balik sebab mempertikaikan isu ketuanan Melayu. Soi Lek, Mei Fun, Kayveas, Zaid Ibrahim, Tsu Koon dan ramai lagi barang kali.

Yang dipertikaikan sebenarnya ialah istilah atau terma "Ketuanan Melayu". Bukan isu raja-raja Melayu. Bukan isu Islam sebagai agama persekutuan. Isu raja dan agama sudah termaktib dalam perlembagaan. Sudah terpahat dalam rukunegara. Tiada siapa pun yang mempertikaikannya.

Tetapi putar belit orang politik dan media tertentu seolah-olah mahu menunjukkan bahawa kedudukan raja melayu terancam, bahasa melayu terancam, kuasa melayu tergugat, agama Islam tercabar. Walhal semua sudah termaktub dalam perlembagaan dan tiada siapa membangkitkan.

Lalu kita tertanya-tanya definisi "Ketuanan Melayu". Ada yang kata pihak yang mempertikaikan konsep ketuanan Melayu tidak faham atau buat-buat tidak faham maksud sebenarnya. Sengaja mahu meraih keuntungan politik.

Istilah ketuanan Melayu memang sengaja dilaungkan untuk meraih keuntungan politik terutama oleh UMNO sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan kaum Melayu (dan bumiputera). Ia tiada dalam perlembagaan pun. Apa yang terkandung dalam perlembagaan bukan atas kapasiti ketuanan Melayu. Sebaliknya adalah persetujuan bersama sejak dahulu hingga sekarang. Tetapi ketuanan melayu tidak pernah disepakati atau dipersetujui oleh semua komponen dalam BN sendiri.

Jangan kita marahkan MCA, Gerakan dan PPP dalam isu ketuanan Melayu, kerana cuba meraih kepentingan politik masing-masing kerana UMNO sendiri pun serupa juga. Guna istilah ketuanan Melayu untuk kepentingan politik sedangkan dari segi perlaksanaan dan perlembagaan, tak ada pun. Bak kata Tun Mahathir, "Kita tidak jadi "Tuan" dengan mengungkit sejarah semata-mata."

Selama ini, siapa yang mencabar Bahasa Melayu hingga mengenepikannya sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik ? Siapa yang menenggelamkan tulisan jawi, tulisan ibunda orang Melayu ? Siapa yang bertanggungjawab menjadikan Islam hanya untuk urusan ibadat khusus sahaja, terpisah daripada kehidupan duniawi, untuk acara-acara ritual sahaja, dalam majlis-majlis tertentu sahaja ? Siapa yang mengurangkan kuasa raja-raja melayu ? Bukankah UMNO yang menjuarainya ? Kalau itulah hasil daripada konsep Ketuanan Melayu, tak payahlah bising-bising dengan istilah itu lagi. Istilah itu hanya slogan untuk menarik sokongan Melayu. Supaya orang melayu percaya, selagi ada UMNO, selagi itulah kepentingan melayu terjaga. Hanya UMNO yang menjadi pembela Melayu, bukan perlembagaan negara. Jadi pertahankanlah UMNO selama-lamanya. Walaupun ada rasuah politik, walaupun ada salah guna kuasa, walaupun pemimpinnya angkuh dan takbur, walaupun Islam tidak berakar umbi dalam jiwanya. Walaupun kuasa melayu semakin terhakis, itu bukan salah UMNO tapi kerana orang Melayu tidak bersatu menyokong UMNO.

Monday, December 01, 2008

Piihanraya kecil Kuala Terengganu

Berikutan kematian Ahli Parlimen KT beberapa hari lalu, satu pilihanraya kecil akan diadakan di bandaraya KT tidak lama lagi. Melihat kepada keadaan semasa, ia pasti menjadi medan pertempuran PAS dan UMNO (PR vs BN). Calon bebas mungkin ada untuk mengacau memandangkan calon bebas dalam PRU 12 Mac lalu sedikit sebanyak membantu mencorakkan keputusan di situ.

Insya Allah saya akan balik ke KT pada 6hb Disember untuk menyambut Hari Raya Haji di kampung. Kebetulan pula kampung saya berada dalam parlimen KT. Suasana bahang PRK pasti terasa. Kampung saya terletak dalam kubu kuat PAS iaitu Dun Wakaf Mempelam. Saya tak pernah menjadi pengundi di Terengganu. Bagaimanapun, ramai adik beradik saya kebanyakannya masih mengundi di Dun Wakaf Mempelam. Abang ipar saya ajak balik dalam PRU 2008 untuk melihat kemeriahan di sana. Rupanya, PAS hanya menang sorak di Terengganu.

Kali terakhir saya merasai bahang pilihanraya di Terengganu ialah melalui PRK Teluk Pasu. Tetapi Teluk Pasu bukan dalam Parlimen KT. Cuma berjiran dengan KT. Waktu tu, Rais Yatim, Ku Li dan Shabery Cheek berkempen untuk PAS. Untuk PRU pula, kali terakhir saya melihat di KT ialah PRU 1982. Ketika itu, Haji Hadi hadir memberi ceramah di rumah nenek saya (atas jemputan bapa saudara saya yang dipanggil Ayah Nik) hingga ibu saudara saya (yang dipanggil Cu) yang tinggal bersama bermasam muka. Cu adalah petugas wanita UMNO yang berkempen dari rumah ke rumah.

Sentimen tahun 1982 agak panas. Mahathir dengan sikap melawan+memaksanya (dengan kawan pun dia lawan, dengan musuh apatah lagi), Haji Hadi dengan sikap tegas dan agak keras pada masa itu. Khabarnya, orang UMNO buat sekatan untuk mengganggu / menghalang kehadiran Hj Hadi. Haji Hadi terpaksa merentasi semak samun. Wallahu a'lam. Ceramah Hj Hadi sering dicemari bom asap pada masa tersebut. Alhamdulillah, tiada kejadian buruk pada malam tersebut.

Seorang kawan dari Besut (kini jadi doktor di Kemaman) menceritakan, pernah polis merentang tali di kawasan ceramah PASdi Besut. Polis kata, nak dengar ceramah, kena duduk dalam kawasan yang dipagar itu saja. Ketika sedang ceramah, polis baling bom asap. Semua bertempiaran lari termasuk perempuan dan anak-anak. Nak pejam mata, tak boleh lari; nak celik pedih mata. Guana tu ?

Dalam PRU 2008, rumah arwah nenek yang dah tinggal separuh (separuh lagi dah dirobohkan) menjadi markas BN. Ayah Nik kini di Marang. Ayah Su (suami Cu) menjadi JKKK Umno di kampung saya.

Arwah ayah saya dulu, pengundi atas pagar saja. Dengan orang UMNO pun dia beri kerjasama. Dengan orang PAS pun sama. "Apa yang penting, KERJAAASAMA", macam kata wonderpet. Bukan talam dua muka. Tapi non-partisan memang macam tu. Teringat juga dengan seorang saudara saya yang dipanggil Tok De Kasim (arwah). Dia tinggal di Manir. Pantang cakap pasal politik, dia akan kafirkan orang. Dengan nas-nas yang dihafalnya, semua diterjemah secara terus. Kami sekeluarga hanya tersengih bila dengar dia bersembang. Sokong pun tidak, bantah pun tidak.

Berbalik kepada PRK 2008 KT. Atas kertas, saya rasa PAS boleh menang. Tetapi ia bergantung kepada calon juga. Mohamad Sabu pun bagus. Dulu saya tak berapa suka dengan dia ni. Sebab suka membuat lawak terlampau bila berceramah. Maki hamun. Itu memang bukan kegemaran saya. Saya cukup anti dengan maki hamun.

Tapi Mohamad Sabu kuat bekerja. Rajin turun padang. Lantang bersuara di Parlimen. Terbuka dalam soal hubungan kaum. Tak tahulah pola pemikiran orang KT le ni. Soal dia pernah kena tangkap khalwat tu, saya dah maafkan dia. Antara dia dengan Allah la pulak.

Wan Mutalib, nama lain yang disebut. Saya kurang tahu tentang dia. Walaupun pernah jadi Adun Batu Buruk agak lama, tapi sikap dan perangai dia kurang mendapat perhatian media.

Calon lain, tak tahu lagi lah. Ahmad Said mungkin nak letak orang dia. Tapi walau siapa pun calon BN, mesti Ahmad Said kena kerja keras untuk menang sebab ini ujian pertama dia sebagai MB dan ketua perhubungan UMNO negeri dalam pilihanraya. Kalau kalah, kredibiliti dia tercalar. Kemampuan dia mempertahankan Terengganu dalam PRU akan datang mungkin jadi tanda tanya.

Seperti biasa, tentu banyak janji akan ditabur. Pasti banyak pembangunan segera di KT. Muhammad Taib akan berkampung di KT. Jenguk-jenguk lah mak saya yang sedang uzur. Mata tak nampak, telinga tak dengar.

Lepas pilihanraya, macam biasalah. Macam yang sudah-sudahlah. Dua kali lima je belaka.

Friday, November 21, 2008

Razak Baginda buat solat syukur

Mengikut laporan, Razak Baginda (teruduh dalam kes Altantuya) telah melakukan solat sunat syukur di masjid Shah Alam selepas dibebaskan.

Saya tak pernah dengar tentang solat sunat syukur. Sujud syukur tu ada lah. Selepas membuat carian di internet, saya temui yang ini.

------------------------------------------------

Solat khusus untuk kesyukuran tidak ada, kerana semua solat pada dasarnya adalah dalam rangka untuk bersyukur.

Namun jika ada nikmat yang tidak disangka-sangka atau terselamat dari bencana yg dahsyat, maka dibolehkan SUJUD syukur serta merta bukannya mendirikan solat syukur. (syaikh Ibn Uthaimiin, syarh Mumti', 4/153)

------------------------------------------------
Namun ada syaratnya juga iaitu mestilah dalam keadaan suci daripada hadas dan mengadap kiblat.

Semoga kita sama-sama beroleh ilmu dan beramal berpandukan kepada ilmu yang benar.

Tuesday, November 18, 2008

UMNO dan rasuah

Rasuah dalam UMNO semakin menjadi-jadi. Apa puncanya ? Terlalu lama berkuasa ? DEB ? Melayu mudah lupa ? Entahlah.

Bukan salah kuasa yang mereka miliki. Juga bukan salah DEB. DEB memang pada mulanya cantik. Tetapi telah disalahgunakan oleh orang-orang cerdik yang terlalu tamak. Akhirnya kecerdikan dan ketamakan itu menjadikan mereka buta, pekak dan bodoh. Sebab itu bila ada pihak mempertikaikan kejayaan DEB dan ketuanan Melayu, mereka hilang akal. Ketuanan Melayu menjadi ketuanan UMNO. DEB untuk mengkayakan puak-puak mereka. Tanpa ketuanan UMNO, hilanglah kabel-kabel yang menjadi tempat mereka berpaut selama ini.

Usahawan UMNO boleh ke hidup tanpa kabel ? Usahawan UMNO berani ke bersaing dengan bangsa Cina ? Usahawan UMNO hanya berani membuli sesama Melayu.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup ala bangsawan, rasuah menjadi senjata yang ampuh bagi pemimpin-pemimpin dalam UMNO. Mereka memberi dan menerima secara terang-terangan.

Kadang-kadang, rasa geli hati melihat orang UMNO yang sudah tidak ada rasa malu dengan rasuah, malah berbangga pula. Tapi yang kita ketawakan itu adalah melayu kita. Memang begitukah perangai bangsa kita ? Memang rasuah itu budaya orang Melayu kah ?

Itulah akibatnya bila agama dikesampingkan. Nak bercakap agamapun malu-malu. Takut dikatakan lebai. Takut diejek alim. Nak bertakwapun malu. Nak rasuah tak malu pula tu. Rosak. Rosak.

Thursday, November 06, 2008

Hukuman untuk yang berkhalwat

Definisi khalwat (yang difahami ramai) dalam bahasa Melayu ialah bersunyi-sunyian antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.

Isu khalwat menjadi lebih hangat bila yang terlibat adalah orang yang dikenali ramai seperti selebriti atau ahli politik.

Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersetuju dengan serbuan terhadap orang yang berkhalwat secara sembunyi kerana yang berdua-duaan ditempat awam tidak diambil tindakan.

Hukuman untuk yang didapati bersalah di negeri-negeri di Malaysia selalunya ialah denda yang kadarnya dianggap rendah pada masa kini atau penjara dalam tempoh yang tidak terlalu lama atau kedua-duanya sekali.

Dulu, pernah timbul isu, wajarkah oang yang berkhalwat dipenjarakan (selalunya sebab tak mampu bayar denda) bersama penjenayah ? (walaupun jenayahnya dianggap ringan).

Soalnya sejauh manakah denda dan penjara mampu mencegah orang Islam lain dan pelakunya sendiri daripada mengulangi kesalahan yang sama ?

Saya berpendapat, mereka yang berkhalwat patut diwajibkan menghadiri kaunseling dan program dakwah dalam tempoh tertentu supaya lebih berkesan. Memang hidayah itu hak Allah tetapi mereka wajar diwajibkan terlibat sama supaya dapat mendedahkan mereka dengan cara hidup Islam dan terlibat menyampaikan Islam kepada yang lain.

Kalau hukuman kerja-kerja kebajikan boleh dibuat, kenapa kerja-kerja ibadah dan dakwah tidak boleh ?

Mereka boleh berdakwah kepada orang asli atau ke kampung-kampung tertentu bersama-sama satu kumpulan dakwah yang terlatih.

Sebelum itu, mereka tentunya diwajibkan mengikuti kursus dakwah, kuliyah, dan majlis ilmu fardhu ain yang asas dan pelbagai program ibadah secara berjamaah dalam tempoh tertentu.

Mudah-mudahan, cara begitu lebih berkesan, lebih memberi keinsafan dan lebih mendekatkan mereka kepada hidayah Allah.

Tuesday, November 04, 2008

Sex on TV Increases Teen Pregnancy, Says Report

Laporan ini dicedok daripada www.time.com.
Kononnya pendedahan seks kepada remaja ialah untuk mengurangkan masalah anak luar nikah dan masalah sosial lain remaja. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
------------------------------------------

The question that has been debated by parents, psychologists and media critics for years is whether such racy content has an adverse affect on young viewers. Now researchers at the Rand Corporation say they have documented for the first time how such exposure can influence teen pregnancy rates. They found that teens exposed to the most sexual content on TV were twice as likely as teens watching less of this material to become pregnant before they reach age 20.

Previous research has revealed two major ways that this glamorized perception of sex contributes to teen pregnancy — by encouraging teens to become sexually active early in their adolescence, and by promoting inconsistent use of contraceptives.

"It's not just appointment television, now it's anytime television,' says Shifrin. "And this study was begun seven years ago, so if it were done today, [the authors] would probably find more evidence of sex on screens that affects youngsters' behaviors.'

Sumber : http://www.time.com/time/nation/article/0,8599,1855842,00.html

Friday, October 31, 2008

MCA tuntut Hassan, Khir minta maaf

Laporan Malaysiakini menyebut Biro Perundangan MCA hari ini mengecam PAS kerana menolak pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atas alasan beliau bukan Melayu.

Setakat yang saya sudah baca, tiada bantahan secara rasmi daripada PAS. Yang ada cuma PAS mencadangkan nama lain yang mana kedua-duanya adalah bumiputera Islam. Saya kira, tindakan PAS adalah betul dan dibuat secara berhati-hati. Bantahan daripada PAS hanya dapat dilihat melalui laporan media atau ulasan daripada pihak lain seperti DAP.

Laporan Malaysia kini umpamanya menyebut,
"Selangor Pas commissioner Datuk Dr Hasan Mohamad Ali, who is also a state executive councillor, said today that the party would help the state government find a more suitable candidate."
walaupun tajuknya "PAS UNHAPPY WITH LOW'S APPOINTMENT AS PKNS BOSS".

Saya rasa, MCA patut bantah kenyataan Pemuda UMNO Selangor yang menganggap kaum Cina di Malaysia sebagai bangsa asing (lihat di sini).

Dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 30/10/2008 itu, pada perenggan ke-6, menyebut:
Beliau (Abdul Shukur Idrus) berkata, perkara pertama ialah mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak ingkar terhadap perintah baginda yang tidak memberi perkenan terhadap beberapa keputusan menyerahkan jawatan tinggi dan penting kepada bangsa asing yang sepatutnya hak orang Melayu.

Kita tunggu apa reaksi MCA terhadap Pemuda UMNO Selangor ini.

Thursday, October 30, 2008

Tentang Pengurus Besar PKNS

Teringat saya ketika bekerja di sebuah agensi kerajaan dahulu. Saya kenal dengan seorang akauntan berbangsa Cina. Dari segi pengetahuannya, dia memang hebat. Dari segi pengurusannya, juga hebat. Tetapi dia bekerja di sebuah agensi yang diamanahkan untuk membela nasib kaum bumiputera sedangkan dia sendiri bukan bumiputera.

Dia kemudiannya dia dilantik sebagai Timbalan Pengarah secara kontrak. Lalu ramai lah pengarah-pengarah lain, Timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan yang mula cakap belakang. Kenapa orang Cina dilantik ? Dah tak ada orang Melayu ke ? Ini menyekat peluang orang Melayu untuk naik pangkat. Dan macam-macam lagi.

Memang lah ada orang Melayu, tetapi setakat yang saya kenal, tak ada yang dapat menandingi kebolehan dan kualiti kerja beliau. Perlantikan beliau disokong kuat oleh sang pengarah. Akhirnya, bila sang pengarah pencen, maka ramailah yang mencucuk pihak atasan supaya menamatkan kontrak si Timbalan Pengarah. Akhirnya kontrak beliau ditamatkan. Puas lah hati orang Melayu di situ. Dapatlah orang Melayu ganti tempat beliau. Tetapi bagi orang yang pernah bekerja dengan dia dan tiada rasa dengki kerana atas asas perkauman, tahu bahawa pengganti beliau hanya pandai cakap saja. Mereka rasa mereka pandai, tahu, berkebolehan, yang pegawai dulu buat tak betul, sepatutnya kena buat begitu dan begini.

Adilkah kita (yang memilih Islam sebagai Ad Deen) ini ? Saya tak kisah sangat kalau ia melibatkan soal kepentingan agama, soal keselamatan dan soal rahsia orang bumiputera. Perdana Menteri atau Menteri Besar umpamanya. Tetapi soal kecemerlangan kerja dan hasil kerja yang baik, ketelusan, kejujuran juga perlu diutamakan. Lebih menyedihkan lagi, bila orang melayu yang tidak amanah, rasuah, salah guna kuasa, kerja yang selalu tertangguh, buang masa, cenderung menyalahkan orang lain dan mementingkan diri sendiri yang dilantik sebagai ketua hanya kerana dia Melayu dan kanan. Sedangkan yang lagi satu tidak berpeluang hanya kerana dia Cina atau India. Saya bukan menyokong atau membantah perlantikan Pemangku Pengurus Besar PKNS itu. Saya tak kenal siapa dia. Tetapi kita kenalah jujur pada diri sendiri. Benarkah dia tidak layak ? Salahkah kalau diberi peluang kepadanya untuk membuktikan keberkesanan kerja beliau ? Salahkah kalau kita biarkan orang Melayu Islam rasa tercabar seketika, melihat bagaimana orang Cina buat kerja, belajar daripadanya dan cuba ikuti sikap dan sifat positif beliau.

Thursday, October 23, 2008

Ucapan Datuk Asri selepas PAS disingkir daripada BN

Ucapan Datuk Asri selaku YDP PAS Pusat dalam mesyuarat Agung Khas PAS selepas PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional.

Monday, October 20, 2008

Kau tahu aku siapa ?

Anda tentu biasa dengar dialog seperti "Kau tahu aku siapa ?". Mungkin juga kita sendiri yang lafazkan dialog tersebut. Sedar atau tidak, dialog sebegitu sebenarnya menunjukkan sifat ujub yang ada pada diri orang yang melafazkannya.

Kadang-kala, orang yang melafazkannya bukan hebat mana pun. Cuma menumpang kehebatan orang lain saja. Misalnya dia baik dengan bos atau dia rapat dengan tokoh tertentu atau suaminya/isterinya/bapanya tokoh yang disegani. Dia sudah merasa dirinya hebat dan patut dihormati sama. Lazimnya ia diucapkan oleh orang yang ego atau merasa "ajaib" dengan dirinya sendiri. Mungkin ada harta lebih sikit, atau pangkat tinggi sikit atau pengaruh lebih sikit atau memang daripada golongan bangsawan.

Kita juga tidak terlepas daripada sifat mazmumah sebegini. Sebelum kita lihat diri orang lain, elok kita muhasabah diri kita sendiri, isteri kita, anak-anak kita. Berikan tazkirah kepada keluarga kita semoga kita dapat hindari daripada sifat sebegini.

والله أعلم

Thursday, October 16, 2008

Harga yang tak mahu turun

Sehingga kini, kerajaan BN telah menurunkan harga petrol sebanyak 40 sen sejak pertengahan tahun ini. Wow ! Di campur dengan subsidi 30 sen yang boleh dituntut di pejabat pos, jadi 70 sen. Bersyukur kita kepada Ilahi dan terima kasih kepada kerajaan BN yang prihatin, mesra rakyat dan cakna.

Saya tertarik dengan desakan YB Guan Eng yang menggesa supaya kadar tarif elektrik dikaji semula (diturunkan) sesuai dengan alasan menaikkannya dahulu. Dan semalam, desakan daripada Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) supaya harga gas memasak diturunkan juga. Ketika kerajaan BN sibuk menggesa supaya peniaga menurunkan harga barang, mungkin kerajaan terlupa atau buat-buat tak nampak dengan dua perkara asas ini.

Utusan Malaysia yang rasist melaporkan :-

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Para peniaga perlu menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak yang telah berlaku sebanyak tiga kali pada tahun ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pak Lah tidak pula memberi respon kepada desakan menurunkan harga gas memasak dan tarif elektrik. Dengan hanya menurunkan harga petrol dan diesel sahaja, mereka fikir rakyat sudah diberi gula-gula, sudah lupa dengan masalah-masalah lain dan tidak lagi terbeban ?

Wednesday, October 15, 2008

Malaysia tidak terjejas ekoran krisis ekonomi global

Krisis Ekonomi Malaysia tidak terjejas

KUALA LUMPUR 9 Okt.- Malaysia sebenarnya tidak terjejas oleh krisis kredit semasa Amerika Syarikat (AS) kerana pasaran eksport negara adalah pelbagai, kata Alexander Stedtfeld, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman.


MStar:Rabu Oktober 15, 2008

PM: Beberapa projek dikaji ekoran krisis ekonomi global

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula beberapa projek termasuk di kawasan koridor pembangunan wilayah ekoran krisis ekonomi global yang dihadapi sekarang.


Hai ? Kata tak terjejas. Kalau tak terjejas, kenapa kena kaji balik ?

Friday, October 10, 2008

PAS perlu buang buruk sangka

Membaca akhbar Harakah sama ada edisi cetak mahupun edisi online, tidak dapat tidak pasti kita akan jumpa berita-berita yang sebenarnya tidak berasaskan fakta tetapi lebih bersifat prasangka. Ini amatlah mengecewakan kerana PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi juga sebuah badan dakwah, sebuah jemaah Islam.

Bila pemimpin-pemimpin PAS menyibukkan diri dengan mengulas isu peralihan kuasa dalam UMNO, ulasan yang dibuat jelas berbentuk prasangka. Bukan ada bukti apa-apapun. Kalau ada sedikit analisis pun, ia jelas tidak ikhlas.

Lihat saja tajuk-tajuk seperti "Strategi Abdullah, Najib bakal 'dikambing hitamkan'" atau "Ada sesuatu tidak kena punca Abdullah letak jawatan". Apa kata kalu PAS jangan terlalu menyibuk dengan prasangka buruk ? UMNO nak pasang strategi untuk jatuhkan sesama mereka, biarkanlah si Luncai itu. Yang PAS sibuk tu pasal apa ? Masalahnya, PAS bukan hanya mahu berprasangka dengan UMNO malah mahu menyebarkan prasangka itu supaya orang ramai terutama penyokong-penyokongnya turut menyimpan prasangka yang sama. Begitukah cara untuk kita mendaulatkan Islam di bumi Allah ini ? Begitukah cara berhikmah yang patut kita amalkan ?

Berita penuh prasangka bukan baru dalam akhbar lidah rasmi PAS itu. Kalau prasangka tersiar dalam akhbar Utusan atau Berita Harian, saya tak peduli sangat sebab itu bukan lidah rasmi sebuah pertubuhan Islam, tetapi tidak Harakah. Ini adalah satu punca saya kurang membeli akhbar Harakah edisi cetak. Baca tetap baca. Tetapi beritanya kadang kala mengecewakan. Ia juga menggambarkan pemikiran tokoh-tokoh dalam PAS. Suatu ketika dahulu dalam tahun awal 90an, seorang kawan berkata, berita dalam Harakah ni tak berkualiti sama macam ceramah politik beberapa pemimpin PAS sendiri. (Ceramah agama mereka lebih baik, Alhamdulillah.) Sekarang dah tahun 2008. Masih juga begitu walaupun Pengarang dan wartawan Harakah sudah bertukar orang.

Harakah perlu beralih daripada menjadi suara pembangkang kepada suara sebuah kerajaan atau suara pihak yang sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan. Berita-berita perlulah menaikkan semangat bukan sahaja penyokong setia malah mengharukan pihak yang tidak berparti atau golongan atas pagar. Ayuh perkasakan Harakah.

Tuesday, October 07, 2008

Telefon bimbit baru

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam. Dah mula puasa enam ? Selalunya, orang tua-tua di terengganu mula berpuasa enam seawal 2 syawal. Tahun ini saya berhari raya di Ampang dan pulang ke kampung di Terengganu pada Raya ke 2.

Beberapa hari sebelum 1 syawal, isteri saya hadiahkan saya telefon bimbit baru jenama Sony Ericsson model K530i. Ada 3G walaupun kad sim saya tiada 3G. Lengkap dengan 1GB kad memori.

Saya sebenarnya memang mahukan telefon bimbit yang baru. Tapi tak lah secanggih yang dihadiahkan. Apapun, terima kasih kepada isteri saya.

Mulanya, telefon itu dipenuhi lagu-lagu mp3 melayu yang baru dan yang tak berapa baru. Ada 2 game (1 Inggeris dan 1 Cina). Saya dah buang semua lagu mp3 tu daripada telefon saya. (sebenarnya saya pindahkan ke laptop saya). Kemudian saya ganti dengan lagu mp3 yang saya suka :).

Kemudian saya install beberapa java games yang saya perolehi di internet. Sekarang dah ada 30 games. Car racing, Football, Motor racing, Wolfenstein, Tomb Rider, Worms SWAT dan macam-macam lagi. Kalau ada yang nak salin (copy) games dengan saya, boleh juga.

Kemudian saya configure wap dan mms. Install mini opera. Saya suka dengan mini web browser ini selepas beberapa kali menggunakannya. Saya juga install solat reminder, satu lagi perisian java percuma yang saya perolehi di internet, dan gmail checker.

Saya edit photo anak dan isteri saya yang saya ambil dengan kamera nikon dan masukkan ke telefon.

Hmmm... apa lagi nak buat ye ? Rasanya semua dah ada. Saya juga dah migrate pakej Xpax ke Celcom Blue dan lanjutkan tempoh tamat kepada 2 tahun. Selalunya kredit saya tak banyak luak setiap bulan tetapi terpaksa top up juga untuk pastikan sentiasa bolah buat panggilan ke luar.

Setakat ini, saya berpuas hati dengan telefon bimbit baru saya. Selalunya, kita tak berpuas hati kerana kita lebih nampak apa yang kita tidak miliki/perolehi berbanding apa yang kita miliki/perolehi. Memang pelik, yang kita ada kita tak nampak. Yang tak ada yang kita nampak. Itulah namanya manusia.

Tuesday, September 23, 2008

'Mentaliti suka haramkan' punca PAS T'ganu tewas

'Mentaliti suka haramkan' punca PAS T'ganu tewas. Begitu kata YB Khalid Samad. Sementara post mortem yang dibuat oleh PAS Terengganu pula tidak menemui bukti itu. Maaf saya katakan, saya setuju dengan YB Khalid Samad. Namun itu bukanlah satu-satunya punca.
PAS Terengganu perlu kepada suatu pendekatan yang baru. PAS Terengganu janganlah berkecil hati sangat dengan PAS Selangor. Kita kan satu jemaah. "Yasyuddu ba'dhohu ba'dho". Kadang-kadang kritikan terpaksa dibuat secara terbuka. Memang tak manis. Tapi bila dah diluahkan, ada-ada aje yang nak tolong tokok tambah. Sebaliknya bila perbincangan secara tertutup, semua jadi bisu dan tak terluahkan.
Saya amat bersetuju dengan YB Khalid dalam menegur cara PAS menangani isu konsert. Bukan saya tak setuju PAS bantah konsert. Bantah tetap bantah. Tapi kaedah dan pendekatannya masih boleh diperbaiki.
Sikap pemimpin dan penyokong PAS di Terengganu juga masih ala-ala tahun 80an. Percayalah kita tak boleh terus guna cara lama lagi. Pendekatan perlu lebih bijak. Usah lagi guna cara mengejek. Tunjukkan hormat kepada kawan dan lawan. Terbuka bila berdepan dengan kritikan tetapi jangan pendam dendam di hati untuk membalas semula paku buah keras.
Saya amat gembira bila pemimpin PAS Terengganu bermuzakarah dengan kerajaan negeri tempoh hari. Ini satu pendekatan baru. Muzakarah sebegini perlu diperluaskan lagi ke peringkat yang lebih bawah tetapi tidak terlalu di bawah, bimbang tak terkawal pula. Maklumlah, kadang-kadang ada yang lebih sudu dari kuah. Ia mestilah diketuai oleh yang benar-benar berwibawa dan mampu mengawal anggota lain.
Mustaffa Ali, Harun Taib, Abu Bakar Chik adalah antara-nama-nama besar yang selalu dikritik oleh sesetengah penyokong PAS sendiri kerana pendekatan yang kurang sesuai. Mustaffa Ali pernah jadi ADUN di kampung saya. Begitu juga Harun Taib. Tak dinafikan ilmu dan pengalaman mereka. Tetapi pendekatan perlu lebih moden dan sesuai dengan masyarakat masa kini. Orang Terengganu pun dah banyak berubah mengikut permerhatian saya. Pemimpin bukan hanya mengikut perubahan dalam masyarakat tetapi sepatutnya memimpin perubahan ke dalam masyarakat. Mengajak masyarakat untuk berubah kepada pemikiran yang lebih jauh ke depan. Keputusan cemerlang anak-anak Terengganu dalam pelajaran menunjukkan rakyat Terengganu sudah bersedia untuk perubahan yang lebih pesat dan pantas. Ia menunjukkan sudah terpahat kesedaran di jiwa sebahagian besar anak-anak dan di jiwa ibu bapa serta warga pendidik di Terengganu. Ia petanda yang cukup baik. Jadi pendekatan PAS Terengganu perlulah seiring dengan perubahan yang ditunjukkan itu.
Semoga perjuangan Islam di Terengganu akan mendapat tempat di hati orang-orang Terengganu juga akhirnya sekaligus menjadikan mereka umat Islam yang gemilang dengan akhlak Islam, cemerlang dengan budaya ilmu dan membuktikan Islam pasti terbilang hasil daripada ummat yang berkualiti.

Monday, September 22, 2008

Zakat

Tahun, ini, kadar zakat di Selangor ialah RM5.20 seorang. Memang tak padan lah dengan kualiti beras yang kita makan. Kata ustaz, zakat sah, tapi nak bagi cantik lagi, bayar ikut kualiti beras yang kita makanlah.

Kita jangan Raya saja nak cantik. Rumah cantik, baju cantik, wajah cantik. Ibadat pun mesti cantik. Kadar zakat di Terengganu dikhabarkan pada nilai RM6 atau RM7 atau RM8; mengikut kualiti gred beras masing-masing. Kalau makan beras Taj Mahal, bayar zakar ikut harga beras Taj Mahal lah. Kalau makan beras Somali yang tak sedap tapi mahal tu pun, begitulah juga.

Ada ustaz sarankan kalau bayar untuk 3 orang, maka bayarlah lebih sikit, umpamanya jadi 4 atau 5 orang. Tapi ustaz saya cadangkan bayar je ikut kadar yang kita dah kira. Resit tetap ambil 3 keping je. Selebihnya terserahlah kepada amil. Kalau dia rasa nak masuk poket dia pun, tak apa sebab dia pun sebahagian asnaf juga. Kalau dia nak serah kepada fakir miskin yang di kenal pun atau muallaf atau pelajar yang menuntut ilmu, terserahlah. Saya setuju pendapat ke dua. Insya Allah.

Saturday, September 13, 2008

ISA : Seperti diduga

Seperi biasa, lain yang buat kacau, lain yang ditangkap. Orang UMNO yang bangkitkan isu perkauman, akhbar UMNO yang bangkitkan kegelisahan, orang lain yang dihumban ke ISA.

Kalau Raja Petra tu saya tak hairan lah. Saya sendiri dah lama tak baca Malaysia Today. Bosan dengan laporannya. Bila dipertikaikan dan dicabar, dia berdolak-dalik. Sekarang dah tak mengaku dia punya pulak. Ingatkan berani kerana benar. Rupanya lempar batu sembunyi tangan. Pengecut dan tak mahu bertanggung jawab. Orang macam ini bukan hanya akan menimbulkan masalah kepada UMMNO dan BN tetapi juga kepada PAS, PKR dan PR satu hari nanti. Percayalah.

Dalam isu Ahmad Ismail pula, mungkin dia tercelupar cakap atau mungkin media Cina tersalah lapor. Jadi kenapa tak gunakan saluran undang-undang sedia ada ? Perbuatan Ahmad dan konco-konconya mengoyak gambar dan mencabar Gerakan itu yang patut diambil tindakan. Itu memang jelas perkauman dan boleh timbulkan ketegangan. Kenapa tak tangkap saja mereka ?

Tiba-tiba Teresa Kok pula yang ditahan. Kesalahan Teresa Kok mungkin hanya dalam isu papan tanda jawi dan papan tanda muhibbah. Dalam isu azan, jelas Teresa tidak terbabit langsung. Takkan kerana papan tanda Teresa ditahan ISA ? Walaupun saya juga tidak setuju dengan tindakan Teresa, ia tidak sepatutnya menjadi begitu serius. Di Pulau Pinang, Gerakan meletakkan papan tanda bertulisan Cina, tiada siapa pun yang ditangkap.

PAS patut menghentikan muqabalah dengan UMNO sebagai tanda bantahan. Jangan PAS pula yang berbalah sesama sendiri hanya kerana mahu menyelamatkan UMNO yang sedang kelemasan. Kalau begitu, sampai bila-bila pun PAS tak akan berjaya kerana setiap kali UMNO lemah, UMNO akan bangkitkan isu Melayu terancam dan PAS akan bantu menguatkan UMNO semula. Lepas tu lawan balik. Itu kerja bodoh.

Friday, September 12, 2008

Abdullah Fahmi

Kelmarin, Abdullah Fahmi (juara Akademi Al-Quran musim 1) menjadi imam solat tarawikh di masjid kami. Suaranya, MasyaAllah, memang sedap sungguh. Kalau selama ini saya perasan suara saya pun sedap :), tetapi jelas suara beliau berkali-kali ganda lebih sedap. Memang berseni sungguh. Nak menangis saya mendengar bacaannya. Mendayu-dayu. Dengar suranya secara langsung atau secara terus memang mengasyikkan. Walaupun tak faham makna ayat yang dibaca kecuali sebaris dua.

Dulu, bebarapa bulan sebelum Ramadhan, ada juga juara AQ musim kedua datang ke masjid memperdengarkan bacaan pada majlis khatam Quran. Turut hadir ialah Datuk Hassan Azhari. Suara juara AQ 2 ni tak lah sebagus juara AQ 1. Walaupun begitu, ia tetap sedap didengar juga.

Terasa rugi sungguh kerana tidak menjadi seorang yang celik Al Quran.

DAP bukan chauvinist Cina

Ya. DAP bukan parti chauvinist Cina. I benar-benar parti berbilang kaum. Tetapi ia tidak peka dengan budaya Melayu kerana kurangnya suara orang Melayu dalam parti itu. Ia juga tidak peka dengan Islam kerana kurangnya orang Islam dalam parti itu. Kalau ada orang Islam pun, Muslim yang sekularist. DAP adalah sebuah parti yang sangat kuat mahu mendaulatkan sekularisme.

PAS pula sangat kuat menentang sekularisme. UMNO juga sebuah parti sekular. Cuma kerana UMNO didominasi oleh orang Islam, mereka lebih peka dan faham dengan budaya Islam berbanding DAP, tetapi belum cukup sensitif berbanding PAS. Hakikatnya UMNO menolak Islam sebagai satu cara hidup. Sebab itu hampir tiada penghayatan Islam dikalangan bangsawan dalam parti itu. Yang ada hanya diperingkat bawahan. Di kampung-kampung pun penghayatan Islam dikalangan penyokong parti tidak di tahap memuaskan.

Kita boleh faham sifat sekular DAP sebab ia didominasi oleh golongan sekular. Tetapi bagaimana dengan UMNO ? Sejak daripada awal penubuhannya lagi, UMNO telah dipimpin oleh golongan bangsawan yang sekular. Sekularisme sudah sebati dalam jiwa pemimpin UMNO. Sehingga kini tiada siapa mampu mengubahnya apatah lagi rakan kongsi dalam BN juga mahu UMNO kekal sekular. Program agama anjuran UMNO jelas menampakkkan sifat sekular, tiada penghayatan. Hanya kosmetik walaupun belanjanya mencecah jutaan ringgit, angka yang sering dibanggakan oleh pemimpin UMNO.

Diharap, kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan membuka mata DAP untuk lebih memahami budaya dan sensitiviti orang Melayu dan Islam.

Tuesday, September 09, 2008

Pantun Untuk Orang Melayu

Saya terima email dengan pantun di bawah ini. Saya percaya ia karangan orang UMNO. Atau paling tidak simpatisan UMNO.

Orang melayu memang cukup takut dengan DAP. DAP adalah kembar PAP Singapura. DAP cauvinist cina. Lim Kit Siang sama macam Lee Kuan Yew. Ramai orang melayu percaya begitu. Ia adalah hasil virus yang ditanam UMNO selama ini melalui media-media tempatan. Saya katakan kepada anda, DAP lebih kurang saja dengan Gerakan. Kalau selama ini UMNO boleh terima Gerakan, kenapa takut sangat dengan DAP ?

Kalau anda baca pantun ini sampai habis pun, anda sudah boleh agak. Diimbas semula 13 Mei. Melayu hilang kuasa, Tanah melayu terlepas ke tangan Cina. Habis selama ini, UMNO tak beri tanah kepada tauke-tauke Cina ke ?

Hak milik kekal tanah Kampung Baru Cina di Perak yang seluas 6000 ekar sangat dibimbangi sedangkan selama ini beribu-ribu ekar sudah diberi kepada tauke Cina. Bukankah Kampung Tersusun yang majoritinya Melayu juga akan menerima manfaat yang sama ? Kampung Baru tak boleh berkembang lagi kerana ia diberi oleh penjajah Inggeris. Kampung tersusun masih boleh diperluaskan oleh kerajaan. Lihat di wilayah Iskandar Malaysia. Baca Tuntutan 20 Perkara Prowaris serta wawancara Siasah dengan Tun M dan fahami isu di WPI. Tanah Melayu tak tergadaikah ? Baca juga tulisan Ustaz Ahmad Awang di sini tentang isu tanah di Perak. Juga penjelasan isu pemberian tanah kepada sekolah Cina di sini.

Saya percaya, punca kekalutan pada hari ini ialah kerana UMNO lemah dan berpecah lalu cuba disandarkan kesalahan ke bahu Melayu dalam PAS dan PKR. Kalau Pak Lah tak lemah dan tidak bertindak melulu kepada Tun Dr. M, keadaan tak jadi begini. Keputusan untuk menutup peluang kepada Tun M menyebabkan Tun M bertindak balas. Tun M memang hebat dalam perang sebegini. Dengan Tunku, dengan Ku Li, dengan Musa Hitam dan dengan Anwar sendiri.

Saya lihat, pengaruh Anwar pada mulanya tak sekuat mana, baik dikalangan Melayu mahupun kaum lain. Tetapi dia bijak ambil kesempatan atas kelemahan Pak Lah menangani sesuatu isu. Asalnya, orang Cina dan India bukan sokong sangat Anwar pun. Mereka cuma marah dan tak berpaus hati kepada BN. Sekarang mereka sendiri keliru dan menganggap protes kepada BN sebagai sokongan kepada Anwar. Walhal Tun M pun protes BN juga sebab BN lemah. Puncanya Pak Lah lemah.

Saya harap apapun yang berlaku selepas ini, PAS akan mengambil tindakan yang bijak demi kepentingan Islam. Apa faedahnya perjuangan Melayu untuk alam akhirat kita ? Melayu banyak cuai dengan Islam, sebab itu Melayu lemah. Yang penting perkuatkan Islam dalam diri masing-masing untuk berdepan dengan cabaran akan datang. Kalau Melayu masih ragu-ragu dengan Islam, nak pakai sepenuhnya atau tunggu dulu, alamatnya sampai bila pun Melayu akan terus hanyut dengan slogannya, dengan alam khurafatnya, dengan hiburannya.


UNTUK ORG MELAYU SAHAJA!!!!!!!!!
Renung-renungkan lah…..

Paklah tertekan..
Pembangkang menekan...
Melayu same melayu bermusuhan..
Cina n India bertepuk tangan...
Nak takluk Malaysia DA lama dorang idamkan...
Hak bumiputera bukan lagi satu keistimewaan...
Cina ngan India dah jadik Johan!

Pkr mengganas...
Anwar kuarkan idea 'bernas'...
Orang umno hati panas...
MCA n MIC pandai nak kipas...
DAP tetap pilihan cina n India yang teratas...
Dorang sokong PKR TU ader 'nas'...

Pernah satu tmpt dimana ahli parlimen cina berkata...
Saya luar saja BN....dalam hati DAP juga..
Kenapa melayu buta Mata?
Gaduh je yang dorang suke..
Kenapa?...nak tunjuk yang korang berkuasa?
Padehal negara di hujung nyawa..
Bumiputera dinafikan hak sekeras-kerasnya...
Itu ke yang orang melayu suka?
Demonstrasi sini sana ...
Bikin kacau bilau satu negara...
Cina India duduk rumah gelak2 tgk brita...
Betapa orang melayu pun dah tak sekuat mana..
Mane melayu di masa muka?
Anak cucu korang gak yang jadi mangsa..

Di perak satu hal...
Cina diberi tanah hak milik kekal...
Di mana undang2 tubuh negeri perak tak pnh melakukan perkara sebegitu yg tak masuk akal...
Skrg melayu yg rugi n tertinggal...
MB pun satu...rujukla org2 atau undang2 yang dah dibekal...
Jangan buat keputusan yang tak masuk akal...
Smate2 nak tunaikan janji mase plihanraye yg dah terlafaz..

Cina India otak bijak..
Skarang dorang sokong la PAS n PKR, lepas krajaan DA jatuh,dorang akan pijak!

Kalau anwar jadi perdana menteri...
Jika ditakdirkan tuhan keesokkannyer dier mati...
Sape yang akan mengganti?
Ahli tertinggi PKR,cina Dan India sedia menanti...
Orang melayu yang bijak n pandai n yg kuat PKR kan semua dah kuar parti....
Last2 cina India jadi perdana menteri..
Hak melayu slama-lamanya dinafi..
Di Malaysia melayu jadi kuli..
Cina India suke hati lagi..
Ha melayu...nak sengih lagi?
Ade hati nak demonstrasi lagi?
Mase TU sape pun tak pduli
Pade dorang...lbih baik mlayu mati..

Skarang cina India tgh menanti..
Paklah undur,najib jadi pengganti...
Tapi bila najib jadi perdana menteri..
Cina/India dah buat prangkap lagi...
Najib akan terjerat oleh skandal sendiri...
Tyme in cina n India hentam najib sparuh mati...
Hentaman ini akan berlaku dikala krajaan blom tetapkan penerus generasi perdana menteri...

Krajaan pade mase itu takkan dihormati...
Peristiwa 13 mei akan berlaku lagi...

Ha melayu...gelak la lagi..
Bergaduh la sesame sendiri...

Tak mustahil org melayu Malaysia akan jadi spt org melayu di singapura...
Disekat keistimewaan di mana2..
Terabai seperti bangkai bernyawa..

SEDARLAH ORANG MELAYU...
TAK GUNE BERMUSUHAN ANTARA PARTI..
TAK KISAHLA BN KE....PAS KE...
TOLONG LA BERSATU PADU..
NI BUKAN PASAL ISLAM SHJ...TETAPI PASAL MARUAH BANGSA...
PKR TU BONEKA JE..
CINA INDIA SOKONG PUN SBB UNTUK KEPENTINGAN DIRI SENDIRI...

TOLONG LA BUKAK MATE SKET!!!
TAKYAH LA NAK GULINGKAN KERAJAAN...
FIKIR LA SKET NASIB MELAYU..

DAH LA PEMERINTAH DAHULU PENAT2 NAK DPTKAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU... ORANG MELAYU ...NAME PUN TANAH MELAYU OII...

SEDARLAH SIKIT...
SAPE YANG NAK BELA MELAYU KALAU BUKAN ORANG MELAYU?
SAPE????????
CINA N INDIA BUKANNYE NAK BELA ORANG MELAYU...KORANG JE YANG TERHARAP2...

MELAYU AKAN BELA MELAYU..
TAK KESAH LA BETAPA TERUKNYE DIRI DIER...TERUKNYE PERSONALITI DIER..
JAUH DI SUDUT HATI..TETAP ADE RASE TANGGUNGJWB PD ORG MELAYU..

SEDARLA...
FIKIR SKET ANAK CUCU...JANGAN FIKIRKAN KITE JE...

TOLONG SEBARKAN PADA SEKALIAN ORANG MELAYU...

SLMTKAN MARUAH MELAYU..

UBAHLAH SEKARANG....

PAS ATAU UMNO ATAU PKR DAH LAA....
BERSATU LAAA ORANG MELAYU....

Monday, September 08, 2008

Budaya tazkirah

Alhamdulillah. Hari ini adalah hari ke 8 kita berpuasa. Bermakna sudah 1/4 ramadhan kita lalui. Bagaimana ramadhan anda tahun ini ? Seorang biras saya terkena serangan jantung seminggu sebelum ramadhan. Dia menjalani pembedahan pintasan beberapa hari sebelum Ramadhan. Sehingga kini, belum boleh puasa lagi. Tidak juga mampu ke masjid.

Berita di atas untuk kita muhasabah diri. Badan nampak sihat, tak gemuk tak kurus. Badan kuat dan otak pun sihat. Umur pun masih muda. Tetapi takdir Allah tak siapa tahu. Apakah kita akan berjaya tamatkan Ramadhan kali ini dengan seoptimumnya ?

Budaya tazkirah di Selangor bukan budaya baru. Cuma selepas PRU 1999, ia menjadi haram (di masjid dan surau-surau). Haram bermakna kalau buat, berdosa, kalau tinggalkan dapat pahala. (Betulkan saya kalau saya silap).

Tahun ini, hampir semua ustaz membuat tazkirah di masjid di tempat saya kerana tazkirah sudah tidak haram lagi. Hanya imam-imam kampung sahaja yang tak buat tazkirah. Mungkin sebab tiada tauliah mengajar. Yang pasti, tazkirah amat berkesan membuka mata dan telinga jemaah. Selama ini bukan mudah nak mengajak ahli kariah mendengar kuliah agama. Daripada 3 saf jemaah lelaki yang bersolat maghrib di masjid, tak sampai satu saf yang menadah telinga mendengar kuliah atau ceramah agama. Sekarang, lebih 10 saf mendengar tazkirah setiap malam walaupun hanya 15 - 20 minit.

Yang jelas, ustaz-ustaz ini seolah-olah mahu memberitahu kepada Majlis Agama Islam Negeri, mereka sebenarnya tidak setuju dengan pengharaman tazkirah selama ini. Sebab itu mereka gunakan sepenuhnya kesempatan kali ini. Bukan ada sesiapa memaksa mereka untuk menyampaikan tazkirah. Dan mereka bukan berkempen untuk parti politik tertentu pun. Alhamdulillah setakat ini, mereka berjaya menunjukkan sikap yang profesional, tidak mempolitikkan peluang yang ada (sekurang-kurangnya di mukim saya). Yang tak profesional sebenarnya adalah pihak yang mengharamkan tazkirah dengan alasan-alasan yang langsung tidak menunjukkan kebijaksanaan.

Malam tadi, ustaz menerangkan perihal pentingnya menjaga saf dalam solat. Saf terputus, batal pahala jemaah. Solat sah tetapi macam solat sendirian. Nah ternganga semua jemaah. Tersengih-sengih, mungkin terfikir kejahilan sendiri selama ini. Memang saf terputus mudah dilihat jika kita sampai agak lewat sedikit. Sampai kita pun tak tahu nak sambung saf belah kiri ke belah kanan ? Kalau ada saf di tengah, bolehlah penuhkan yang tengah dulu, ini yang tengahnya lopong.

Satu lagi ialah isu masbuk solat jumaat. Kata ustaz, kalau tak sempat rukuk bersama imam walaupun rakaat pertama, kena lengkapkan jadi 4 rakaat. Niat tetap niat solat jumaat. Selama ini yang saya faham, kalau tak sempat rukuk langsung, maksudnya rakaat kedua pun tak sempat, baru kena habiskan 4 rakaat. Rupa nya saya pun salah dan jahil. Dulu dah belajar tapi dah lupa sebab tak pernah masbuk solat jumaat. Kuliah maghrib pula lebih banyak tak hadir daripada hadir. Sibuk dengan urusan dunia lah katakan.

Alhamdulillah, projek saya dah selesai kali ini. Sehingga ke projek seterusnya, bolehlah saya balik kerja awal sikit. Kebetulan ketika saya sibuk, isteri saya pun sibuk sampai kami terpaksa balik malam. Lepas ini boleh lah saya kemaskini blog dengan lebih kerap.

Salam ramadhan.